Pages


Sunday, April 22, 2012

Flood Mitigation Plan in Manjoi

Melaporkan dari Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-12

RM1.5 juta diperuntukkan atasi banjir di Manjoi

April 7, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh ROKIAH ABDULLAH dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 6 April - Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi melaksanakan program jangka pendek mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan Manjoi di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, usaha itu termasuklah pemasangan pam baharu, membina dan membaiki sistem saliran air sedia ada.

Selain itu, kata Ramly, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri juga giat menjalankan kerja-kerja penyelengaraan seperti mendalam, melebarkan dan mencuci aliran sungai daripada sebarang halangan pokok dan ranting kayu.

"Bagi jangka masa panjang pula, JPS negeri telah mengemukakan semula Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Kinta untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Skop kerja dicadangkan adalah pembinaan kolam takungan banjir Klebang dan Sungai Pinji serta menaik taraf Sungai Pari dengan kos RM50 juta," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab lisan soalan Datuk Nadzri Ismail (BN-Manjoi) yang bertanya tentang usaha yang dilakukan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

Menurut Ramly, kerajaan negeri turut mengambil langkah bukan struktur dengan memberi khidmat nasihat dan penjelasan teknikal kepada pihak berkuasa tempatan, jabatan, agensi kerajaan dan swasta yang mahu membangunkan sesuatu kawasan bagi mengelakkan banjir.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah diminta memantau setiap masa sebarang aktiviti pembangunan tanah. Kita mahu memastikan pembangunan yang dibuat itu mematuhi syarat ditetapkan supaya banjir tidak akan berulang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramly ketika menjawab soalan tambahan Nadzri memberitahu, kerajaan negeri juga akan mewujudkan satu pasukan khas yang bertindak menyalurkan bantuan semasa banjir.

Katanya, kumpulan tersebut terdiri daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Ikatan Sukarelawan Rakyat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan PBT.

"Dalam keadaan sekarang sebenarnya kita sudah berpuas hati bila melihat bantuan segera yang diberikan oleh pihak terlibat, antaranya JKM yang telah memberi peruntukan begitu juga bantuan dari Rela dan JPAM.

"Tapi apabila kita gerakkan pasukan ini secara bersepadu, masalah akan dapat diselesaikan dengan baik dan cepat," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...