Pages


Wednesday, May 4, 2011

Gugurnya Srikandi Negara

January 11, 2010 - Utusan Malaysia

Tokoh pejuang banyak berjasa

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Tun Fatimah Hashim sebagai seorang tokoh pejuang yang begitu banyak berjasa kepada negara dan UMNO.

Pemergian srikandi negara itu juga disifatkan Najib sebagai tokoh wanita unggul yang telah meletakkan asas dalam perjuangan wanita dan telah menganggotai Kabinet pada peringkat awal selepas kemerdekaan.

"Allahyarham telah memberi sumbangan yang amat besar nilainya kepada kerajaan dan negara, justeru saya menganggap beliau sebagai seorang tokoh pejuang, tokoh wanita dan tokoh dalam kerajaan yang begitu besar jasanya.

"Oleh itu, kita akan merakamkan detik-detik yang dilalui Allahyarham semasa beliau menjadi pemimpin negara," katanya selepas menghadiri pengebumian jenazah Allahyarham di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini hari ini.

Antara yang hadir ke majlis pengebumian itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Bekas Menteri Kebajikan, Tun Fatimah Hashim meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Bukit Pantai pada usia 85 tahun.

Allahyarham yang juga bekas Ketua Kaum Ibu (kini Wanita UMNO) menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.35 malam.

Allahyarham merupakan isteri kepada bekas Menteri Undang-Undang, Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusuf yang kembali ke rahmatullah pada 18 April 1992 akibat kanser paru-paru.

Beliau meninggalkan enam anak iaitu Mariam, Mohamed Shah, Khalid, Ali, Abdul Karim dan Faridah selain 18 orang cucu serta 13 orang cicit.

Jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di kediamannya kira-kira pada pukul 10 pagi sebelum dibawa ke Masjid Negara pada pukul 12.10 tengah hari.

Dalam pada itu, Perdana Menteri dan isteri tiba di pekarangan Masjid Negara pada pukul 1.25 petang sebelum jenazah Allahyarham disembahyangkan sejurus selepas solat zohor yang dipimpin oleh Jamil Khir.

Jenazah Allahyarham yang dikebumikan mengikut istiadat pengebumian negara selesai pada pukul 2.10 petang diikuti oleh bacaan talkin yang juga dipimpin Jamil Khir.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menziarah jenazah Tun Fatimah di kediaman Allahyarham bersama isteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Dr. Mahathir kelihatan sebak dan tidak memberi sebarang ulasan kepada pemberita.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...