Pages


Monday, February 20, 2012

Sayangi Hidupan Penyu



Derita sang penyu perlu pembelaan

Feb. 16, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

LUMUT 15 Feb. - Penyu kini dilanda masalah serius kerana lebih 300 spesies haiwan tersebut berdepan dengan ancaman kepupusan.

Hidupan itu bukan sahaja dikumpul, didagang mahu pun dimakan, malah habitat haiwan tersebut turut diancam pencemaran dan kemusnahan bagi tujuan pembangunan.

Laporan Gabungan Penjagaan Penyu, sebuah gerakan global termasuk Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam dan Sumber Asli (IUCN) pada Mac tahun lalu mendedahkan, terdapat 25 penyu air tawar dan kura-kura yang kini paling diancam kepupusan.

Biarpun cangkerang penyu berupaya memastikan survival haiwan tersebut sejak bertahun lamanya, namun kerakusan manusia mampu melenyapkan spesies itu dalam sekelip mata.

Di negara China, perdagangan penyu amat berleluasa dengan jutaan haiwan tersebut diimport setiap tahun dari seluruh Asia, Afrika dan Amerika Utara bagi memenuhi permintaan tinggi.

Meskipun perusahaan penyu berskala besar secara komersial giat diusahakan bagi memenuhi permintaan domestik di China, namun populasi haiwan tersebut masih terancam.

Ia berikutan terdapat permintaan untuk mendapatkan daging penyu selain ada yang juga melihatnya sebagai satu produk perubatan.

Lebih malang, populasi penyu semakin musnah apabila penggemar haiwan yang kaya sanggup membayar berjuta-juta dolar Amerika di pasaran gelap semata-mata untuk mendapatkan haiwan tersebut.

Di negara ini pula, Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menyeru pihak berkuasa melarang penjualan dan pemakanan telur penyu dan tidak terbatas hanya kepada penyu belimbing.

Menurut WWF Malaysia, penyu agar, penyu karah dan terutamanya penyu lipas juga kian berada di ambang kepupusan sekiranya telur-telur hidupan ini tidak dilindungi oleh undang-undang.

Biarpun begitu, Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Pemuliharaan dan Pengurusan Penyu Malaysia yang dilancarkan pada 2008 sekurangnya menyediakan platform tepat ke arah perlindungan telur penyu daripada dijual dan dimakan.

Menyedari hakikat tentang peri pentingnya penjagaan penyu, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) bersama 200 pekerjanya baru-baru ini menganjurkan program 'Kenali Penyu Sayangi Penyu' di Pusat Pengurusan Penyu Segari.

Seramai 50 pelajar dari Sekolah Rendah Kebangsaan Segari, Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Min, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Huntley menyertai inisiatif ini.

Dirancang di bawah Program Pembangunan Kepemimpinan Malakoff, pelajar memperoleh pemahaman yang lebih baik mengenai penyu termasuklah langkah yang perlu mereka lakukan supaya kemandirian spesies tersebut terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Zainal Abidin Jalil berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam penjagaan alam sekitar di bawah platform tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Projek ini amat bermakna dan kita berharap pelajar dan masyarakat setempat akan mendapat lebih input bagaimana untuk memulihara populasi penyu yang semakin berkurangan," katanya.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuklah ceramah bertajuk Kenali Penyu Bererti Menyayangi Penyu yang memfokuskan tentang pemahaman terhadap haiwan tersebut termasuk kitar hidupnya.

Para pelajar turut dibawa melawat di sekitar pusat penetasan penyu, tangki semaian dan kolam penyu.

Selain itu, mereka juga terlibat dalam pertandingan mewarna penyu dan kuiz antara sekolah bagi menguji pengetahuan mengenai hidupan laut tersebut.

Pada akhir program, para peserta berikrar tidak akan sesekali memakan telur penyu sebagai sebahagian daripada komitmen mereka untuk memperbanyak populasi haiwan tersebut.

Kemuncak program adalah melepaskan anak-anak penyu ke laut yang juga merupakan langkah terakhir dalam penjagaan penyu.

Ketua projek bagi program tersebut, Mohd. Nizam Baharin berkata, pihaknya merancang untuk meneruskan program itu pada setiap tahun.

Terdahulu, mereka turut bergotong-royong membersihkan serta mengecat premis di Pusat Pengurusan Penyu Segari bagi menceriakan suasana di situ.

Seorang guru daripada Sekolah Kebangsaan Segari, Rashidah Shaari berkata, program tersebut berjaya membuka mata para pelajar mengenai kepentingan penyu terhadap ekosistem.

"Inisiatif sebegini harus diteruskan supaya kesedaran orang ramai terhadap penjagaan penyu akan lebih bertambah," katanya.

Keuntungan Besar Felcra

Peserta Felcra terima dividen RM839j

Feb. 13, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR dan AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my

PASIR SALAK 12 Feb. - Seramai 94,000 peserta Felcra di seluruh negara bakal menerima durian runtuh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan dividen sebanyak RM914 juta di sini Sabtu ini.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, pengumuman tersebut akan dibuat sempena Perhimpunan Rakyat dan Peserta Felcra Peringkat Kebangsaan yang dijangka dihadiri seramai 50,000 orang.

"Daripada jumlah dividen tersebut, RM839 juta adalah untuk peserta Felcra sementara yang selebihnya akan diagihkan kepada peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Terdapat 7,000 peserta PPRT di seluruh negara yang kita bantu setiap bulan sejak bertahun-tahun lamanya iaitu bantuan bulanan sebanyak RM250 sebulan," katanya selepas meninjau persiapan perhimpunan tersebut di Tapak Perumahan Generasi Kedua Felcra Berhad Seberang Perak, Changkat Lada dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Perak, Mat Roni Zakaria.

Sementara itu Tajuddin berkata, Felcra akan mewujudkan dana pelaburan yang diuruskan oleh syarikat Pelaburan Felcra Berhad dengan suntikan awal sebanyak RM100 juta.

Beliau berkata, dana pelaburan itu adalah inisiatif baru bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil ladang oleh peserta Felcra kerana hasil sektor itu yang semakin terhad ekoran masalah kekurangan tanah.

Tajuddin memberitahu, dana tersebut diuruskan oleh lembaga amanah yang profesional dan Felcra menggalakkan peserta untuk menabung dalam dana pelaburan berkenaan.

"Kami jangka kalau peserta melabur, Felcra pun melabur. Kita boleh wujudkan dana hingga RM500 juta dalam tempoh tiga atau tempat tahun. Jumlah itu membolehkan kita melakukan pelbagai pelaburan dan beri pulangan kepada syarikat dan peserta," katanya.

Selain itu katanya, Felcra juga akan menubuhkan Kolej Felcra di Seberang Perak bagi membangunkan modal insan daripada kalangan generasi Felcra.

Sunday, February 5, 2012

Eradicating Poverty Through Zakath



Basmi kemiskinan secara menyeluruh

January 31, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 30 Jan. – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu usaha membasmi kemiskinan ummah dilakukan secara menyeluruh melalui pembangunan minda, rohani dan iman supaya ia tidak berlandaskan kepada agihan zakat semata-mata.

Baginda bertitah, zakat hanyalah satu daripada komponen dalam syariat Islam dan objektif membasmi kemiskinan tidak akan mampu dilaksanakan sekiranya dilakukan secara berasingan.

Mengambil contoh pendekatan pemerintahan Sayidina Umar Abdul Aziz dalam melaksanakan sistem zakat secara menyeluruh, baginda bertitah, ia berjaya membawa kepada perubahan sistem sosial yang akhirnya membangkitkan kesedaran umat.

Raja Dr. Nazrin bertitah, berdasarkan catatan sejarah, sepanjang pemerintahan Saidina Umar juga, tiada lagi orang miskin yang mahu menerima zakat meskipun mereka tidak berkemampuan dari segi harta.

‘‘Minda, rohani dan iman yang miskin sukar dikayakan serta dibangunkan jiwa merdeka, malah ia menjadi faktor pendorong seseorang insan memiliki karektor seorang abdi. Mereka ini mudah menggadai prinsip serta diperalatkan.

‘‘Malah jika sekalipun mereka dicurahkan bantuan kebendaan atau disalutkan dengan kekayaan duniawi, mereka mudah melakukan penyelewengan lalu membenarkan berlakunya ketirisan. Akibatnya, umat terus kekal dalam orbit kemiskinan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sewaktu mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) Ke-178 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria.

Sebelum persidangan tersebut, Raja Dr. Nazrin turut berkenan menyampaikan majlis penganugerahan watikah pelantikan ahli-ahli MAIAMP untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2014.

Tiga anggota baru MAIAMP yang dilantik terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Toh Seri Bijaya Lt. Kol. (B) Shaharudin Nazari serta Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Dr. Abd. Malek Awang Kechil.

Dalam perkembangan sama, Raja Dr. Nazrin bertitah, faktor agihan kekayaan perlu dijadikan sebagai salah satu kriteria penentu kerana kemiskinan tidak wajar berlaku dalam sesebuah negara maju.

Baginda bertitah, ia berikutan, matlamat bantuan zakat itu sendiri adalah untuk membina upaya serta memerdekakan seseorang insan sehingga akhirnya mereka berupaya untuk berdikari.

‘‘Program zakat berjaya adalah yang pada akhirnya dapat mengurangkan bilangan ummah yang terpaksa bergantung kepada bantuan zakat, malah melahirkan lebih ramai berupaya menunaikannya,” titah baginda.

Chinese State Government in Perak ?




Pembangkang menipu Cina

January 30, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 29 Jan. - Pengundi kaum Cina di negeri ini diingatkan supaya tidak terpedaya dengan helah terbaru parti pembangkang yang kononnya mahu menubuhkan 'Kerajaan Cina' di Perak jika menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek (gambar) ketika mendedahkan perkara itu, menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pembohongan yang amat besar.

"Saya mendapat maklumat daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai, kononnya parti pembangkang berkempen kepada masyarakat Cina di peringkat akar umbi bahawa orang Cina akan dijadikan 'taiko' sekiranya mereka memerintah Perak.

"Ini merupakan satu pembohongan besar kerana selepas pilihan raya yang lalu, walaupun pembangkang menang, tetapi Menteri Besar yang dilantik bukan daripada kaum Tionghua, tetapi seseorang daripada Pas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA Perak yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Agung MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk R. Ganesan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.

Mengulas lanjut, Soi Lek yang juga Pengerusi MCA Perak berkata, kebanyakan masyarakat Cina tidak sedar bahawa sekiranya mengundi DAP, mereka sebenarnya hanya memberi lebih kekuatan kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mendominasi pakatan pembangkang.

Kebanyakan pengundi Cina katanya, hanya melihat DAP sebagai sebuah parti tunggal sedangkan ia bekerjasama dengan pakatan pembangkang lain dengan menggunakan simbol berbeza semasa pilihan raya.

"Jika dilihat pada pilihan raya umum 2008, DAP mempunyai 18 wakil rakyat sementara Pas dan PKR hanya 11 orang, tetapi yang menjadi 'taiko' di negeri ini ialah Pas, bukannya DAP.

"MCA selalu percaya bahawa 'abang besar' dalam pakatan pembangkang ialah Pas kerana mereka mempunyai lebih ramai keahlian, sumber dan akan bertanding lebih banyak untuk kerusi Parlimen," katanya.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...