Pages


Thursday, July 5, 2012

Ipoh Polo Ground Laksa


Penangan 'laksa malam' Padang Polo

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Berekreasi sambil bersantai, mungkin itulah ungkapan paling tepat untuk menggambarkan kedamaian dan ketenangan yang terhampar di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh, Perak.

Biarpun terletak berhampiran tanah perkuburan Cina serta jauh dari hiruk-pikuk aliran trafik ke pusat bandar, namun ia tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang ramai.

Lebih dikenali dengan nama jolokan Padang Polo, kawasan itu juga dikatakan menjadi lokasi rekreasi Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk beriadah di pagi hari.

Dalam pada Padang Polo menjadi tumpuan ramai keluarga yang datang berbondong-bondong pada hujung minggu, ia sebenarnya mempunyai tarikan sendiri sebagai 'lubuk laksa' di malam hari.

Baik warga tempatan mahupun orang luar, pepohon yang merendang di tepi padang berkenaan menjadi tempat paling ideal untuk menikmati pelbagai jenis laksa sambil disapa bayu malam.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati hidangan tambahan seperti burger dan
keropok lekor pada harga yang murah.

Hakikat itu diakui oleh salah seorang daripada lapan peniaga, Zulkarnain Zainal, 42, yang telah 16 tahun membuka gerai perniagaannya di situ.

Beliau yang membuka gerainya hampir setiap hari pada waktu malam sehingga dinihari berkata, terdapat tiga jenis pengunjung yang biasanya datang ke Padang Polo setiap malam untuk menikmati juadah laksa.

"Pada awal malam, padang ini dipenuhi dengan kelompok keluarga mahupun rakan-rakan. Namun, apabila malam semakin larut, pasangan kekasih yang baru pulang menonton wayang di kompleks beli-belah berdekatan pula akan singgah di sini.

"Selain itu, terdapat juga kumpulan anak-anak muda bermotor serta para pekerja yang baru pulang dari syif malam. Kesemua mereka datang semata-mata mahu makan laksa di sini," katanya.

Zulkarnain yang juga seorang pesara tentera berkata, walaupun sebelum ini terdapat peniaga yang cuba menjual menu lain di situ, namun ia tidak pernah mendapat sambutan orang ramai.

Beliau yang mengusahakan perniagaan laksa dengan bantuan anak-anaknya berkata, kuah laksa yang disediakan isterinya menggunakan resipi keluarga yang diwarisi turun-temurun.

"Di sini, ada juga orang jual laksa Kedah. Laksa Ipoh yang saya usahakan ini hampir sama seperti laksa Pulau Pinang, tetapi kuahnya pekat sedikit daripada laksa Kuala Kangsar.

"Dahulu, kawasan di sini gelap kerana tiada lampu jalan. Namun selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mendirikannya, ia semakin menjadi tumpuan orang ramai,” ujarnya.

Menurutnya, banyak anak muda Ipoh yang bekerja di Kuala Lumpur apabila balik kampung, mereka akan datang makan di gerai laksa Padang Polo.

“Ia seolah-olah mengembalikan nostalgia kepada mereka terutamanya buat bekas-bekas pelajar di tiga sekolah berhampiran," katanya.

Sementara itu, di sekitar Padang Polo juga, orang ramai turut tidak melepaskan peluang bersantai serta makan di Restoran D'Polo yang memperkenalkan konsep medan selera Melayu secara terbuka dan terbesar di bandar raya ini sehingga pukul 3 pagi.

Biarpun baru sahaja beroperasi empat bulan lalu, Pengarah Urusan Lan's Catering, Roslan Zainal Abidin yang mengendalikan restoran itu berkata, pelbagai juadah disediakan termasuklah sate, popia, roti canai, ikan bakar, dim sum, mi udang, makanan Barat, Cina, masakan panas serta bergoreng.

