Amah: Tidak Munasabah
March 18, 2012 - Utusan Malaysia
Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my
IPOH 17 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kenyataan seorang pegawai buruh Indonesia mengenai konsep satu amah, satu kerja dengan gaji minimum RM700 sebagai sesuatu yang tidak munasabah.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, Malaysia tidak akan berganjak daripada ketetapan yang sudah dipersetujui dengan Indonesia berhubung penghantaran semula amah dari republik itu ke negara ini yang dijadualkan bermula bulan depan.
Menurut beliau, Indonesia seharusnya kembali kepada persefahaman yang sudah dicapai antara beliau dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebelum ini.
"Pada masa itu, semua syaratnya telah dibincangkan dan kedua-dua menteri juga berpuas hati dengan persefahaman yang dicapai.
"Tidak ada apa-apa pun yang dibangkitkan ketika itu. Jadi saya pun rasa hairan kenapa pada saat ini, setelah ditandatangani persefahaman tersebut, dia (Indonesia) bangkit macam-macam perkara," katanya selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Wan Hwa II di sini hari ini.
Najib kemudian menghadiri majlis Mesra Bersama Rakyat di Kampung Kacang Putih, Buntung di sini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman mengenai ketetapan supaya amah dari Indonesia melakukan hanya satu tugas khusus di rumah majikan dengan gaji minimum RM700.
Dengan ketetapan itu, Reyna berkata, seandainya seorang amah diupah untuk mengasuh bayi, tugasnya hanya mengasuh bayi dan tidak akan melakukan kerja-kerja rumah yang lain.
Reyna turut memberitahu, majikan yang memerlukan khidmat amah pada hari cuti rehat juga diwajibkan membayar gaji lebih masa sebanyak RM27 sehari atau RM108 sebulan jika bekerja tanpa cuti.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mencari jalan penyelesaian melalui saluran diplomatik bagi menangani segala perkara berbangkit berhubung isu tersebut.
"Kita akan cari jalan penyelesaian tetapi saya terkejut selepas dua pemimpin tertinggi sudah bersetuju, perkara ini boleh berlaku," katanya.
Indonesia pada 26 Jun 2009 membuat keputusan membekukan sementara penghantaran pembantu rumah selepas beberapa kes penderaan dan penganiayaan ke atas amah negara itu terjadi di Malaysia.
Bagaimanapun, pembekuan itu ditarik balik selepas Najib dan Susilo mencapai kata sepakat berhubung perkara itu ketika pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat dan Bali pada Oktober dan November tahun lalu.
Friday, March 23, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment