Pages


Saturday, July 28, 2012

Education Integrity




Usah ghairah jaguhi isu pendidikan

July 6, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LUMUT 5 Julai - Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu ghairah menjaguhi isu pendidikan sehingga merencatkan usaha penyatuan masyarakat berbilang kaum sekali gus menyebabkan negara terjerumus dalam situasi 'Satu Negara, Pelbagai Warga'.

Baginda bertitah, agenda pendidikan nasional sebaliknya perlu dicanai bagi memastikan matlamat penyatuan pelbagai kaum dapat dicapai berlandaskan kerukunan 'Satu Negara, Satu Warga' selari dengan semangat gagasan Satu Malaysia.

"Membina satu warga, tidak bermakna menghapuskan mana-mana kaum, budaya, agama mahupun bangsa. Malah, kepelbagaian itu telah diterima sebagai aset bernilai di bumi ini kerana yang mahu dicapai adalah membina penyatuan dalam kepelbagaian.

"Alam sekolah hendaklah mencerminkan realiti sebenar negara. Bumi Malaysia ini tidak menghalang perkembangan pelbagai budaya, agama, dan bahasa selaras dengan semangat yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan negara," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Sekolah Kebangsaan Seri Samudera, Manjung Raya di Seri Manjung sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-84 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Hadir berangkat sama, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Sekolah yang mempunyai 580 murid termasuk prasekolah itu dibina di atas tapak seluas lima hektar dengan kos berjumlah RM11.37 juta.

Raja Nazrin bertitah, peranan sekolah sebagai platform menyatupadukan masyarakat amat kritikal untuk dipenuhi dan ia bukan satu pilihan tetapi kewajipan yang dipikul semua pihak.

''Sekolah hendaklah menjadi taman larangan kepada sebarang politiking. Sekolah adalah tapak semaian memastikan benih-benih diberikan ruang untuk dapat tumbuh segar dan dilindungi dari menjadi mangsa kepada eksperimen dan permainan politik.

''Semua pihak perlu menghormati batas sempadan penglibatan, perlu menjauhkan diri dari campur tangan yang keterlaluan, tidak berlakunya pencerobohan dalam perkara berkaitan sekolah dan pelajaran hingga anak-anak menjadi mangsa, dan hasrat untuk membina warga yang bersatu tidak akan tercapai," titah baginda.

Dalam titah perasmiannya, Raja Nazrin turut berkongsi pengalamannya di alam persekolahan sekitar pertengahan tahun 60-an dan awal 70-an di peringkat rendah dan menengah yang disifatkannya amat berharga.

Baginda bertitah, interaksi harian di alam sekolah yang dialami oleh pelajar ketika itu berjaya menjalinkan silaturahim dan hubungan harmoni di kalangan warga Malaysia melibatkan pelbagai kaum dan agama.

"Demikian mutiara berharga yang pada satu masa dahulu, terdapat di dasar lautan falsafah pendidikan negara. Di mana hilangnya mutiara berharga tersebut? Mengapakah mutiara berharga itu dibenarkan tertimbus?

"Jika ia masih belum hilang, sekadar tertimbus atau di bawa arus politiking yang keterlaluan, maka mutiara berharga itu perlu dikembalikan supaya kekal berada di dasar sistem persekolahan nasional," titah baginda.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...