"Kita juga menyediakan satu-satunya dewan terbuka yang boleh memuatkan 700 orang dalam satu-satu masa untuk kegunaan pelbagai majlis keraian seperti perkahwinan pada sebelah malam," katanya.

Towards Vision 2020

Bersama tempuh cabaran - TPM

June 18, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN, KHAIRUL ABIDIN NUAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

TAIPING 17 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat untuk terus bersama-sama kerajaan bagi menempuh cabaran genting dalam tempoh lapan tahun akan datang demi memastikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020 menjadi realiti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, matlamat itu tidak akan mampu direalisasikan barisan kepimpinan negara semata-mata sebaliknya memerlukan dokongan serta aspirasi rakyat agar negara mampu mengecapi kejayaan lebih besar pada tahun-tahun mendatang.

Berucap di hadapan kira-kira 70,000 rakyat berbilang kaum semasa merasmikan program Janji Ditepati Peringkat Perak di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kamunting, di sini, Muhyiddin menegaskan, perpaduan rakyat juga menjadi pemangkin kepada kejayaan itu.

"Tetapi usaha kerajaan sahaja tidak memadai, ia didokong oleh aspirasi rakyat. Ia menjadi pendorong kepada pemimpin kerajaan untuk merangka usaha-usaha supaya negara kita menjadi negara maju, negara contoh.

"Cabaran besar yang kita hadapi dalam lapan tahun ini adalah untuk kita memasuki ambang 2020, waktu yang mana Malaysia dikatakan menjadi negara maju mengikut acuan kita sendiri," katanya.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menjadi tonggak pemerintahan negara sejak lebih lima dekad lalu telah mewujudkan dasar yang jelas mengenai hubungan kaum sehingga menjadi sebuah negara pelbagai etnik yang pesat membangun dan dicontohi dunia.

Beliau menarik perhatian teori yang dikemukakan dalam buku bertajuk The Plural Society tulisan ahli sosiologi, G.M Smith yang menekankan bahawa negara pelbagai kaum sukar dibangunkan kerana bakal berdepan pelbagai masalah kaum.

"Tetapi terbukti, teori yang ini dapat kita tidakkan apabila kita di Malaysia, walaupun mempunyai latar belakang, adat resam dan budaya yang berbeza dengan pelbagai warna kulit, ia tidak berlaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak setiap lapisan rakyat yang cintakan keamanan menolak cubaan mana-mana pihak merosakkan perpaduan antara kaum yang menjadi asas kepada kemakmuran negara sejak sekian lama.

"Kita tidak mahu membenarkan pihak tertentu dengan tujuan tertentu, atas masalah politik tertentu, ideologi dan kepentingan tertentu, melakukan sesuatu sehingga mewujudkan suasana tidak senang dalam negara kita.

"Maka, ada undang-undang yang dikenakan supaya hasutan dan lain-lain dicegah dan tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya di negara kita. Ini janji kerajaan BN," katanya.

Muhyiddin menambah, hubungan antara kaum yang selama ini dijalin atas prinsip persefahaman mesti dipertahankan bagi mengelakkan negara terjerumus dalam krisis hubungan kaum yang akan mendatangkan kesan buruk kepada negara.

Shortcut Needs Upgrading

Jalan pintas perlu dinaik taraf

June 16, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 15 Jun - Masalah laluan trafik di sepanjang Jalan Simpang Pulai-Lahat yang menjadi jalan pintas pengguna jalan raya untuk ke Lebuh Raya Ipoh-Lumut akan dibawa ke perhatian Kementerian Kerja Raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman (gambar) berkata, ia berikutan permohonan peruntukan untuk kerja-kerja menaikkan taraf jalan itu telah ditolak pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Ke-10 (RMK-10).

"Biarpun begitu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta akan mengambil tindakan alternatif jangka pendek dengan menambah garisan kuning di jalan tersebut bagi mengurangkan kelajuan kenderaan.

"Selain itu, beberapa papan tanda jalan lain akan dipasang, termasuk lampu amaran terutama di persimpangan masuk untuk ke sekolah berdekatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu turun padang meninjau keadaan jalan tersebut di persimpangan masuk ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Desa Pinji, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamidah berkata, keperluan kerja-kerja menaik taraf jalan berkenaan amat mendesak berikutan kesesakan semakin ketara apabila aliran trafik melalui lorong menyeberangi Sungai Pinji.

Justeru itu, katanya, adalah sangat wajar sekiranya jalan dua hala itu dilebarkan kepada empat lorong demi kepentingan jangka panjang.

"Oleh itu, kita akan cuba sekali lagi untuk mendapatkan peruntukan di bawah Pelan Pusingan Kedua RMK-10," katanya.

Tuesday, June 26, 2012

A Downturn In Coconut Industry





Tangani industri kelapa merudum

June 14, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

BAGAN DATOH 13 Jun - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani disaran supaya menangani perubahan aktiviti pertanian kelapa di sini apabila hampir 50 peratus daripada kawasan penanamannya bertukar kepada penanaman kelapa sawit.

Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perubahan itu dikhuatiri akan merencatkan jumlah tanaman semula kelapa di kawasan berkenaan didorong faktor harga jualan kelapa sawit yang lebih tinggi di pasaran.

"Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hanya boleh menyelidik tetapi peruntukan untuk penanaman semua datangnya daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Oleh itu, saya akan berunding dengan Datuk Seri Noh Omar bagi menentukan kebangkitan semula industri kelapa di Bagan Datoh ini," katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Stesen MARDI Hilir Perak di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, melalui usaha yang dilakukan MARDI, perniagaan kelapa dapat ditingkatkan menerusi aktiviti hilirannya seperti penyediaan minyak kelapa dara.

Beliau berkata, perniagaan minyak kelapa dara mampu meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan Bagan Datoh berikutan harganya yang lebih tinggi berbanding minyak kelapa biasa.

"Hasil daripada fiber sejat sabut kelapa juga boleh digunakan pada produk-produk yang tidak berasaskan tradisional dan ia boleh dijadikan bahan untuk membuat kerusi kenderaan dan kerusi untuk perabot kerana harganya mahal di luar negara.

"Justeru, kita harus mempertingkatkan usaha penyelidikan fiber kelapa termasuk tempurungnya kerana ia turut boleh digunakan untuk pembinaan komposit bagi bahan-bahan pembuatan kapal terbang," katanya.

Tuesday, June 19, 2012

'Masi Gang' Crippled





'Geng Masi' tumpas

June 5, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 4 Jun - Polis berjaya melumpuhkan kumpulan penjenayah dikenali sebagai 'Geng Masi' yang dipercayai menjadi dalang dalam 15 kes samun bersenjata dan pecah rumah di sekitar bandar raya ini selepas menahan empat lelaki dipercayai anggota kumpulan itu awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, hasil maklumat awam, keempat-empat suspek berkenaan yang berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun, ditahan dalam serbuan di hadapan sebuah restoran di Persiaran Desa Rishah di sini.

"Pihak polis telah merampas serta membuat pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Proton Putra berwarna putih milik salah seorang suspek yang dipercayai digunakan dalam kegiatan samun.

"Hasilnya, kita menjumpai 50 jenis barang yang disyaki hasil samun seperti jam tangan, telefon bimbit, kamera, dompet dan komputer riba dalam kenderaan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azisman berkata, siasatan polis mendapati kumpulan berkenaan giat melakukan samun pada tengah malam dan awal pagi di sekitar taman perumahan terutamanya di kawasan sunyi dan terpencil.

Menurut beliau, dua daripada empat suspek berkenaan mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan samun, dadah serta curi kenderaan.

"Kesemua suspek didapati positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan dan mereka kini ditahan reman selama lima hari bermula semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Pas Members Join UMNO

688 ahli Pas sertai UMNO

June 3, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LARUT 2 Jun - Seramai 360 ahli Pas Titi Kasai dan 328 lagi dari Felda Ijok, bertindak keluar parti itu selepas kecewa dengan perjuangan yang dianggap tidak lagi berteraskan Islam sebenar selain hanya merebut kuasa atas tiket peribadi.

Bekas Setiausaha Cawangan Pas Titi Kasai, Abdul Wahab Mahmod, 43, berkata, beliau kecewa dengan janji kosong yang ditaburkan pemimpin Pas setelah 23 tahun menjadi ahli parti berkenaan.

"Dulu saya sokong Pas kerana ia mendokong Islam, namun apabila saya sudah mendalami ilmu, Islam itu bukannya hanya terletak pada Pas malah menjadi tanggungjawab individu itu sendiri untuk menjaganya.

"Pas sekarang agresif serta tidak menyenangkan banyak pihak. Satu-satu markas Pas boleh laung takbir 'Allah Maha Besar' tetapi pada masa sama, mereka kata 'mampus UMNO'. Mereka sebut kalimah yang suci dan selepas itu mereka maki balik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan borang keahlian UMNO yang disampaikan kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin pada majlis kenduri rakyat di Kampung Titi Kasai, Batu Kurau, di sini.

Terdahulu, Hamzah turut menyertai 500 konvoi bermotor anak muda yang bermula dari Ulu Sepetang ke Kampung Titi Kasai di sini.

Seorang lagi ahli UMNO baru dari Felda Ijok, Zaharudin Zakaria, 55, pula menyifatkan sokongan yang diberikannya kepada parti itu selama 30 tahun hanya sia-sia.

Menurut Zaharudin, Pas turun padang semata-mata untuk meraih undi tanpa menghulurkan sebarang bantuan sebaliknya mengumpan dengan janji-janji kosong kepada penduduk setempat.

"Mengundi Pas hanya menguntungkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Menantu saya duduk di Pulau Pinang kata hidup di sana susah, hendak beli rumah pun sukar, jadi terpaksa balik ke sini," katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, melalui penyertaan sebagai ahli UMNO, beliau yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengulangi kemenangan '4-0' melibatkan kerusi Parlimen Larut dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batu Kurau, Kubu Gajah dan Selama.

Menurutnya, daripada sejumlah 42,000 pengundi di Parlimen Larut ketika ini, hampir 30,000 daripadanya menyokong UMNO manakala seramai 3,000 dan 2,000 lagi menyokong MIC dan MCA.

"Hari ini kemasukan ahli UMNO baru ini hanya melibatkan dua DUN sahaja iaitu Batu Kurau dan Kubu Gajah.

"Selepas ini, kita akan buat untuk DUN Selama pula. Ramai ahli pembangkang kini sudah mula menyertai UMNO untuk bersama-sama membela nasib bangsa, agama dan negara," katanya.

Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah





Stesen janakuasa TNB mesra alam

June 1, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LUMUT 31 Mei - Melintasi Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) yang menjana tenaga elektrik menggunakan teknologi arang batu di Seri Manjung, di sini ibarat menyaksikan sebuah reaktor nuklear.

Apatah lagi kawasan seluas 325 hektar yang dikawal rapi serta dibangunkan di atas sebuah pulau tebus guna itu mempunyai satu cerobong tunggal setinggi 200 meter.

Jika dilihat dari jauh, ia seolah-olah mengeluarkan asap hasil janaan sumber asli hidrokarbon tersebut yang dilonggok di ruang simpanan yang boleh memuatkan sehingga 700 ribu tan metrik arang batu.

Namun hakikatnya, 'asap' berkenaan hanyalah sejenis wap air atau stim yang dihasilkan di unit penjanaan pada tekanan dan suhu tinggi sebelum disalurkan ke turbin.

Turbin yang digerakkan bersama penjana pada kelajuan 3,000 rpm pula menghasilkan output tenaga elektrik yang kemudiannya disambung ke jaringan Grid Nasional.

