Pages


Friday, August 31, 2012

Lenggong Valley - UNESCO World Heritage Site




Lembah Lenggong kaya bahan prasejarah

August 27, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

GERIK 26 Ogos - Biarpun teori Out of Africa mengaitkan setiap manusia mempunyai hubung kait turun-temurun dengan sekumpulan Homo sapiens yang merantau keluar dari Afrika, namun migrasi kuno itu mempunyai jejak signifikannya di sebuah tempat di negara ini.

Tempat tersebut tidak lain tidak bukan ialah Lembah Lenggong di Hulu Perak yang mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) baru-baru ini kerana bahan-bahan prasejarah dan nilai arkeologi yang ada di situ.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Mokhtar Saidin, terdapat bukti menunjukkan bahawa penempatan manusia prasejarah di Lembah Lenggong telah wujud sejak 1.83 juta tahun lalu.

“Manusia terawal di dunia dibuktikan wujud di Afrika dua juta tahun dahulu tetapi di Lenggong, ia tertua di luar Afrika.

“Penemuan ini menyaingi bukti dunia yang mengatakan manusia terawal wujud di luar Afrika hanya bertapak di Dmanisi Georgia sekitar 1.8 juta tahun dahulu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, ekskavasi yang dipelopori oleh penyelidik USM, Prof. Datuk Zuraina Majid di Kota Tampan, Lenggong menemui bukti-bukti kewujudan manusia awal menerusi analisis mitokondrial asid deoksiribonukleik (DNA) kaum Semang beretnik Negrito.

Penemuan tersebut menunjukkan kaum berkenaan berasal daripada sekumpulan manusia yang meninggalkan Afrika kira-kira 80,000 tahun dahulu.

Selain itu, penyelidikan dijalankan mendapati penempatan zaman prasejarah iaitu Zaman Paleolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Logam wujud di Lembah Lenggong.

Penemuan di Bukit Jawa misalnya, hasil pemetaan paleoalam tapak Kota Tampan mendedahkan penempatan masyarakat Paleolitik yang biasanya di gigi tasik, mempunyai enapan ke lilir Sungai Perak yang digunakan untuk membuat alas batu, sekitar 100,000 ke 200,000 tahun dahulu.

Di tapak Gua Gunung Runtuh pula telah ditemui rangka lelaki Manusia Perak yang merupakan satu-satunya rangka manusia terlengkap prasejarah, dilahirkan dengan kecacatan genetik Brachymesophalangia Jenis A2.

Manusia Perak yang hidup kira-kira 10,000 ke 11,000 tahun dahulu dan dipercayai mati kerana sakit tua pada usia 40 ke 45 tahun berdasarkan kehausan gigi gerahamnya dipercayai manusia tertua berikutan jangka hayat individu ketika itu adalah hanya sekitar 20 ke 30 tahun sahaja.

Ciri keunikan Zaman Neolitik di Lembah Lenggong pula boleh ditemui di Gua Harimau apabila 11 pengebumian rangka manusia berusia kira 2,000 ke 4,000 tahun dahulu dijumpai dengan barangan kiriman seperti bekas tembikar, alatan batu, perhiasan badan dan sisa makanan.

Malah, penemuan tunggal penempatan Zaman Logam di Gua Harimau itu juga menunjukkan logam yang digunakan adalah lebih tua usianya berbanding alatan sama yang ditemui di Sarawak (Gua Niah dan Gua Sireh), Selangor (Jenderam Hilir dan Kampung Sungai Lang) dan Sabah (Gua Agop Atas dan Gua Pusu Lumut).

Menurut Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Gua Tampan, Gua Kelawar, Gua Gunung Runtuh dan beberapa kawasan lain di Lembah Lenggong dijadikan tumpuan kajian lanjutan untuk penarafan pengiktirafan UNESCO.

“Pengiktirafan Lembah Lenggong merupakan kehebatan Malaysia dengan adanya empat pengiktirafan lain daripada UNESCO iaitu Georgetown, Kota Melaka, Gunung Kinabalu dan Gua Niah di Sarawak," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...