Thursday, July 5, 2012
Ipoh Polo Ground Laksa
Penangan 'laksa malam' Padang Polo
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
Berekreasi sambil bersantai, mungkin itulah ungkapan paling tepat untuk menggambarkan kedamaian dan ketenangan yang terhampar di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh, Perak.
Biarpun terletak berhampiran tanah perkuburan Cina serta jauh dari hiruk-pikuk aliran trafik ke pusat bandar, namun ia tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang ramai.
Lebih dikenali dengan nama jolokan Padang Polo, kawasan itu juga dikatakan menjadi lokasi rekreasi Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk beriadah di pagi hari.
Dalam pada Padang Polo menjadi tumpuan ramai keluarga yang datang berbondong-bondong pada hujung minggu, ia sebenarnya mempunyai tarikan sendiri sebagai 'lubuk laksa' di malam hari.
Baik warga tempatan mahupun orang luar, pepohon yang merendang di tepi padang berkenaan menjadi tempat paling ideal untuk menikmati pelbagai jenis laksa sambil disapa bayu malam.
Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati hidangan tambahan seperti burger dan
keropok lekor pada harga yang murah.
Hakikat itu diakui oleh salah seorang daripada lapan peniaga, Zulkarnain Zainal, 42, yang telah 16 tahun membuka gerai perniagaannya di situ.
Beliau yang membuka gerainya hampir setiap hari pada waktu malam sehingga dinihari berkata, terdapat tiga jenis pengunjung yang biasanya datang ke Padang Polo setiap malam untuk menikmati juadah laksa.
"Pada awal malam, padang ini dipenuhi dengan kelompok keluarga mahupun rakan-rakan. Namun, apabila malam semakin larut, pasangan kekasih yang baru pulang menonton wayang di kompleks beli-belah berdekatan pula akan singgah di sini.
"Selain itu, terdapat juga kumpulan anak-anak muda bermotor serta para pekerja yang baru pulang dari syif malam. Kesemua mereka datang semata-mata mahu makan laksa di sini," katanya.
Zulkarnain yang juga seorang pesara tentera berkata, walaupun sebelum ini terdapat peniaga yang cuba menjual menu lain di situ, namun ia tidak pernah mendapat sambutan orang ramai.
Beliau yang mengusahakan perniagaan laksa dengan bantuan anak-anaknya berkata, kuah laksa yang disediakan isterinya menggunakan resipi keluarga yang diwarisi turun-temurun.
"Di sini, ada juga orang jual laksa Kedah. Laksa Ipoh yang saya usahakan ini hampir sama seperti laksa Pulau Pinang, tetapi kuahnya pekat sedikit daripada laksa Kuala Kangsar.
"Dahulu, kawasan di sini gelap kerana tiada lampu jalan. Namun selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mendirikannya, ia semakin menjadi tumpuan orang ramai,” ujarnya.
Menurutnya, banyak anak muda Ipoh yang bekerja di Kuala Lumpur apabila balik kampung, mereka akan datang makan di gerai laksa Padang Polo.
“Ia seolah-olah mengembalikan nostalgia kepada mereka terutamanya buat bekas-bekas pelajar di tiga sekolah berhampiran," katanya.
Sementara itu, di sekitar Padang Polo juga, orang ramai turut tidak melepaskan peluang bersantai serta makan di Restoran D'Polo yang memperkenalkan konsep medan selera Melayu secara terbuka dan terbesar di bandar raya ini sehingga pukul 3 pagi.
Biarpun baru sahaja beroperasi empat bulan lalu, Pengarah Urusan Lan's Catering, Roslan Zainal Abidin yang mengendalikan restoran itu berkata, pelbagai juadah disediakan termasuklah sate, popia, roti canai, ikan bakar, dim sum, mi udang, makanan Barat, Cina, masakan panas serta bergoreng.
"Kita juga menyediakan satu-satunya dewan terbuka yang boleh memuatkan 700 orang dalam satu-satu masa untuk kegunaan pelbagai majlis keraian seperti perkahwinan pada sebelah malam," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment