Tiga beranak antara empat rentung
September 15, 2010 - Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR dan ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my
TANJUNG MALIM 15 Sept. - Empat termasuk tiga beranak rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas merempuh belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 394, Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Behrang dekat sini pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi ketika keempat-empat mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 25 bulan dalam perjalanan pulang ke Kota Damansara, Selangor selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman tiga beranak itu di Jerlun, Kedah.
Mereka yang maut dalam kejadian itu ialah pemandu kereta Proton Persona terbabit, Azri Ismail, 27; isterinya, Suzita Abu Bakar, 25, anak lelaki mereka, Mohd. Amar Haikal dan Mohd. Haznizam Abdul Mutalib, 20.
Mohd. Haznizam yang berasal dari Langkawi turut bersama keluarga itu kerana bakal diambil bekerja di pusat rawatan spa milik pasangan suami isteri tersebut.
Ketua Trafik Hulu Selangor, Supritendan Mohd. Taib Songoh berkata, siasatan awal polis mendapati kereta yang dipandu Azri itu merempuh bahagian kiri belakang treler membawa muatan pasir yang diletakkan di laluan kecemasan lebuh raya kerana mengalami kerosakan tayar.
"Siasatan awal polis mendapati, kereta tersebut gagal dikawal lalu merempuh belakang treler terbabit sehingga menyebabkan ia terbakar," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kubu Bahru hari ini.
Mohd. Taib berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa mengantuk sewaktu nahas berkenaan.
Ketika kemalangan, keadaan cuaca baik dan trafik agak lengang.
Beliau berkata, jenazah keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bahru untuk dibedah siasat.
"Jenazah mangsa kemudian dituntut waris untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing," katanya.
Sementara itu, pemandu treler tersebut, T. Ramathas, 37, berkata, tidak lama selepas dia memberhentikan kenderaannya, sebuah kereta tiba-tiba merempuh belakang treler tersebut.
"Ketika itu saya dalam perjalanan dari Sungkai menghala ke Sungai Buloh untuk menghantar muatan pasir. Saya terpaksa berhenti di lorong kecemasan setelah rim tayar mengalami masalah.
"Sebaik turun dari lori saya terus letak kon dan penanda segi tiga kecemasan serta menghubungi pihak lebuh raya untuk mendapatkan bantuan namun tidak sampai 3 minit, saya nampak sebuah kereta merempuh belakang treler," katanya.
Dalam pada itu, bapa saudara kepada Mohd. Haznizam, Mad Saad Ahmad, 56, berkata, anak saudaranya itu sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur kelmarin menaiki bas bersama tiga kawannya setelah berhari raya di Langkawi.
Bagaimanapun, dia memberitahu, Mohd. Haznizam kemudian telah mengubah fikiran dan menumpang Azri sekeluarga setelah ditawarkan bekerja di pusat rawatan spa yang dikendalikan Suzita.
Utusan Malaysia difahamkan, pusat rawatan tersebut baru dibuka beberapa bulan lalu.
"Jenazah Mohd. Haznizam akan dibawa pulang ke Kampung Ewa, Langkawi untuk dikebumikan pagi esok," katanya.
Thursday, May 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment