Nizar ajak 'humban' Ketuanan Melayu
LUMUT 28 Feb. - Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengajak rakyat menolak konsep Ketuanan Melayu yang disifatkannya sudah tidak relevan dan mesti dihapuskan serta 'dihumban' keluar dari arus politik negara.
Pemimpin Pas itu yang pernah menggemparkan negara kerana memohon "sembah derhaka" kepada Sultan Perak ketika krisis politik Perak pada 2009 mendakwa, konsep Ketuanan Melayu yang diamalkan sejak lebih 55 tahun lalu hanya menanam sifat kebencian sesama kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu membuat kenyataan itu ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Fasa 3B Manjung di sini malam tadi.
Kuliah yang pada mulanya berkisar mengenai sejarah Islam bertukar menjadi ceramah politik apabila Mohammad Nizar mengecam konsep Ketuanan Melayu sehingga pada satu tahap seolah-olah menyamakannya dengan pemerintahan Firaun.
Sambil menggunakan petikan Surah Al-Maidah ayat 8, Mohammad Nizar juga mendakwa konsep Ketuanan Melayu tidak pernah dibenarkan oleh Islam.
"Allah kata Aku tidak terima ketidakadilan. Melayu ditanam sifat benci kepada Cina dan India, Cina ditanam sifat benci kepada Melayu dan India, India ditanam sifat benci kepada Cina dan Melayu.
"Setelah 55 tahun berlalu, kita lihat ketidakadilan ini berlaku. Kalau hendak bawa kembali kepada takwa, hilangkan Ketuanan Melayu. Dalam Islam, yang hanya dibenarkan adalah ketuanan syarak," katanya.
Mohammad Nizar juga mendakwa, prinsip Ketuanan Melayu tidak tercatat dalam sumber berasaskan al-Quran mahupun sunah. Oleh itu, konsep itu harus 'dihumban' keluar kerana didakwanya membawa kepada ketidakadilan dan kezaliman.
Dalam kuliah maghrib itu, Mohammad Nizar juga mengambil kesempatan menyeru orang ramai supaya membuat keputusan yang betul pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dengan memilih kerajaan yang tidak mengamalkan rasuah.
"Di akhirat nanti, Allah nak tanya kita. Soalan pertama siapa tuhan kamu? Soalan kedua siapa kerajaan yang memerintah hari ini? Boleh semak surah ke-40 ayat 16," ujarnya.
Sementara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membidas kenyataan Mohammad Nizar itu yang disifatkan amat keterlaluan dan mengguris perasaan orang Melayu kerana dilihat menyentuh kedaulatan raja-raja Melayu.
Pengerusi Barisan NGO Perak, Muhammad Salleh Khan Muhammad Jaafar menegaskan, menolak Ketuanan Melayu bermakna menafikan kedaulatan raja-raja Melayu yang menaungi pentadbiran negara sejak bertahun-tahun lamanya.
"Kami terkejut kenyataan sebegini keluar daripada seorang Melayu. Hanya Melayu berdarah campuran yang mungkin bercakap dan menyentuh perkara yang sangat sensitif ini. Beliau (Mohammad Nizar) tahukah apa yang dia cakapkan?" katanya.
Salleh juga mempersoalkan kenapa Mohammad Nizar membangkitkan isu tersebut sedangkan sejarah sistem pemerintahan beraja telah berjaya mewujudkan keamanan dan kemakmuran dalam negara sejak bertahun lamanya walaupun terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.
"Ketuanan Melayu tidak menimbulkan kebencian sebaliknya pembangkang sendiri memanipulasi konsep itu demi kepentingan politik untuk mewujudkan rasa marah satu kaum kepada kaum yang lain. Mohammad Nizar perlu berhati-hati, jangan campur aduk perkara ini dengan politik," tegas beliau.
Ketua Wira Perkasa Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd Salleh pula berkata, amat malang apabila Mohammad Nizar tergamak membuat kenyataan itu dalam kuliah Maghrib di rumah Allah yang sepatutnya dijadikan wadah penyatuan umat.
"Mohammad Nizar perlu sedar bahawa kerana hakikat dia seorang Melayu maka dia pernah dilantik menjadi Menteri Besar. Jangan tergamak bercakap sesuatu yang merendahkan martabat bangsa, malah rumah ibadat tidak seharusnya dijadikan gelanggang politik untuk memecah-belahkan umat," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment