Beli perangkap minyak tepati piawaian
IPOH 30 Dis. - Semua pengusaha restoran atau kedai makan di bandar raya ini yang diwajibkan untuk memasang perangkap minyak di premis masing-masing, bebas untuk membeli alatan tersebut daripada mana-mana syarikat selagi ia menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim menegaskan, tiada arahan dikeluarkan oleh pihaknya supaya alatan tersebut yang bertujuan mengasingkan sisa-sisa makanan hanya boleh dibeli daripada tiga syarikat terpilih.
"Setakat ini sebanyak 492 premis atau 28 peratus telah memasangnya termasuk di kawasan MBI Terrace. Kita bukan memaksa mereka untuk membeli daripada syarikat tertentu.
"Kita hanya mahu pastikan longkang-longkang di premis ini tidak tersumbat dan kita tiada kepentingan ke atas syarikat-syarikat tersebut. Cuma, kita mencadangkan syarikat-syarikat berkenaan kerana mereka mempunyai paten mengikut kesesuaian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Restoran Dim Sum Cafe Sdn. Bhd. di Pusat Perdagangan Greentown di sini yang muncul sebagai premis terbaik oleh Jabatan Kesihatan di peringkat negeri baru-baru ini.
Dalam pada itu Roshidi berkata, pemasangan perangkap minyak tersebut bukan sahaja mampu menjamin kebersihan, malah kandungan minyak yang terperangkap daripada sisa-sisa makanan tersebut boleh dijual kembali untuk menambah pendapatan.
Beliau berkata, dari September lalu sehingga hari ini, sebanyak 12.1 metrik tan minyak yang terkumpul, berjaya dijual kepada lima syarikat berkenaan untuk diproses menjadi biobahan api (biofuel).
"Setakat ini, kita masih tidak menetapkan sebarang tarikh akhir untuk pemasangan perangkap minyak di premis perniagaan," tambah beliau.