Pages


Saturday, March 3, 2012

Flood in Ipoh



200 penduduk terjejas

Feb. 21, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 20 Feb. - Hampir 200 penduduk melibatkan 71 keluarga di kawasan Gugusan Manjoi dan Buntong di sini terjejas oleh banjir kilat akibat hutan lebat sejak malam tadi sehingga awal pagi ini.

Selain Kampung Manjoi, Kampung Tengku Hussein dan Kampung Datuk Ahmad Said, banjir yang dipercayai berpunca akibat limpahan Sungai Pari dan Sungai Tapah itu turut melanda sekitar Taman Lim, Taman Muhibbah dan Pekan Lama Batu Gajah.

Berikutan rempuhan arus deras, sebuah jambatan yang menghubungkan Kampung Datuk Ahmad Said dan Taman Wing Onn runtuh selain beberapa sekolah terpaksa ditutup pagi ini.

Banjir kilat yang mencecah paras hampir satu meter itu turut melanda kawasan sekitar Pusat Jagaan Anak-anak Yatim dan Miskin Nurul Iman di Kampung Manjoi di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam negeri, Mejar Mohd. Bukhori Mat Sidek berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk pada pukul 5.30 pagi ini sebelum anggotanya dikejarkan ke kawasan tersebut untuk kerja-kerja menyelamat.

"Kesemua mangsa yang terjejas dipindah dan ditempatkan di Kompleks Serbaguna Kampung Manjoi dan Dewan Kia di Buntong.

"Seramai 50 anggota dikejarkan ke kawasan tersebut termasuk dua bot penyelamat, sebuah ambulans dan dua lori," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada, itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang melawat tempat kejadian mengarahkan Majlis Keselamatan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak mewujudkan pasukan kecemasan bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi segera.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menimbangkan bantuan segera kepada semua mangsa banjir selain mengarahkan Jabatan Pelajaran Perak untuk meneliti kewajaran menutup beberapa sekolah.

"Dalam hal ini, kami memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak perlu mencari salah siapa. Kita semuanya terjejas dan sehubungan itu penyelesaian harus diambil segera," katanya.

Tambah beliau, ibu bapa juga dinasihatkan menjaga anak masing-masing supaya tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Tinjauan Utusan Malaysia ke tempat kejadian mendapati beberapa pekerja MBI menggunakan jengkaut bagi mengeluarkan sampah-sarap yang terbenam di dasar Sungai Pari.

Paras banjir mulai surut pada tengah hari ini berikutan keadaan cuaca semakin baik.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail yang turut meninjau kejadian tersebut berkata, berdasarkan laporan Jabatan Metereologi, kawasan berkenaan diklasifikasi sebagai jingga iaitu berkemungkinan untuk dilanda banjir semula.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Chong Phaik Yee yang ditemui di Kompleks Serbaguna Kampung Manjoi pula berkata, daripada 152 mangsa dari Kampung Manjoi, hanya 48 orang telah dipindahkan melibatkan sembilan keluarga sehingga pukul 1.15 petang ini.

Beliau berkata, bagi kawasan Buntong pula, seramai 60 orang terjejas akibat banjir kilat tersebut melibatkan 46 keluarga.

"Selain memberi bantuan tuala, makanan dan kit bencana, Skuad Sayang Wanita UMNO turut tampil membantu menyediakan makanan kepada mangsa banjir berkenaan," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...