Pages


Thursday, May 5, 2011

Pengakuan Bekas Penagih

Rumah Shiqal bantu Amirul

February 14, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

TAIPING 23 Feb. - Biarpun pernah bergelumang dalam kancah penagihan dadah, namun ia tidak sesekali membuatnya berasa malu untuk berubah serta berdepan dengan realiti.

Tekad dan keazaman diri melebihi segala-galanya meskipun stigma negatif masyarakat terhadap bekas penagih dadah sepertinya masih kuat.

Namun, berpegang kepada tekad jika tidak berani mengambil keputusan untuk berubah, maka selama-lamanya dia akan terus kekal begitu.

Menceritakan pengalaman hidupnya bergelut dengan najis dadah selama 13 tahun, Amirul Anuar Mohd. Noor, 33, berkata, kesedaran yang muncul selepas berfikir panjang mengenai masa depan mencetuskan perasaan di dalam hatinya untuk menukar haluan hidup.

Amirul Anuar yang berasal dari Kamunting di sini bersyukur kerana keluarga menjadi pendorong serta tulang belakang kepadanya untuk kembali ke pangkal jalan.

Anak sulung daripada enam beradik itu mengakui pengaruh rakan-rakan sebaya selepas tamat persekolahan menyebabkannya begitu liar sehingga terjebak dengan kegiatan tidak berfaedah itu.

Apatah lagi, dadah jenis heroin mudah didapati daripada teman-teman sekampung yang sentiasa mendapat bekalan tersebut.

"Saya berasa azab dan sengsara semasa ketagihan dadah. Seluruh tubuh tidak selesa termasuk pinggang dan sendi berasa sakit-sakit apabila tidak mendapatnya.

"Saya menghadapi tekanan mental sekiranya keinginan yang meluap-luap untuk mendapatkan dadah tidak dapat dipenuhi dalam masa empat ke lima hari," katanya.

Mengenang kembali detik-detik awal perubahan, Amirul Anuar berkata, dia mahu berubah apabila mula berasakan dirinya mendatangkan masalah besar kepada keluarga.

Menurutnya, dia bukan sahaja tidak menjadi contoh teladan yang baik kepada adik-adiknya malah memalukan keluarga serta mengkucar-kacirkan kehidupan mereka.

"Pada 2009 hati saya tergerak untuk berubah. Saya pergi sendiri ke Rumah Shiqal di bawah Persatuan Shifaul Qalbi Taiping (PSQT) yang memberi sokongan kepada usaha-usaha pemulihan penagih dadah.

"Di sana, kami berkongsi masalah serta membantu antara satu sama lain termasuk kawalan emosi melalui kegiatan-kegiatan berbentuk kerohanian," katanya.

Menurut Amirul Anuar, dia sudah muak dan jemu bergelumang dengan najis dadah serta berasakan masa depannya akan musnah sekiranya menyusuri laluan hidup yang sama.

Malah katanya, kegiatan menagih dadah hanya akan menghindarkan diri seseorang itu lebih jauh daripada Tuhan yang menciptakan manusia dan alam ini.

"Sekiranya ingin benar-benar berubah, satu kemahuan diri yang drastik perlu ada selain sokongan padu daripada keluarga dan masyarakat supaya tidak kembali hanyut ke jalan sama," katanya.

Pengerusi serta Pengasas PSQT, Shamzuri Osman, 46, yang juga bekas penagih turut bersetuju bahawa masih wujud persepsi negatif di kalangan masyarakat terhadap golongan seperti mereka.

Shamzuri berkata, beliau yang dahulunya bekerja di sebuah firma sekuriti pernah dibuang kerja semata-mata pihak majikan mengetahui dirinya merupakan seorang bekas penagih dadah.

Namun beliau mengakui, proses pemulihan seseorang penagih itu bukannya mudah serta tidak mempunyai tempoh masa tertentu kerana bila-bila masa sahaja mereka boleh kembali menagih andai tidak diberikan sokongan moral.

Sehubungan itu, Rumah Shiqal yang berada di bawah naungan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri itu kini berusaha membuka peluang pekerjaan dan bimbingan kepada bekas penagih dadah.

Menurut Shamzuri, Rumah Shiqal yang dibuka sejak 2008 itu telah membantu proses pemulihan 90 penagih dadah termasuk 14 yang dilatih ketika ini.

Beliau berkata, melalui projek tanggungjawab sosial korporat Kelab Rotary Taiping, Pusat Dobi Laundry Shiqal Maju di Taman Lake View di sini berjaya dibuka bagi memberi peluang kepada golongan tersebut untuk mendampingi masyarakat.

Menurut beliau, projek di bawah tajaan CIMB Foundation bernilai RM50,000 itu juga membolehkan bekas penagih dadah memperoleh ilmu serta kemahiran dalam bidang perniagaan.

Pusat dobi tersebut yang beroperasi sejak sebulan lalu dirasmikan pembukaannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Dalam pada itu, Shamzuri berkata, melalui peluang berinteraksi dengan pelanggan, ia memberi peluang kepada mereka membina kembali keyakinan diri untuk berdepan dengan masyarakat.

"Peluang ini juga seharusnya dimanfaatkan untuk terus hidup berdikari serta mendapatkan sumber kewangan.

"Sekurang-kurangnya ia membuktikan bahawa golongan seperti kami juga boleh menjadi modal insan yang berupaya membantu perkembangan ekonomi negara walaupun sekecil mana peranannya," katanya.

Pusat Dobi Laundry Shiqal Maju menawarkan perkhidmatan seperti cucian tangan, biasa, kering, pembersihan langsir, permaidani serta kerja-kerja menggosok pakaian.

Pusat dobi tersebut turut menyediakan perkhidmatan pengambilan dan penghantaran pakaian bagi memudahkan para pelanggan.

Untuk sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi di talian 014-7577440.

2 comments:

  1. saya berasa bersemangat mendengar cerita tentang amirul dan ketabahannhya.saya pun mempunyai pengalaman yang sama dengan beliau,munkin berbeza jarak umur dan tempoh pengalaman saya menggunakan dadah lebih lama dari beliau,bukan itu yang hendak di banggakan...cuma saya ingin berkongsi dengan siapa-siapa sahaja disini untuk kita sama-sama meneruskan perjuangan untuk berhenti dari menghisap dadah ini....saya dah bebrapa bulan berhenti,tetapi godaan untuk menghisap kembali lagi di dalam ini...saya takut saya akan relapse lagi...lebih-lebih lagi saya akan melangsungkan perkahwinan tidakk lama lagi
    siapa-siapa yang ingin berkongsi pengalaman atau pendapat atau nasihat,bolehlah hubungi saya di alamat email ini
    shainehari@gmail.com
    semoga pertolongan kalian dapat saya meneruskan perjuangan ini.dan hanya ALLAH saja dapat membalasnya...
    amin
    shaiful bahari

    ReplyDelete
  2. saya shamzuri osman, terima kasih kerana diberi pendedahan didlm tulisan tuan, namun kisah saya, pahit maung, dugaan serta cemuhan masyarakat terhadap saya sehingga sekarang masih berterusan...., menjadi pengguna dadah heroin selama 27 tahun ketika berumur 13 tahun, adalah satu jangka hayat yang terlalu lama untuk berubah, namun alhamdulilah saya berjaya sehingga kini..., saya tinggalkan tabiat lama itu dari 2007 lagi selepas keluar dari penjara....., kekuatan saya bila saya asaskan RUMAH SHIQAL......,kpd sdr shaiful bahari, nasihat saya " ketika mula hisap, kita bersama kawan kawan, begitu juga bila kita hendak berhenti, carilah kawan kawan yang sama sama ingin berhenti atau dah lama berhenti...." sdr boleh cari saya di facebook @ rumah shiqal @ shamzuri osman....terima kasih

    ReplyDelete

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...