Laluan warisan singkap sejarah Ipoh
September 13, 2010 - Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my
IPOH 12 September – Menjejakkan kaki ke bandar raya Ipoh, ibarat mengunjungi sebuah pekan lama yang dipenuhi bangunan-bangunan bersejarah.
Melihat seni binanya yang bersifat neoklasik, penjajahan British selama 160 tahun di Tanah Melayu benar-benar mempengaruhi gaya seni bina tempatan ketika itu.
Kebanyakan arkitek dan jurutera kelahiran negara penjajah tersebut yang pernah berkhidmat di India serta negara-negara jajahannya yang lain turut mengilhamkan gaya seni bina Moghul.
Ia kemudian dikembangkan kepada binaan beberapa bangunan pentadbiran kerajaan termasuk stesen kereta api di Tanah Melayu.
Menurut Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Ipoh, Roselyn Lim Siew Leng, pengunjung ke bandar raya itu berpeluang menyingkap sejarah Ipoh apabila mereka turut sama menyertai program Laluan Warisan yang diadakan setiap Sabtu bermula pukul 8 pagi.
Program percuma tersebut katanya, terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat termasuk pelancong dalam dan luar negara.
Laluan Warisan Ipoh dianjurkan oleh Kinta Heritage dengan kerjasama Perak Tourism dan Kerajaan Negeri Perak.
Sambil berjalan kaki, peserta akan ditemani seorang pemandu pelancong yang memberikan penerangan tentang sejarah silam dan fungsi setiap bangunan terbabit.
Meneruskan tugasnya, kata Roselyn, Stesen Keretapi Ipoh yang dibina pada 1914 dan siap pada 1917, direka oleh arkitek A.B. Hubback.
Mendapat jolokan Taj Mahal Ipoh, stesen kereta api itu memperlihatkan ciri-ciri binaan serupa seperti Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang berbentuk kubah dan berwarna putih.
“Pembinaan sesebuah stesen kereta api melambangkan kemodenan dan pembangunan di sesebuah bandar.
“Namun, pembinaannya terpaksa dilengahkan beberapa tahun sebelum dapat disiapkan kerana Perang Dunia Pertama,” katanya dalam satu lawatan pelancongan Laluan Warisan Ipoh di sini, baru-baru ini.
Antara bangunan lain yang tidak kurang menarik untuk ditinjau dengan lebih dekat kata Roselyn, ialah Memorial Birch.
Ia dibina bagi memperingati kematian Residen British pertama di Perak iaitu J.W.W. Birch yang dibunuh dalam satu serangan di Pasir Salak pada 1875 kerana sengaja mengenepikan kepentingan pembesar-pembesar Melayu.
Sementara itu, Sekolah St. Michael yang terletak bertentangan dengan Padang Ipoh pernah menjadi ibu pejabat pentadbiran tentera Jepun sewaktu zaman penjajahan ketika itu.
Bangunan yang dibina pada 1912 di bawah pengaruh seni binaan Gothik tersebut mengambil masa selama 30 tahun untuk disiapkan sepenuhnya sejak ia dibina semula pada 1922.
Selain itu, Mahkamah Tinggi Ipoh telah digunakan untuk pembicaraan sejak zaman pemerintahan Jepun meskipun ia dibuka oleh seorang lagi Residen British, R.W. Thompson pada 1928.
Kelab Diraja Ipoh yang berusia lebih 100 tahun pula muncul kelab terawal terdapat di negara ini.
Dalam perjalanan mengambil masa lebih dua jam tersebut, peserta juga akan dibawa menjejaki bangunan warisan yang pernah dijadikan pusat penyaluran maklumat oleh perisik Jepun.
Banyak lagi bangunan lama dapat dilihat oleh pelancong jika berkunjung ke Ipoh. Usaha menjejaki bangunan-bangunan bersejarah itu menjadi lebih berkesan dengan adanya kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak-pihak swasta.
Thursday, May 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment