Pages


Saturday, July 28, 2012

Cute Little Girl Needs Cochlear Implant Surgery




Aleesya Amalia perlu bantuan pembedahan implan koklear

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 28 Julai - Seorang ibu merayu bantuan orang ramai bagi menampung pembiayaan kos pembedahan implan koklear sebanyak RM77,000 untuk anak keduanya, Aleesya Amalia Norhaid, 3, yang menghadapi masalah pendengaran di kedua-dua belah telinganya.

Nor Aainy Kamal Bashah, 33, yang bekerja sebagai seorang kerani di salah sebuah hospital swasta di sini berkata, anaknya telah disahkan cacat pendengaran sensori neural oleh Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan perlu menjalani pembedahan dengan segera.

"Doktor mencadangkan supaya pembedahan seperti ini seelok-eloknya dibuat sebelum kanak-kanak berumur tiga tahun. Anak saya baru sahaja genap usia tersebut pada pertengahan bulan ini dan doktor minta ia tidak ditangguhkan sekiranya wang sudah mencukupi.

"Ketika ini, saya hanya dapat mengumpul sumbangan daripada Hospital Pakar KPJ sebanyak RM10,000. Suami saya tidak lagi bekerja kerana sakit sejak dua tahun lalu," katanya.

Dia berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini hari ini dan turut dihadiri oleh Ketua Urusetianya, Mohd. Rawi Abdullah.

Dalam pada itu, Nor Aainy berkata, anak yang menjalani terapi audiologi dan pertuturan kira-kira dua kali sebulan di HUKM, juga bergantung kepada dua alat bantuan pendengaran ketika ini.

Dia berkata, salah satu daripada alatan tersebut yang dipakai di sebelah telinga anaknya itu telah dipinjamkan oleh sebuah hospital di sini sejak Mei tahun lalu.

"Harga sebuah alat bantuan pendengaran itu juga mahal iaitu dalam linkungan RM2,000. Saya hanya mampu membeli untuk kegunaan sebelah telinga anak saya sahaja, itu pun dengan meminjam duit daripada kakak," katanya yang berpendapatan RM1,600 sebulan.

Dalam perkembangan sama, Nor Aainy berkata, dia hanya menyedari anaknya itu tidak dapat mendengar pada usia lapan bulan apabila Aleesya Amalia tidak memberikan sebarang respon apabila bunyi radio dipasang kuat-kuat.

Nor Aainy mendakwa, dia yang membawa anaknya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada Ogos 2010 iaitu setelah dirujuk oleh Hospital Pakar KPJ Ipoh, bagaimanapun hanya berpeluang melakukan ujian pendengaran tersebut pada April 2011.

"Namun, saya nekad membawa surat rujukan Hospital Pakar KPJ ke HUKM pada bulan Oktober tahun lalu selepas tiada rawatan susulan di HRPB. Di sana, anak saya terus menjalani ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) dan terapi pertuturan.

"Alhamdulillah, selepas itu, dia ada respon untuk mendengar sebarang pertuturan. Saya cuma berharap anak saya apabila besar nanti dapat dimasukkan ke sekolah biasa," katanya yang turut mengakui Aleesya Amalia juga sukar mengimbangkan badannya ekoran masalah pendengaran tersebut.

Justeru katanya, bagi sesiapa yang bersimpati untuk menghulurkan bantuan boleh memasukkan wang ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya di nombor 0803-0061795-52-8.

Stop Insulting Your Own Country

Ada tokoh politik burukkan negara

July 20, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

PASIR SALAK 19 Julai - Seluruh rakyat di negara ini diajak bersatu menentang anasir mahupun puak-puak yang cuba menghina, mengherdik serta merendah-rendahkan Malaysia di luar negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbuatan menghina serta memburukkan nama Malaysia itu seolah-olah menunjukkan ketidaksetiaan kepada negara.

"Ada tokoh politik dari Malaysia memburukkan nama negara apabila berada di luar negara. Soal peribadi dengan mana-mana pemimpin itu tetap soal peribadi, tetapi jangan politikkan semua perkara yang ada di Malaysia.

"Soal dasar, soal cabang, soal furu', jangan dibangkitkan. Soal ketaatsetiaan kepada Malaysia, memang mereka menyatakan mahu taat tetapi apabila memburukkan nama negara dan menghina negara kita di luar negara, ertinya orang itu semacam tidak taat setia kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Perak, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyertai 155 konvoi bermotor dari Beruas ke Parit yang berakhir di Litar Datuk Sagor, Kampung Gajah, dekat sini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh turut mengajak rakyat bersama-sama mengetepikan perbezaan ideologi politik bagi mengibarkan Jalur Gemilang dalam tempoh dua bulan sehingga 16 September ini.

Beliau berkata, melalui pengibaran Jalur Gemilang itu, ia sekali gus memanifestasikan ketaatan kepada negara.

"Biarlah bendera parti pelbagai warna tetapi kalau benar kita taat setia kepada negara, kita kibarkan Jalur Gemilang lebih daripada bendera parti masing-masing," katanya.

MARA Moves Forward

Mara teruskan agenda pembangunan usahawan

July 15, 2012 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 11 Julai - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meneruskan agenda pembangunan usahawan dalam usaha penyediaan pembangunan sumber manusia global yang bakal menyumbang serta memacu perkembangan ekonomi negara pada masa akan datang.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad berkata, Mara sentiasa memberi fokus terhadap aspek pendidikan sebagai asas kepada pembangunan usahawan yang mampu berfikir secara kritis dan kreatif.

"Mara telah ditubuhkan lebih daripada 40 tahun dan kita telah menyumbang kepada pembangunan 1.2 juta sumber manusia.

"Justeru, fokus Mara adalah untuk terus meningkatkan kesedaran mengenai ilmu pengetahuan kerana ia merupakan satu-satunya jalan penyelesaian kepada usaha membantu lebih ramai usahawan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala Konvensyen dan Pameran Perniagaan Kecantikan, Spa dan Kesihatan di sini baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Mara, Datuk Hanisah Omar.

Pada majlis tersebut, Ibrahim turut melancarkan produk teh gaharu muda keluaran AAFT Premier Sdn. Bhd.

Diperbuat daripada 100 peratus daun pohon gaharu muda terpilih, ia turut diproses dengan campuran teh hitam serta estrak madu, justeru mampu merangsang tubuh badan lemah serta meredakan ketegangan dan stres.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, penganjuran konvensyen berkenaan adalah selari dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) yang antara lain turut memberi keutamaan dalam bidang pelancongan.

Selain itu katanya, industri kecantikan, spa dan kesihatan wajar
dibangunkan sebagai satu bentuk pelaburan baru oleh Mara bagi melahirkan lebih ramai usahawan.

"Tiga elemen penting yang diperlukan oleh seseorang usahawan itu adalah ilmu pengetahuan, teknologi untuk memajukan proses perniagaan serta kemahiran diri dalam bidang keusahawanan termasuklah kemahiran berkomunikasi.

"Selain itu, usahawan perlu bijak merangka strategi supaya sentiasa berada di hadapan para pesaingnya, " katanya.

F2 In Ipoh

Lonjak kecemerlangan Ipoh

July 19, 2012 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 18 Julai - Kerajaan negeri akan mengumumkan satu lagi projek mega melibatkan pembangunan bandar baru dengan nilai pelaburan mencecah berbilion ringgit yang dijangka akan dilaksanakan hujung tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, projek yang bakal merubah wajah serta kedudukan Ipoh sebagai ibu negeri ini juga dilihat berpotensi menarik perhatian antarabangsa.

Beliau berkata, projek yang mendapat pembiayaan pelaburan langsung asing (FDI) serta pembangunan perbandaran akan berkonsepkan bandar automatif atau Auto City selain dilengkapi litar perlumbaan Formula 2.

"Ia akan mengambil masa beberapa fasa pembangunan dan saya akan tunggu sehingga segalanya terancang dengan baik. Saya tidak mahu mengumumkannya dalam keadaan 'separuh masak' tetapi projek ini diusahakan oleh sebuah syarikat terkenal.

"Dalam tempoh terdekat, kita juga akan melihat pembangunan yang diusahakan dengan syarikat swasta seperti projek perumahan The Haven di Tambun," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, pihaknya telah berjaya melakukan lonjakan besar dalam proses pentadbiran dengan memastikan semua permohonan yang memerlukan tindakan kelulusan Exco diselesaikan denga n segera.

"Kita memastikan supaya semua permohonan yang masuk tidak sampai sebulan, sebahagiannya sudah diangkat ke pejabat Exco," katanya.

The Haven - Pride of Ipoh




Janji ketenangan buat penghuni

July 6, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 5 Julai - Meninjau persekitaran projek ikonik perumahan, The Haven, Tambun di sini yang kini tersergam indah dalam proses pembinaan sejak dua tahun lalu, begitu mempesonakan.

Mungkin tidak keterlaluan sekiranya kita mengatakan bahawa Tambun yang kaya dengan pelbagai bukit batu kapur itu merupakan kawasan cukup ideal bagi mereka yang menggemari ketenangan.

Keheningan alam semula jadinya yang didasari oleh sebuah tasik di pinggir batuan batu kapur Rockheaven berusia 280 juta tahun merupakan antara ciri eksklusif yang ada di sini.

Ternyata bangunan tiga blok setinggi 26 tingkat di tepi kaki bukit terdiri daripada 497 unit kediaman yang dibangunkan itu benar-benar menyajikan pelbagai sudut pandangan istimewa dari ruang balkoni kediaman.

Selain mempunyai 14 rekaan dalaman berbeza, kediaman yang turut dilengkapi laluan trek joging mengelilingi tasik semulajadi seluas 1.7 hektar itu juga menggunakan panel solar dan kincir angin bagi menjana tenaga elektrik di sekitarnya.

Bagi menghirup udara segar di luar kediaman pula, sebuah mini amfiteater pula dibina di tepi tasik, selain ruang barbeku pula mungkin sesuai menjadi lokasi santai aktiviti sekeluarga.

Perumahan mewah yang bakal menjadi kebanggaan Ipoh ini turut dilengkapi dengan kemudahan gimnasium, sauna, ruangan bankuet dan persidangan, rumah kelab serta kolam renang empat tingkat.

Ditambah dengan sistem kawalan keselamatan yang turut dilengkapi kamera litar tertutup, perumahan yang dijangka bakal disiapkan menjelang pertengahan tahun depan itu benar-benar menjanjikan suasana kehidupan penuh berkualiti.

Apatah lagi, tiga blok perumahan yang dibangunkan secara serentak itu akan merubah landskap Ipoh apabila disebut-sebut bakal menjadi bangunan paling tinggi di bandar raya ini.

Ketua Pegawai Eksekutif The Haven Sdn. Bhd., Peter Chan dalam satu sesi bersama media turut berkongsi pandangannya mengenai aktiviti pembangunan tersebut yang dilihat bukan sekadar projek perumahan.

Bagi Peter yang merupakan anak jati kelahiran Perak, The Haven memanifestasikan perkembangan bandar raya Ipoh yang kini bukan lagi dilabel sebagai sleeping hollow.

Tambah beliau, selain berdekatan dengan pelbagai kemudahan yang terdapat di sini, The Haven juga terletak dalam kedudukan strategik di tengah-tengah antara bandar raya Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta kawasan pelancongan Lumut dan Cameron Highlands, Pahang.

Namun katanya, sikap penduduk bandar raya ini sendiri yang terlalu skeptikal dan negatif dengan pembangunan Ipoh sedikit sebanyak mempengaruhi penjualan projek hartanah di sini.

"Saya percaya Ipoh sebenarnya merupakan lokasi percutian dan persaraan yang terbaik di dunia. Bukan untuk bercakap besar, tetapi itulah hakikatnya.

"Apabila menimbang kepada kos kehidupan di tempat lain, Ipoh boleh menjadi tempat percutian yang paling baik.

"Tempat seperti Pulau Pinang dan Cameron Highlands tidak lagi menarik disebabkan oleh kesesakan lalu lintas menjelang musim percutian," katanya.

Peter yang mahu penduduk bandar raya ini turut sama berbangga dengan keistimewaan Ipoh, pada masa sama juga melihat potensi ibu negeri Perak ini dibangunkan sebagai bandar peranginan.

Beliau berkata, berbekalkan kekuatan pada keindahan alam semula jadi bukit batu kapur yang memukau serta pelbagai jenis makanan serta jaringan kemudahan termasuk lebuh raya, ia menjadi faktor penarik kedatangan pelancong dan juga pelabur.

Justeru katanya, nilai bandar peranginan Ipoh sebenarnya melebihi pesaing-pesaingnya seperti di Phuket, Thailand; Bali, Indonesia dan Sentosa di Singapura.

"Seluruh dunia kini mula melihat nilaian Ipoh. Justeru, masyarakat di sini harus berhenti merendahkan imej bandar raya sendiri kerana nilai hartanah di sini juga telah mulai meningkat berbanding pada tahun-tahun sebelumnya," katanya.

Projek The Haven yang merupakan 'permata' negeri Perak dan pernah memenangi beberapa anugerah sebelum ini dan ia termasuklah kategori emas di International Ach of Europe untuk kualiti dan inovasi 2011 di Frankfurt, Jerman.

Selain itu, ia juga telah dianugerahkan The Diamond Eye Award bagi kualiti dan kecemerlangan di Geneva, Switzerland pada tahun sama.

Education Integrity




Usah ghairah jaguhi isu pendidikan

July 6, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LUMUT 5 Julai - Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu ghairah menjaguhi isu pendidikan sehingga merencatkan usaha penyatuan masyarakat berbilang kaum sekali gus menyebabkan negara terjerumus dalam situasi 'Satu Negara, Pelbagai Warga'.

Baginda bertitah, agenda pendidikan nasional sebaliknya perlu dicanai bagi memastikan matlamat penyatuan pelbagai kaum dapat dicapai berlandaskan kerukunan 'Satu Negara, Satu Warga' selari dengan semangat gagasan Satu Malaysia.

"Membina satu warga, tidak bermakna menghapuskan mana-mana kaum, budaya, agama mahupun bangsa. Malah, kepelbagaian itu telah diterima sebagai aset bernilai di bumi ini kerana yang mahu dicapai adalah membina penyatuan dalam kepelbagaian.

"Alam sekolah hendaklah mencerminkan realiti sebenar negara. Bumi Malaysia ini tidak menghalang perkembangan pelbagai budaya, agama, dan bahasa selaras dengan semangat yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan negara," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Sekolah Kebangsaan Seri Samudera, Manjung Raya di Seri Manjung sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-84 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Hadir berangkat sama, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Sekolah yang mempunyai 580 murid termasuk prasekolah itu dibina di atas tapak seluas lima hektar dengan kos berjumlah RM11.37 juta.

Raja Nazrin bertitah, peranan sekolah sebagai platform menyatupadukan masyarakat amat kritikal untuk dipenuhi dan ia bukan satu pilihan tetapi kewajipan yang dipikul semua pihak.

''Sekolah hendaklah menjadi taman larangan kepada sebarang politiking. Sekolah adalah tapak semaian memastikan benih-benih diberikan ruang untuk dapat tumbuh segar dan dilindungi dari menjadi mangsa kepada eksperimen dan permainan politik.

''Semua pihak perlu menghormati batas sempadan penglibatan, perlu menjauhkan diri dari campur tangan yang keterlaluan, tidak berlakunya pencerobohan dalam perkara berkaitan sekolah dan pelajaran hingga anak-anak menjadi mangsa, dan hasrat untuk membina warga yang bersatu tidak akan tercapai," titah baginda.

Dalam titah perasmiannya, Raja Nazrin turut berkongsi pengalamannya di alam persekolahan sekitar pertengahan tahun 60-an dan awal 70-an di peringkat rendah dan menengah yang disifatkannya amat berharga.

Baginda bertitah, interaksi harian di alam sekolah yang dialami oleh pelajar ketika itu berjaya menjalinkan silaturahim dan hubungan harmoni di kalangan warga Malaysia melibatkan pelbagai kaum dan agama.

"Demikian mutiara berharga yang pada satu masa dahulu, terdapat di dasar lautan falsafah pendidikan negara. Di mana hilangnya mutiara berharga tersebut? Mengapakah mutiara berharga itu dibenarkan tertimbus?

"Jika ia masih belum hilang, sekadar tertimbus atau di bawa arus politiking yang keterlaluan, maka mutiara berharga itu perlu dikembalikan supaya kekal berada di dasar sistem persekolahan nasional," titah baginda.

Mulling Over Income Tax Deduction

Tak boleh turun cukai sesuka hati

June 25, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 24 Jun - Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan sebarang kadar cukai kerana ia tertakluk kepada pengurusan fiskal bagi mengekalkan lebihan operasi selain pengurangan defisit dan hutang negara.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, selain memerlukan pengurusan kewangan yang cermat, kerajaan juga perlu mengimbangi peruntukan bagi tujuan pembangunan negara.

"Saya tidak boleh kata ia (penurunan cukai) tidak akan dilakukan dalam belanjawan akan datang kerana ia berdasarkan pengiraan matematik. Pada tahun ini, kita lihat berapa banyak hasil yang mampu dijana bagi membolehkan kita mencapai sasaran lebih tinggi.

"Jadi, semuanya bergantung kepada berapa banyak pendapatan dan perbelanjaan negara, ia bukanlah sesuatu yang kita boleh beri dengan mudah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan cawangan ke-100 pasar raya Mydin di Gugusan Manjoi iaitu perkampungan Melayu terbesar di negara ini, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail.

Ahmad Husni diminta mengulas perbincangan kumpulan sasar Kementerian Kewangan sebagai persiapan penyediaan Bajet 2013, sama ada ia bakal menyaksikan penurunan cukai yang ketara atau sebaliknya.

Sesi perbincangan 16 siri itu yang dilakukan secara terperinci selain meneliti memorandum yang dikemukakan pelbagai pihak, dijangka berakhir hujung Julai ini.

Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata, kedudukan kewangan negara juga turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi global terutamanya di zon Eropah.

Justeru katanya, pengurangan defisit pada tahun ini dijangka mencapai 4.7 peratus pada tahun ini berbanding 4.8 tahun lalu dan disasarkan mencecah tiga peratus pada 2015.

"Oleh itu, tempoh lapan tahun bermula dari 2012 hingga 2020 merupakan tahun penuh cabaran kerana ia memerlukan komitmen untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi," katanya.

Thursday, July 5, 2012

Ipoh Polo Ground Laksa


Penangan 'laksa malam' Padang Polo

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Berekreasi sambil bersantai, mungkin itulah ungkapan paling tepat untuk menggambarkan kedamaian dan ketenangan yang terhampar di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh, Perak.

Biarpun terletak berhampiran tanah perkuburan Cina serta jauh dari hiruk-pikuk aliran trafik ke pusat bandar, namun ia tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang ramai.

Lebih dikenali dengan nama jolokan Padang Polo, kawasan itu juga dikatakan menjadi lokasi rekreasi Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk beriadah di pagi hari.

Dalam pada Padang Polo menjadi tumpuan ramai keluarga yang datang berbondong-bondong pada hujung minggu, ia sebenarnya mempunyai tarikan sendiri sebagai 'lubuk laksa' di malam hari.

Baik warga tempatan mahupun orang luar, pepohon yang merendang di tepi padang berkenaan menjadi tempat paling ideal untuk menikmati pelbagai jenis laksa sambil disapa bayu malam.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati hidangan tambahan seperti burger dan
keropok lekor pada harga yang murah.

Hakikat itu diakui oleh salah seorang daripada lapan peniaga, Zulkarnain Zainal, 42, yang telah 16 tahun membuka gerai perniagaannya di situ.

Beliau yang membuka gerainya hampir setiap hari pada waktu malam sehingga dinihari berkata, terdapat tiga jenis pengunjung yang biasanya datang ke Padang Polo setiap malam untuk menikmati juadah laksa.

"Pada awal malam, padang ini dipenuhi dengan kelompok keluarga mahupun rakan-rakan. Namun, apabila malam semakin larut, pasangan kekasih yang baru pulang menonton wayang di kompleks beli-belah berdekatan pula akan singgah di sini.

"Selain itu, terdapat juga kumpulan anak-anak muda bermotor serta para pekerja yang baru pulang dari syif malam. Kesemua mereka datang semata-mata mahu makan laksa di sini," katanya.

Zulkarnain yang juga seorang pesara tentera berkata, walaupun sebelum ini terdapat peniaga yang cuba menjual menu lain di situ, namun ia tidak pernah mendapat sambutan orang ramai.

Beliau yang mengusahakan perniagaan laksa dengan bantuan anak-anaknya berkata, kuah laksa yang disediakan isterinya menggunakan resipi keluarga yang diwarisi turun-temurun.

"Di sini, ada juga orang jual laksa Kedah. Laksa Ipoh yang saya usahakan ini hampir sama seperti laksa Pulau Pinang, tetapi kuahnya pekat sedikit daripada laksa Kuala Kangsar.

"Dahulu, kawasan di sini gelap kerana tiada lampu jalan. Namun selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mendirikannya, ia semakin menjadi tumpuan orang ramai,” ujarnya.

Menurutnya, banyak anak muda Ipoh yang bekerja di Kuala Lumpur apabila balik kampung, mereka akan datang makan di gerai laksa Padang Polo.

“Ia seolah-olah mengembalikan nostalgia kepada mereka terutamanya buat bekas-bekas pelajar di tiga sekolah berhampiran," katanya.

Sementara itu, di sekitar Padang Polo juga, orang ramai turut tidak melepaskan peluang bersantai serta makan di Restoran D'Polo yang memperkenalkan konsep medan selera Melayu secara terbuka dan terbesar di bandar raya ini sehingga pukul 3 pagi.

Biarpun baru sahaja beroperasi empat bulan lalu, Pengarah Urusan Lan's Catering, Roslan Zainal Abidin yang mengendalikan restoran itu berkata, pelbagai juadah disediakan termasuklah sate, popia, roti canai, ikan bakar, dim sum, mi udang, makanan Barat, Cina, masakan panas serta bergoreng.

"Kita juga menyediakan satu-satunya dewan terbuka yang boleh memuatkan 700 orang dalam satu-satu masa untuk kegunaan pelbagai majlis keraian seperti perkahwinan pada sebelah malam," katanya.

Towards Vision 2020

Bersama tempuh cabaran - TPM

June 18, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN, KHAIRUL ABIDIN NUAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

TAIPING 17 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat untuk terus bersama-sama kerajaan bagi menempuh cabaran genting dalam tempoh lapan tahun akan datang demi memastikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020 menjadi realiti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, matlamat itu tidak akan mampu direalisasikan barisan kepimpinan negara semata-mata sebaliknya memerlukan dokongan serta aspirasi rakyat agar negara mampu mengecapi kejayaan lebih besar pada tahun-tahun mendatang.

