Tolak pemimpin perangai biadab
April 11, 2012 - Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
IPOH 10 April - Rakyat wajar mengambil iktibar daripada perlakuan biadab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai yang mencetuskan kekecohan pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 semalam.
Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Perak, Md. Yusuf Alang Ahmad berkata, sikap keterlaluan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang naik ke podium Speaker jelas tidak menghormati kemuliaan dewan.
''Apakah budaya ini yang hendak ditunjukkan kepada rakyat negeri Perak? Tindakan tersebut merupakan satu nilai yang bertentangan dengan norma masyarakat di negara ini.
''Perkasa Perak berharap insiden ini akan menjadi iktibar kepada kita semua untuk menolak pemimpin yang berbudaya negatif," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ming Kai yang mencetuskan kekecohan pada hari terakhir Sidang DUN Ke-12 semalam diarahkan keluar dewan setelah bersikap biadab terhadap Ganesan dengan menaiki podium Speaker dan meminta soalan yang dikemukakannya dijawab dalam persidangan.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan para penyokong kerajaan sebelum Ganesan menggunakan Perkara 44 (3) Perintah Tetap DUN untuk mengarahkan Ming Kai keluar dewan dan tidak dibenarkan meneruskan persidangan.
Kekecohan sekali lagi tercetus apabila Ming Kai berdegil dengan memasuki dewan pada sebelah petang sebelum diarahkan keluar.
Dalam pada itu, Md. Yusuf berharap agar semua wakil rakyat menunjukkan contoh teladan terbaik khususnya kepada generasi muda yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara.
''Ini selaras dengan nilai-nilai murni yang ingin disemai dalam matlamat Falsafah Pendidikan Negara menerusi pengajaran di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT)," ujarnya.
Sunday, April 22, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment