Kerajaan jimat RM51.5 juta
October 22, 2009 - Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Kerajaan akan mengurangkan kos subsidi beras gred ST15 (15 peratus hancur) sebanyak RM51.5 juta apabila pelaksanaan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara dilaksanakan bermula 1 Disember ini.
Pengarah Urusan Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Bakry Hamzah berkata, pada ketika ini, subsidi kerajaan melibatkan sejumlah RM60 juta untuk 40,000 tan beras sebulan.
“Apabila sistem kupon beras ini dilaksanakan, pembekalan beras ST15 yang dikeluarkan pihak Bernas akan menurun sehingga 6,000 ke 8,000 tan metrik.
“Kos subsidi juga akan menjunam daripada RM60 juta ketika ini kepada RM8.5 juta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang menyebut, kerajaan akan mengedarkan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Noh berkata, menerusi program subsidi itu, kira-kira 43,500 keluarga miskin tegar berpendapatan RM450 sebulan di bandar dan RM420 sebulan di luar bandar akan menerima kupon bagi 30 kilogram beras percuma setiap bulan.
Selain itu, beliau berkata, lebih 150,000 keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan di bandar dan RM1,000 sebulan di luar bandar akan menerima tiga kupon subsidi bernilai RM10 setiap satu bagi tempoh setiap bulan.
Tambahnya, kira-kira 15,000 keluarga Orang Asli di seluruh negara turut menerima beras percuma dan subsidi beras tersebut.
Beliau juga berkata, penerima kupon RM10 layak membeli beras gred ST15 (15 peratus hancur) untuk 10 kilogram yang berharga RM24 dengan harga RM14.
Sementara itu, Bakry berkata, penggunaan sistem kupon ini mempunyai kebaikan tersendiri kerana penerimanya dapat membeli beras berkualiti tinggi dengan harga lebih murah.
“Sebagai contoh, sekiranya mereka ingin membeli beras ST5 iaitu beras yang lebih baik kualitinya daripada ST15, mereka hanya perlu membayar perbezaan harga beras tersebut,” katanya.
Thursday, May 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment