May 21, 2010 - Utusan Malaysia
WIEF 2010 capai lima usul
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 20 Mei - Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) 2010 yang berakhir hari ini mencapai deklarasi lima usul yang antara lain akan membentuk Sidang Kemuncak Ekonomi untuk memberi fokus kepada langkah-langkah praktikal memajukan ekonomi negara Islam.
Menerusi Deklarasi Kuala Lumpur yang dicapai pada hari terakhir WIEF keenam itu, semua yang terlibat sepakat untuk berusaha meningkatkan sumbangan kewangan dan perbankan Islam ke arah sistem kewangan antarabangsa yang lebih lestari.
Setiausaha Agung WIEF, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata, sesuai dengan tema Berusaha Untuk Kebangkitan Ekonomi, pihaknya akan mengambil tindakan bersama pemimpin berkaitan untuk mengembangkan cadangan-cadangan khusus yang terdapat dalam deklarasi tersebut.
Katanya, usul kedua dalam deklarasi itu ialah mewujudkan Bank Pembangunan Tenaga Bersih berikutan ancaman perubahan iklim dunia dan peluang menjana peluang perniagaan dalam industri tenaga bersih.
"Ketiga mengenai usul Yayasan Keusahawanan Sosial. WIEF akan menilai model-model sektor swasta berasaskan keusahawanan sosial dan memfokuskan kepada keperluan pembiayaan khas yang diperlukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan lain-lain perusahaan di seluruh negara Islam,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas penutupan forum ekonomi berkenaan.
Selain itu, katanya, deklarasi hari ini turut menumpukan kepada usaha membangunkan pusat inkubasi inovasi dan kreativiti dalam usaha memperkasakan pendidikan, latihan dan sistem pembangunan kemahiran penting untuk perkembangan dan inovasi nasional.
Menurutnya, WIEF akan menyelia bersama pemimpin akademik dan institusi untuk membentuk pelan perintis bagi penubuhan pusat inkubasi berkenaan.
Usul kelima pula meliputi pembangunan syarikat belia yang akan menyaksikan WIEF memulakan ujian perintis terhadap cadangan ini bagi memperkembang pelan yang sesuai untuk menggalakkan semangat belia dan menyiapkan mereka untuk kepemimpinan masa depan.
Wednesday, May 4, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment