Pages


Saturday, July 28, 2012

Mulling Over Income Tax Deduction

Tak boleh turun cukai sesuka hati

June 25, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 24 Jun - Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan sebarang kadar cukai kerana ia tertakluk kepada pengurusan fiskal bagi mengekalkan lebihan operasi selain pengurangan defisit dan hutang negara.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, selain memerlukan pengurusan kewangan yang cermat, kerajaan juga perlu mengimbangi peruntukan bagi tujuan pembangunan negara.

"Saya tidak boleh kata ia (penurunan cukai) tidak akan dilakukan dalam belanjawan akan datang kerana ia berdasarkan pengiraan matematik. Pada tahun ini, kita lihat berapa banyak hasil yang mampu dijana bagi membolehkan kita mencapai sasaran lebih tinggi.

"Jadi, semuanya bergantung kepada berapa banyak pendapatan dan perbelanjaan negara, ia bukanlah sesuatu yang kita boleh beri dengan mudah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan cawangan ke-100 pasar raya Mydin di Gugusan Manjoi iaitu perkampungan Melayu terbesar di negara ini, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail.

Ahmad Husni diminta mengulas perbincangan kumpulan sasar Kementerian Kewangan sebagai persiapan penyediaan Bajet 2013, sama ada ia bakal menyaksikan penurunan cukai yang ketara atau sebaliknya.

Sesi perbincangan 16 siri itu yang dilakukan secara terperinci selain meneliti memorandum yang dikemukakan pelbagai pihak, dijangka berakhir hujung Julai ini.

Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata, kedudukan kewangan negara juga turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi global terutamanya di zon Eropah.

Justeru katanya, pengurangan defisit pada tahun ini dijangka mencapai 4.7 peratus pada tahun ini berbanding 4.8 tahun lalu dan disasarkan mencecah tiga peratus pada 2015.

"Oleh itu, tempoh lapan tahun bermula dari 2012 hingga 2020 merupakan tahun penuh cabaran kerana ia memerlukan komitmen untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...