Pages


Friday, August 31, 2012

38 'hot spots' in Perak

38 kawasan 'panas' di Perak

August 15, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 14 Ogos - Polis hari ini mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan 38 kawasan 'panas' di seluruh negeri ini yang sering menjadi lokasi kemalangan maut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, bagi mengelak kemalangan yang boleh mengakibatkan kesesakan, pihaknya akan menempatkan 940 pegawai dan anggota polis untuk bertugas sepanjang Ops Selamat berlangsung.

"Kita menjangkakan akan berlaku kesesakan lalu-lintas bermula Khamis ini memandangkan Perak mempunyai laluan lebuh raya terpanjang di Malaysia iaitu sepanjang 233 kilometer.

"Sehubungan itu, anggota polis akan ditempatkan di kawasan-kawasan panas sama ada di khemah, kereta atau motosikal bagi mengingatkan para pengguna jalan raya. Kehadiran kami adalah untuk membantu, bukan menangkap anda," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Shukri berkata, bagi melancarkan aliran trafik di bandar, pihaknya akan menukar sistem warna lampu isyarat sedia ada supaya hanya lampu berwarna kuning dinyalakan di beberapa jalan persekutuan tertentu.

Beliau berkata, langkah tersebut bagi menggerakkan aliran trafik tidak seimbang yang juga akan diawasi oleh pihak polis.

"Oleh itu, kita harap nanti ia tidak disalah anggap bahawa lampu isyarat di jalan tersebut sudah rosak," katanya.

Sementara itu, katanya, bagi meningkatkan kelancaran trafik, polis juga akan menggunakan pendekatan baru dengan memberi laluan kepada kenderaan yang keluar dari tol terutamanya di Plaza Tol Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) Changkat Jering, Kuala Kangsar dan Simpang Pulai.

"Selain itu, kita juga akan melancarkan perjalanan kenderaan yang keluar dari kawasan rehat dan rawat (R&R) terutamanya di Tapah dan Sungai Perak," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...