Pix Credit: Yayasan Felda |
Kolej Integrasi Ilmu dijenama semula
SUNGKAI 13 Mac - Kolej Integrasi Ilmu (Kini) Trolak, di sini yang dibuka sejak 2006 telah dijenamakan semula dan dikenali sebagai Kolej Yayasan Felda Kampus Trolak.Kolej tersebut yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, kolej yang dinaungi dan diuruskan oleh Yayasan Felda dengan kerjasama Felda Prodata Systems Sdn. Bhd. itu telah berjaya melatih lebih 1,000 warga generasi baru Felda dan bukan Felda.
"Tujuan kita menjenamakan semula Kolej Yayasan Felda ini adalah untuk menimbulkan keyakinan kepada anak- anak kita untuk belajar di sini.
"Di samping itu, kita ada juga kerjasama dengan City and Guilds, sebuah institusi pendidikan yang berusia lebih 100 tahun di London, United Kingdom (UK)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis graduasi sesi 2/2012 dan penjenamaan Kolej Yayasan Felda Kampus Trolak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Kampus Tun Abdul Razak di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan merangkap Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Datuk Dr. Emel Faizal Mohd Mokhtar.
Dalam pada itu, Mohd Isa berkata, bermula tahun ini, logo Kolej Yayasan Felda turut akan dipamerkan bersama pada sijil kursus yang diiktiraf oleh City and Guilds.
Beliau berkata, pengiktirafan tersebut akan meliputi kesemua kursus kemahiran ditawarkan di Kolej Yayasan Felda yang lulus penilaian badan latihan vokasional bertaraf dunia.
"Dari segi masa panjang, kita merancang memperkenalkan kursus baharu serta peningkatan piawaian silibus pengajian. Di kampus Trolak misalnya, kita lebih banyak memfokuskan bidang komputer sementara di kampus Raja Alias pula lebih kepada dandanan rambut dan jahitan," katanya.
0 comments:
Post a Comment