Pages


Sunday, April 22, 2012

Loving You , My Love



Bukan mudah memikat Roseda

March 31, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

MENYUSURI detik-detik pertemuan antara pasangan romantis ini ibarat mengimbas kembali kenangan indah mereka kira-kira 26 tahun lalu.

Meskipun ia sudah melewati suku abad, namun segala detik yang pernah dikongsi bersama masih terpahat kukuh dalam ingatan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif, 50.

Shaharon Anuar yang terkenal dengan lakonannya dalam filem dan drama Gerak Khas mengakui, bukan mudah untuk menambat hati Roseda Mustafa, wanita yang dikahwininya pada 7 Disember 1985.

Kedua-duanya bertemu kali pertama di sebuah firma pembangunan hartanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Ketika itu, Shaharon Anuar bekerja sebagai penyelia projek, manakala Roseda pula merupakan setiausaha syarikat.

Hubungan mereka ketika itu bagaimanapun tidak ubah seperti 'kucing dan anjing', sering bertelagah dengan usikan-usikan kasar sehingga tidak memungkinkan bibit cinta berputik antara mereka.

Masa berlalu, Shaharon Anuar berpindah ke Perak selepas mendapat kerja sebagai pegawai kerani di Felcra Seberang Perak. Selepas lama tidak berhubung, Shaharon Anuar mengutus surat kepada Roseda dan meminta wanita itu menghantar gambar terbaharunya.

''Roseda membalas balik surat saya dengan mengepilkan gambar seekor 'chimpanzee' memegang telefon. Ketika itu, saya tersenyum dan sedar bukan mudah untuk memikatnya," kata Shaharon Anuar ketika bercerita detik-detik awal pertemuannya dengan Roseda.

Masa terus berlalu dan 10 bulan kemudian, Shaharon Anuar mencuba nasib untuk memohon jawatan dalam pasukan polis sebagai Inspektor percubaan dan berjaya.

Dua bulan pertama 'dikurung' di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur, membuatkan Shaharon Anuar dihambat rasa sunyi, lebih-lebih lagi melihat kawan-kawan pelatih dilawati keluarga, isteri atau tunang masing-masing.

''Saya rasa mungkin itulah masanya Tuhan hendak mempertemukan saya dengannya. Saya buka balik buku alamat saya yang lama-lama dan jumpa balik nama Roseda sebelum memberanikan diri mengajaknya keluar untuk bertemu janji di Kompleks Dayabumi Kuala Lumpur," katanya.

Mengimbas peristiwa yang sama, Roseda mencelah: ''Ketika itu, saya rasa hendak cabut lari selepas melihat kelibatnya. Dulu dia berkulit cerah dan berambut 'afro', tapi waktu itu kulitnya gelap dan rambutnya pula botak."

Pada masa itu, kata Roseda, hatinya belum terbuka, lebih-lebih lagi mengenangkan perangai lama Shaharon Anuar yang suka mengutuknya dengan gurauan-gurauan kasar.

Meneruskan imbasan diari pertemuan mereka, Shaharon Anuar berkata, segalanya berubah apabila dia mengetahui bakal ditugaskan ke Sabah sebagai pegawai penyiasat jenayah ketika hampir tamat latihan kepolisan.

Bermula dari situ, hatinya mula berbisik dan dia merasai akan merindui seseorang. Apatah lagi desakan ayahnya, mahu melihat anak sulungnya itu sekurang-kurangnya bertunang, sebelum berhijrah ke negeri orang.

''Selepas memikirkan perkara itu semasak-masaknya, saya melamar Roseda dua hari sebelum bertolak ke Sabah. Saya melamarnya di Taman Tasik Titiwangsa.

''Ketika itu, berdebar juga tunggu apa reaksinya, takut dia buat perangai seperti kirim gambar 'chimpanzee' kepada saya dulu. Saya sangat lega kerana akhirnya dia setuju," katanya sambil disambut ketawa kecil Roseda.

Selepas bergelar suami isteri, pasangan ini tidak dapat lari daripada sikap masing-masing yang gemar mengusik antara satu sama lain. Mereka mengakui, perangai itulah yang juga menjadi pengikat kasih sayang antara mereka.

Shaharon Anuar dan Roseda yang gemar menghabiskan masa bersama dengan berkebun serta membina 'air terjun' dan 'air pancur' di laman rumah berkata, ia merupakan aktiviti santai yang cukup menenangkan jiwa.

''Isteri saya amat sukakan kucing, sampaikan masa hari jadinya kira-kira lima tahun lalu, dia sanggup minta izin untuk membelanya walaupun dia tahu saya sebenarnya tidak suka," kata Shaharon Anuar.

Bagi Roseda pula, di sebalik sikap tegas Shaharon Anuar, suaminya dianugerahkan sikap penyayang dan tidak pernah jemu menghiburkan hatinya dengan kejutan atau gurauan.

''Cuma, satu perkara yang saya tidak boleh lupa mengenai suami ialah bunyi bersinnya sangat kuat sehingga boleh didengar walaupun dia berada di luar rumah," katanya sehingga sesi temu bual kami diwarnai gelak ketawa.

Kini, pasangan ideal tersebut menetap di Taman Metro Pengkalan, Pusing, Perak bertemankan empat anak iaitu Farrah Farhana, 25; Fawwaz Faqrulradzi, 23; Mohd. Farid Effendy, 22, dan Mohd. Danial Rafiq, 17.

Roda kehidupan Shaharon Anuar dan Roseda bakal menyaksikan satu lagi episod baru apabila Farrah Farhana yang juga anak sulung mereka akan ke jinjang pelamin pada September ini.

''Kami hanya berharap sinar kebahagiaan ini terus kekal ke akhir hayat. Kami menyimpan hasrat untuk pergi bersama menunaikan ibadah haji pada suatu hari nanti," kata Shaharon Anuar.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...