Pages


Friday, March 23, 2012

Proposed Tilapia Park in Hulu Perak

Buka Tilapia Park di Hulu Perak

March 13, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 12 Mac - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) bercadang membuka taman perusahaan ikan tilapia dikenali sebagai Tilapia Park di Hulu Perak dalam usaha merancakkan industri ternakan haiwan itu secara besar-besaran.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, cadangan membuka tapak perusahaan haiwan itu sedang diperincikan bersama sebuah syarikat rakan kongsi dari Norway.

Beliau yang juga Pengerusi PPPNP berkata, jika dibuka kelak, Tilapia Park turut menjalankan pelbagai aktiviti hiliran memproses ikan tilapia.

''Ia termasuk aktiviti seperti pelaksanaan perusahaan kilang pemprosesan dan pembungkusan tilapia yang akan diperincikan bersama rakan kongsi dari Norway.

''Selain itu, PPPNP juga bercadang untuk melaksanakan projek 'Set-Net' iaitu pemasangan jaring dan sangkar ikan di laut melibatkan keluasan dua hingga lima hektar bagi tujuan eko-pelancongan serta rekreasi perikanan laut di Pulau Pangkor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PPPNP yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, A. Rizal Abd Rahman.

Pada majlis itu, Zambry turut meraikan 151 kakitangan PPPNP yang bakal menunaikan umrah dalam masa terdekat berikutan peningkatan keuntungan PPPNP yang melonjak sebanyak RM16,509 berbanding tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry memberitahu, PPPNP bakal mengambil alih sebuah syarikat pengeluaran produk kesihatan berasaskan pertanian dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatannya.

Bagaimanapun kata beliau, usaha itu masih di peringkat cadangan dan ia bakal diumumkan apabila tiba masanya.

''Kita masih mengkaji beberapa syarikat dan ia bergantung kepada timbang tara yang dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan muktamad," jelas beliau.

Mengenai prestasi PPPNP, beliau memberitahu, pihaknya mengunjurkan kenaikan keuntungan bersih sebanyak lima peratus iaitu sekitar RM80 juta berbanding RM75.14 juta yang dicatatkan pada tahun lalu," katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...