Pages


Thursday, May 5, 2011

UTP Menari Lagi

Tingkatkan semangat patriotisme

August 10, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 10 Ogos - Lebih 170 pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) dari pelbagai negara mengadakan persembahan kebudayaan dalam sebuah konsert penuh warna-warni yang dinamakan Tapestry of Colours di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert tersebut diadakan bertujuan menyokong penubuhan Yayasan UTP bagi mengumpul dana pembiayaan biasiswa serta geran kajian serta pembangunan universiti.

Konsert yang mempersembahkan transformasi kebudayaan negara bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka kepada penubuhan Malaysia itu turut menampilkan orkestra muzik Cina, gamelan serta pelbagai tarian.

Rektor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim merangkap pengerusi penganjur berkata, konsert yang diadakan tersebut diharap dapat meningkatkan semangat patriotisme dalam menghargai kemerdekaan terutama kepada generasi muda.

Konsert dimulakan dengan persembahan tarian bertemakan Permulaan Malaya yang mempamerkan etnik majoriti di Malaysia sebelum ia diteruskan dengan persembahan Kumpulan Gamelan UTP.

Persembahan yang memaparkan suasana Kepulauan Borneo pula ditonjolkan melalui tarian etnik tradisional Sabah dan Sarawak.

Alunan kompang yang diadun bersama alat muzik Cina berjaya memberi satu kelainan dalam menampilkan kepelbagaian budaya di Malaysia.

Seorang pelajar UTP dari Turkmenistan, Tahyr Orazov, 22, berkata, penyertaannya sebagai penari dalam kumpulan kebudayaan antarabangsa sedikit sebanyak memberi peluang untuk sama-sama menyumbang dalam projek amal tersebut.

"Konsert ini membolehkan saya memahami budaya negara lain dan pada masa sama, melihat persamaan dan perbezaannya," katanya.

Barisan kumpulan penari UTP yang ditubuhkan sejak 2002 itu terdiri daripada 30 pelajar pelbagai bangsa serta latar belakang. Mereka adalah jurutera dan ahli teknologi masa hadapan.

Sumbangan yang dikumpul daripada konsert yang turut dianjur bersama Dewan Filharmonik Petronas dan Alumni UTP itu akan disalurkan terus kepada Yayasan UTP.

Yayasan UTP yang dilancarkan pada 3 Ogos 2010, antara lain bertujuan membangunkan aktiviti kesenian, sukan dan kebudayaan di peringkat universiti.

Sebarang maklumat lanjut mengenai Yayasan UTP, bolehlah melayari laman web www.utp.edu.my/yayasan.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...