Usaha melestarikan alam sekitar
Nov. 22, 2012 - Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
LUMUT 21 Nov. - Melihat situasi perubahan iklim global yang kian meruncing, usaha penanaman pokok kini dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian penting ke arah mewujudkan kelestarian alam sekitar.
Pokok bukan sahaja membekalkan bekalan oksigen kepada hidupan di dunia ini, malah berupaya mengawal kuantiti gas karbon dioksida di atmosfera.
Selain menjadi tempat perteduhan secara semula jadi, pokok juga mampu mengurangkan risiko banjir serta pencemaran bunyi.
Menyedari mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar khususnya kepada generasi muda, Aeon Co. (M) Bhd. (Aeon) bergerak secara proaktif dengan mewujudkan program menanam pokok setiap kali majlis pembukaan cawangan baru pusat beli-belah itu.
Pengarah Urusannya, Nur Qamarina Chew Abdullah berkata, pihaknya percaya program menanam pokok bersama komuniti setempat secara langsung menggalakkan masyarakat membawa perubahan lebih baik terhadap alam sekitar.
"Kali pertama program penanaman anak pokok Aeon ialah pada 1991 iaitu ketika pembukaan pusat beli-belah Aeon Ayer Keroh di Melaka yang melibatkan penanaman sebanyak 50,000 pokok.
"Sehingga hari ini, kita telah menanam lebih 450,000 anak pokok di seluruh negara," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penanaman pokok di Pusat Beli-Belah Aeon Seri Manjung, dekat sini baru-baru ini.
Majlis yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan itu turut dihadiri Pengerusi Aeon Co. (M) Berhad, Datuk Abdullah Mohd. Yusof.
Pada majlis tersebut, lebih 2,000 anak pokok ditanam oleh kira-kira 300 pelajar sekolah serta kakitangan Aeon dan penduduk setempat di sekitar kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah itu.
Antara spesies anak pokok yang ditanam termasuklah Rhu Bukit, African Mahogany, Burma Rosewood dan Purple Coral Tree.
Sebanyak lima sekolah menyertai program tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manjung, SK Seri Sitiawan, SK Sri Bayu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tit Bin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mukim Pundut.
Dalam perkembangan berkaitan, Nur Qamarina berkata, pihaknya juga pernah terlibat dalam program penanaman pokok di Paya Indah Wetlands, Selangor pada 2005 ketika menyambut ulang tahun ke-25 Aeon dengan rekod penanaman sebanyak 25,000 anak pokok.
Pada September tahun lalu pula katanya, para sukarelawan dengan kerjasama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) turut membantu menanam 1,000 anak pokok di Tapak Rehabilitasi dan Perhutanan Semula Habitat Orang Utan di utara Ulu Segama, Sabah milik Aeon.
"Program penanaman pokok ini sebenarnya selari dengan misi korporat dan aktiviti Aeon untuk menghijaukan bumi buat generasi akan datang selain mengekalkan penjagaan alam sekitar.
"Selain memperkembangkan rangkaian pusat beli-belah Aeon di seluruh negara, pada masa sama kita dapat berinteraksi lebih dekat dengan masyarakat setempat," katanya.
Sementara itu, seorang murid tahun enam SK Seri Manjung, Muhd. Luqman Hakim, 12, yang menyertai program tersebut berkata, dia gembira kerana berpeluang untuk menyertai aktiviti berfaedah tersebut.