March 7, 2010 - Utusan Malaysia
Dialog penyelesaian terbaik
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 7 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dialog bukan sahaja penting dalam menyelesaikan konflik ketenteraan tetapi juga dalam membuat keputusan seharian melibatkan hal ehwal tempatan mahupun antarabangsa.
Menurut Perdana Menteri, sekiranya rakyat sanggup untuk mendengar, berbincang, bersikap analitikal serta adil dalam membuat keputusan, penyelesaian dan persefahaman yang lebih baik mampu dicapai antara satu sama lain.
‘‘Insya-Allah kita akan menemui penyelesaian yang lebih baik dan dapat memahami satu sama lain dengan lebih baik lagi seperti mana yang kita harap dan cari,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri terbaru blog 1Malaysia, http://www.1malaysia.com.my/, sambil mengimbas kembali lawatannya ke Nanga Tada, Sarawak pada bulan lalu.
Dalam lawatan itu, Najib memaklumkan yang beliau telah mengadakan pertemuan ringkas bersama pasangan Iban, Medan anak Nunying, 71, dan isterinya, Landun anak Ngumbang, 68, di kediaman rumah panjang mereka, Rumah Meruan.
Menurut Perdana Menteri, pasangan Iban tersebut merupakan ibu bapa kepada seorang komando yang dibunuh kejam, Mathew anak Medan oleh kumpulan Al-Maunah pada Julai tahun 2000.
Mathew merupakan antara dua mangsa yang terkorban selain seorang lagi detektif polis bernama R. Sagadevan dalam satu pertempuran pasukan bersenjata menentang Al-Maunah di Sauk, Perak.
‘‘Peristiwa tersebut dan ziarah saya kepada kedua-dua orang tua mendiang Mathew menjadi ingatan kepada saya akan pentingnya berdialog dalam menyelesaikan konflik.
‘‘Keganasan dan sifat agresif mungkin dilihat sebagai pilihan paling mudah dan pantas, namun akibatnya hampir selalunya (harganya) lebih mahal jika kita memilih jalan perundingan,’’ jelasnya.
Tambah Perdana Menteri, apa yang menghubungkannya dengan pasangan yang berumur ini merupakan peristiwa paling mencemaskan dan berbahaya dalam kerjayanya sepanjang 14 tahun sebagai Menteri Pertahanan.
Katanya, sebagai Menteri Pertahanan ketika itu beliau masih ingat nasihat Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pegawai kanan tentera supaya tidak berada di barisan hadapan pasukan tentera sepanjang konfrontasi tersebut.
‘‘Walaupun begitu, saya tetap berada tidak jauh dari kawasan konflik. Sungguh pun bukanlah menjadi amalan bagi menteri mengambil alih perintah sebenar daripada tentera, disebabkan keadaan konfrontasi itu terlalu bersifat politik, saya telah dirujuk untuk membuat tekanan terakhir bagi meneutralkan kumpulan ini.
‘‘Kita telah kehilangan dua anggota yang berani; akan wujud kesan yang sangat merumitkan jika kita kehilangan lebih ramai anggota lagi. Bagi mengecilkan bilangan yang terkorban atau cedera, arahan saya adalah tunggu sehingga ke saat terakhir yang dapat dan serangan hanya dilakukan sekiranya rundingan gagal.
‘‘Alhamdulillah, saat peristiwa itu berakhir, kita tidak kehilangan satu nyawa pun dan berjaya menangkap kumpulan tersebut bersama-sama pemimpinnya,’’ ujarnya.
Wednesday, May 4, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment