Sunday, February 5, 2012
Eradicating Poverty Through Zakath
Basmi kemiskinan secara menyeluruh
January 31, 2012 - Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
IPOH 30 Jan. – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu usaha membasmi kemiskinan ummah dilakukan secara menyeluruh melalui pembangunan minda, rohani dan iman supaya ia tidak berlandaskan kepada agihan zakat semata-mata.
Baginda bertitah, zakat hanyalah satu daripada komponen dalam syariat Islam dan objektif membasmi kemiskinan tidak akan mampu dilaksanakan sekiranya dilakukan secara berasingan.
Mengambil contoh pendekatan pemerintahan Sayidina Umar Abdul Aziz dalam melaksanakan sistem zakat secara menyeluruh, baginda bertitah, ia berjaya membawa kepada perubahan sistem sosial yang akhirnya membangkitkan kesedaran umat.
Raja Dr. Nazrin bertitah, berdasarkan catatan sejarah, sepanjang pemerintahan Saidina Umar juga, tiada lagi orang miskin yang mahu menerima zakat meskipun mereka tidak berkemampuan dari segi harta.
‘‘Minda, rohani dan iman yang miskin sukar dikayakan serta dibangunkan jiwa merdeka, malah ia menjadi faktor pendorong seseorang insan memiliki karektor seorang abdi. Mereka ini mudah menggadai prinsip serta diperalatkan.
‘‘Malah jika sekalipun mereka dicurahkan bantuan kebendaan atau disalutkan dengan kekayaan duniawi, mereka mudah melakukan penyelewengan lalu membenarkan berlakunya ketirisan. Akibatnya, umat terus kekal dalam orbit kemiskinan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sewaktu mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) Ke-178 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria.
Sebelum persidangan tersebut, Raja Dr. Nazrin turut berkenan menyampaikan majlis penganugerahan watikah pelantikan ahli-ahli MAIAMP untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2014.
Tiga anggota baru MAIAMP yang dilantik terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Toh Seri Bijaya Lt. Kol. (B) Shaharudin Nazari serta Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Dr. Abd. Malek Awang Kechil.
Dalam perkembangan sama, Raja Dr. Nazrin bertitah, faktor agihan kekayaan perlu dijadikan sebagai salah satu kriteria penentu kerana kemiskinan tidak wajar berlaku dalam sesebuah negara maju.
Baginda bertitah, ia berikutan, matlamat bantuan zakat itu sendiri adalah untuk membina upaya serta memerdekakan seseorang insan sehingga akhirnya mereka berupaya untuk berdikari.
‘‘Program zakat berjaya adalah yang pada akhirnya dapat mengurangkan bilangan ummah yang terpaksa bergantung kepada bantuan zakat, malah melahirkan lebih ramai berupaya menunaikannya,” titah baginda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment