Pages


Wednesday, May 4, 2011

Jom Cari Keje Di Karnival Kerjaya

May 18, 2009 - Utusan Malaysia

209,575 kunjungi Karnival Kerjaya

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Mei - Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) 2009 yang berakhir hari ini mendapat sambutan luar dugaan apabila seramai 209,575 orang mengunjunginya.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jumlah itu tidak termasuk 110,314 resume yang dihantar pemohon secara dalam talian.

Beliau bagaimanapun berkata, daripada 13,958 kekosongan jawatan yang ditawarkan pada karnival itu, hanya 110 surat tawaran pekerjaan dikeluarkan manakala 700 tawaran pekerjaan disenarai pendek.

"Ini menunjukkan pelajar universiti tempatan perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran supaya mampu bersaing dalam pasaran kerja yang sangat kompetitif,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melawat karnival tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Saifuddin berharap karnival sedemikian mampu membuka minda mahasiswa terutamanya bumiputera supaya tidak lagi menyempitkan skop pekerjaan dalam perkhidmatan kerajaan semata-mata.

Menurutnya, kementerian juga bercadang menarik lebih ramai pelajar universiti dan guru kaunseling kerjaya untuk menyertai K3G pada masa akan datang supaya lebih terdedah dengan realiti dunia pekerjaan.

Kata beliau, pihaknya juga bercadang membuka peluang latihan industri selama dua tahun pada K3G akan datang supaya pelajar universiti memperoleh pengalaman pekerjaan sebelum memasuki industri sepenuhnya.

K3G 2009 merupakan karnival kerjaya terbesar di negara ini yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi setakat ini.

Ia menawarkan 14 bidang peluang pekerjaan termasuk perbankan dan kewangan, bioteknologi, kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), logistik dan pengangkutan, pembuatan, minyak dan gas, pendidikan serta pelancongan.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...