Justeru, SJSAS yang dibangunkan dengan mengambil kira faktor sensitiviti alam sekitar, menggunakan teknologi pembakaran arang batu bersih selain penggunaan arang batu bersulfur rendah.

Ketua Pegawai Operasinya, Shamsul Ahmad (gambar) berkata, selain penggunaan pembakaran sistem arang batu berhablur (pulverised coal firing) yang mampu meningkatkan kecekapan pemprosesan, pengambilan sampel air dan tanah secara berterusan di kawasan berkenaan bertujuan memastikan ia menepati standard yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.

Maka, menurutnya, tidak hairanlah stesen yang diilhamkan sejak 1996 itu mendapat akreditasi MS ISO 14001:2004 Pengurusan Alam Sekitar dan MS ISO 9001:2000 bagi Sistem Pengurusan Kualiti.

"Malahan, pembangunan stesen berkenaan yang berteraskan strategi nasional bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber gas asli telah memanfaatkan kira-kira 4 juta rakyat terutamanya di Semenanjung Malaysia.

"Lebih mengagumkan, stesen terbesar dalam sistem TNB itu berupaya menghasilkan sehingga 2,100 megawatt (MW) sehari menerusi tiga unit penjanaan dengan penghasilan 7,000 MW setiap satu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini..

Biarpun begitu, menurutnya, TNB Jana Manjung Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh TNB yang mengendalikan SJSAS, mengunjurkan peningkatan pendapatannya sehingga RM5 bilion apabila satu lagi Projek Manjung 4 dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada Mac 2015.

"Projek yang dibangunkan di kawasan seluas 32 hektar di stesen berkenaan bakal membekalkan tenaga elektrik tambahan sebanyak 1,000 MW, sekali gus menjadikan ia mampu menjana sejumlah 3,100 MW tenaga sehari.

"Menggunakan kaedah mesra alam paling terkini iaitu super critical boiler technology, ia turut dijangka mampu memberi limpahan manfaat kepada keseluruhan 6 juta penduduk di Semenanjung Malaysia,'' katanya.

Jelasnya, sistem ini merupakan satu teknologi yang memberi pulangan dari segi kecekapan dalam pembakaran arang batu. Selain mencapai tahap pembakaran lebih efisien dengan hasil yang lebih, ia turut menjimatkan kos.

"Projek ini bergerak lebih awal daripada yang dijadualkan dan ketika ini, 25 peratus daripadanya berjalan dengan lancar," katanya.

Projek Manjung 4 dilaksanakan secara kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) oleh konsortium yang terdiri daripada Alstom Power System SA, Alstom (Wuhan) Engineering & Technology Co. Ltd, Alstom Services Sdn. Bhd., China National Machinery Import & Export Corp. dan CMC Machipex Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, stesen berkenaan yang beroperasi dengan kos pengendalian sebanyak RM7.3 bilion kini menggunakan 20,000 tan metrik arang batu import sehari terutamanya dari Kalimantan, Indonesia dan Australia.

Beliau berkata, kuantiti tersebut dijangka bertambah sebanyak 8,000, justeru menjadikan hampir 30,000 tan metrik bakal digunakan seharian menerusi Projek Manjung 4.

"Projek ini nanti bukan sahaja dapat meningkatkan bekalan tenaga elektrik, malah ia mampu menjana keupayaan vendor tempatan dalam memberi peluang pekerjaan, selain membantu kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak," katanya.

Ditanya mengenai masalah ampai-ampai laut yang boleh mengganggu sistem penyejukan sehingga menyebabkan unit-unit penjana 'tersumbat', beliau berkata, perkara itu telah berjaya diatasi.

"Kita telah memasang jaring di sekeliling pengambilan air laut untuk sistem penyejukan supaya ampai-ampai ini tidak boleh masuk ke dalamnya.

"Sekiranya tidak berbuat demikian, unit-unit penjana ini akan terpelantik (terpadam secara automatik) sehingga menyebabkan ia gagal berfungsi," katanya.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...