Berucap di hadapan kira-kira 70,000 rakyat berbilang kaum semasa merasmikan program Janji Ditepati Peringkat Perak di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kamunting, di sini, Muhyiddin menegaskan, perpaduan rakyat juga menjadi pemangkin kepada kejayaan itu.

"Tetapi usaha kerajaan sahaja tidak memadai, ia didokong oleh aspirasi rakyat. Ia menjadi pendorong kepada pemimpin kerajaan untuk merangka usaha-usaha supaya negara kita menjadi negara maju, negara contoh.

"Cabaran besar yang kita hadapi dalam lapan tahun ini adalah untuk kita memasuki ambang 2020, waktu yang mana Malaysia dikatakan menjadi negara maju mengikut acuan kita sendiri," katanya.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menjadi tonggak pemerintahan negara sejak lebih lima dekad lalu telah mewujudkan dasar yang jelas mengenai hubungan kaum sehingga menjadi sebuah negara pelbagai etnik yang pesat membangun dan dicontohi dunia.

Beliau menarik perhatian teori yang dikemukakan dalam buku bertajuk The Plural Society tulisan ahli sosiologi, G.M Smith yang menekankan bahawa negara pelbagai kaum sukar dibangunkan kerana bakal berdepan pelbagai masalah kaum.

"Tetapi terbukti, teori yang ini dapat kita tidakkan apabila kita di Malaysia, walaupun mempunyai latar belakang, adat resam dan budaya yang berbeza dengan pelbagai warna kulit, ia tidak berlaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak setiap lapisan rakyat yang cintakan keamanan menolak cubaan mana-mana pihak merosakkan perpaduan antara kaum yang menjadi asas kepada kemakmuran negara sejak sekian lama.

"Kita tidak mahu membenarkan pihak tertentu dengan tujuan tertentu, atas masalah politik tertentu, ideologi dan kepentingan tertentu, melakukan sesuatu sehingga mewujudkan suasana tidak senang dalam negara kita.

"Maka, ada undang-undang yang dikenakan supaya hasutan dan lain-lain dicegah dan tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya di negara kita. Ini janji kerajaan BN," katanya.

Muhyiddin menambah, hubungan antara kaum yang selama ini dijalin atas prinsip persefahaman mesti dipertahankan bagi mengelakkan negara terjerumus dalam krisis hubungan kaum yang akan mendatangkan kesan buruk kepada negara.

Shortcut Needs Upgrading

Jalan pintas perlu dinaik taraf

June 16, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 15 Jun - Masalah laluan trafik di sepanjang Jalan Simpang Pulai-Lahat yang menjadi jalan pintas pengguna jalan raya untuk ke Lebuh Raya Ipoh-Lumut akan dibawa ke perhatian Kementerian Kerja Raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman (gambar) berkata, ia berikutan permohonan peruntukan untuk kerja-kerja menaikkan taraf jalan itu telah ditolak pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Ke-10 (RMK-10).

"Biarpun begitu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta akan mengambil tindakan alternatif jangka pendek dengan menambah garisan kuning di jalan tersebut bagi mengurangkan kelajuan kenderaan.

"Selain itu, beberapa papan tanda jalan lain akan dipasang, termasuk lampu amaran terutama di persimpangan masuk untuk ke sekolah berdekatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu turun padang meninjau keadaan jalan tersebut di persimpangan masuk ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Desa Pinji, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamidah berkata, keperluan kerja-kerja menaik taraf jalan berkenaan amat mendesak berikutan kesesakan semakin ketara apabila aliran trafik melalui lorong menyeberangi Sungai Pinji.

Justeru itu, katanya, adalah sangat wajar sekiranya jalan dua hala itu dilebarkan kepada empat lorong demi kepentingan jangka panjang.

"Oleh itu, kita akan cuba sekali lagi untuk mendapatkan peruntukan di bawah Pelan Pusingan Kedua RMK-10," katanya.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...