Sunday, April 22, 2012
Please Help My Son !
Ibu rayu bantuan Wisma Putra
March 23rd, 2012 - Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
IPOH 22 Mac - Seorang ibu merayu bantuan kerajaan supaya mengaturkan pertemuan dengan anak lelakinya yang menjadi mangsa keldai dadah dan kini meringkuk di Pusat Tahanan Taoyuan, Taiwan sejak enam tahun lalu.
Hajijah Abdul Rashid, 54, tidak dapat menahan kerinduan terhadap anak keduanya, Khairil Azuan Abu Hassan, 32, yang ditahan sejak 2006 sebelum dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup di pusat tahanan itu pada 2008.
Hajijah yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, sejak itu, Khairil Azuan hanya dibenarkan membuat panggilan telefon kepada keluarga dua kali setahun dan mengutus surat tiga bulan sekali.
"Saya hanya tahu anak saya dipenjarakan di Taiwan apabila dia menelefon pada pagi Aidilfitri 2007. Sebelum itu pun, saya sudah lama tak bertemu dengannya kerana dia bekerja di bengkel dan menetap di Batu Gajah.
"Namun, setiap kali saya bertanya kenapa boleh jadi macam ini, dia hanya kata Wan minta mak dan ayah jaga diri baik-baik, tidak payah susah hati. Ini sudah ketentuan Allah kepada Wan. Lagipun, dia kata, setiap perbualan atau apa-apa surat yang ditulisnya akan dipantau," katanya.
Hajijah ditemui pada sidang akhbar di rumahnya di Simpang Sindhu, Kampung Kepayang di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Lee Kon Yin.
Pada pertemuan itu, Kon Yin menyampaikan sumbangan cek bernilai RM3,000 kepada Hajijah bagi membantu meringankan beban yang dihadapi keluarga tersebut.
Menurut Hajijah, Khairil Azuan telah pun bercerai dengan isteri serta meninggalkan dua anak, masing-masing berusia 10 dan 12 tahun.
Khairil Azuan ditangkap pihak berkuasa Taiwan pada 14 Jun 2006 di Lapangan Terbang Chiang Kai Shek, sejurus tiba dari Bangkok, Thailand melalui penerbangan China Airlines CI 068 atas kesalahan cuba menyeludup dadah jenis heroin seberat 1,536 gram.
Hajijah dan suaminya, Abu Hassan Puteh, 57, seorang pekerja kuari kini mengharapkan bantuan Wisma Putra memandangkan pihak berkuasa Taiwan enggan membenarkan sebarang lawatan ke atas anaknya atas alasan kesalahan yang dilakukan amat berat.
"Kalau dia ditahan di sini, sekurang-kurangnya saya dapat melawatnya, tetapi kalau di tempat orang, hidup mati belum tentu lagi. Anak saya tidak pernah pergi melancong ke luar negara, itu yang saya terkejut.
"Dia seorang anak yang berbudi pekerti tetapi lebih gemar menyimpan rahsia jika berhadapan sesuatu masalah. Saya ada mengirimkan sedikit wang kepadanya yang gemar membaca novel ketika berada di pusat tahanan," katanya sebak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment