Pages


Wednesday, January 25, 2012

Kelab Taat Suami

* This is the original version of my writing - but I'm not sure whether it will come out in the newspaper tomorrow. Sekadar berkongsi apa sebenarnya yang ingin dibawa oleh Kelab Taat Suami tanpa sebarang prejudis, hanya berdasarkan fakta dan apa yang disampaikan sewaktu sidang media


KTS promosi Rasulullah tokoh seks suci Islam

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 25 Jan. - Kelab Taat Suami (KTS) yang pernah mencetuskan kontroversi pada tahun lalu kerana menyeru para isteri memberi layanan 'pelacur kelas pertama' kepada suami, kini giat mempromosi Rasulullah sebagai tokoh seks suci Islam.

Ditubuhkan oleh Global Ikhwan Sdn. Bhd.(GISB) yang dikaitkan dengan pergerakan haram kumpulan Al-Arqam sebelum ini, kempen tersebut kini dijalankan di seluruh Malaysia sempena sambutan Maulidur Rasul pada 5 Februari ini.

Ahli Lembaga Pengarah GISB, Ahmad Bakhtiar Ahmad berkata, seks suci Rasulullah wajar dijadikan teladan apabila ia didakwa menyamai kehebatan hampir 40 orang lelaki ekoran mampu mendatangi 11 isterinya dalam satu malam.

Walaupun mengakui ia hanya bersandarkan dalil bersifat umum, Ahmad Bakhtiar berkata, kehebatan seks tersebut mampu dilaksanakan secara roh yang mana orang terpilih berupaya muncul di beberapa tempat dalam sesuatu masa.

"'Orang roh' ini hubungan hatinya tidak putus dengan tuhan dan ia diperoleh hasil kekuatan taqwanya dan salah satu orangnya ialah 'Abuya' (pengasas pergerakan haram Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Mohamad).

"Pengasas KTS, Ummu Jah (isteri Asaari, Hatijah Aam), tidak bercadang untuk menukar tema promosi kempen ini kerana ia tidak sesekali menjatuhkan martabat Rasulullah sebaliknya mengangkat martabatnya sebagai seorang 'superhero'," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Rumah Tamu GISB Zon Utara di sini hari ini yang turut dihadiri seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah GISB, Hamdan Abu.

Dalam pada itu, Ahmad Bakhtiar berkata, meskipun ia bakal menimbulkan kontroversi, pihaknya komited mempromosi seks suci Islam kerana ia bukan sahaja satu ibadah, malah lebih baik daripada seks haram yang dianjurkan dunia Barat dan Yahudi.

Katanya, sudah tiba masanya umat Islam mempunyai contoh teladan dalam soal seks suci kerana nabi adalah manusia sempurna yang menjadi utusan Tuhan sekali gus menangkis pandangan seks itu jijik serta tidak boleh dibicarakan secara terbuka.

"Apabila seorang isteri itu berkahwin, dia harus menyerahkan jiwa raganya dan suami berhak untuk melihat dan menjilat kemaluan isterinya kecuali melakukan persetubuhan melalui dubur dan apabila ia didatangi haid.

"Layanan seorang pelacur itu tidak ada tandingannya tetapi ia berlainan dengan layanan seorang isteri ke atas suami yang disandarkan atas faktor keredhaan Tuhan, malah kenikmatan persetubuhan lebih terasa dalam ikatan yang suci berbanding pelacuran," katanya.

Sementara itu, sekumpulan anggota di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam turut melakukan pemeriksaan ke atas tetamu yang hadir setelah majlis tersebut selesai.

Saturday, January 14, 2012

Pulau Pasir Hitam



Tiga murid di pulau terpencil

Jan. 5, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

BUKIT GANTANG 4 Jan. – Demi pelajaran, tiga murid Melayu sanggup menuntut ilmu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua yang terletak di Pulau Pasir Hitam - sebuah pulau terpencil dekat sini.

Radiatul Adawiyah Khuri, 12, bersama dua adiknya, Mohd. Firdaus, 9, dan Nurhidayatul Waheeda, 7, yang memulakan hari pertama sesi persekolahan hari ini, kelihatan ceria meskipun hanya mereka bertiga pelajar di sekolah itu.

Ini kerana tiga beradik itu menjadi rakan sekelas kerana tiada murid lain lagi di sekolah tersebut.

Malahan, mereka yang tinggal bersama ibu mereka, Hafsah Najwa Abd. Mutalib, 49, merupakan antara empat kanak-kanak yang menghuni pulau tersebut yang majoritinya penduduknya tidak sampai 100 warga emas berketurunan Cina.

Kedatangan mereka ke sekolah itu bermula apabila Hafsah Najwa tertarik dengan tawaran biasiswa oleh sekolah berkenaan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 1 Oktober lalu.

Keputusan ibu tunggal dari Pulau Pinang untuk menghantar tiga anaknya itu sekali gus menyelamatkan sekolah Cina tersebut daripada ditutup disebabkan ketiadaan pelajar.

Berdepan dengan masalah kewangan, ibu kepada 10 orang anak itu tidak sesekali menyesal dengan tindakan membawa ketiga-tiga anaknya ke situ kerana pihak sekolah menawarkan elaun sara hidup sebanyak RM150 sebulan bagi seorang pelajar.

“Saya tidak terdaya untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak setelah berpisah dengan suami tujuh tahun lalu. Bayangkan sekiranya tambang bas sekolah bagi seorang adalah RM60 sebulan, bagaimana saya hendak menanggung tiga anak saya yang bersekolah rendah?

“Itu belum ditambah lagi dengan dua anak di sekolah menengah, seorang di Politeknik Seberang Perai dan seorang lagi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis,” kata Hafsah Najwa kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Radiatul Adawiyah yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini, mengakui selesa untuk belajar di sekolah tersebut.

Dia dan adiknya, Mohd. Firdaus juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkomunikasi dengan hanya dua orang guru yang bertugas di sekolah tersebut kerana menguasai sepenuhnya bahasa Cina melalui pertuturan dan penulisan.

Adik bongsunya, Norhidayatul Waheeda yang mengalami kecacatan di tangan kirinya sejak lahir, juga seronok untuk memulakan alam persekolahan di sekolah berkenaan yang menggunakan tenaga solar untuk kemudahan komputer.

“Dahulu, sebelum berpindah ke pulau ini, kami bersekolah di SJKC Poay Wah, Tanjung Bunga, Pulau Pinang. Kesemua 10 adik-beradik kami menerima pendidikan di sekolah Cina,” katanya.

Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Bukit Gantang, Datuk Ho Cheng Wang yang kebetulan hadir melawat tiga murid itu di sekolah berkenaan, turut menyumbangkan bantuan wang tunai RM150 setiap seorang bagi tempoh setahun.

Laluan Alternatif Bercham ke Lebuh Raya Plus




20,000 pengguna kenderaan lega

Jan. 4, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 3 Jan. - Kira-kira 20,000 pengguna kenderaan yang melalui jalan utama ke Bercham setiap hari, kini boleh menarik nafas lega apabila satu laluan alternatif keluar ke Lebuh Raya Utara Selatan dibuka hari ini bagi memudahkan mereka untuk ke pusat bandar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, laluan yang dibina selama sebulan dengan kos RM230,000 itu dijangka mampu mengurangkan 30 peratus masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

"Walaupun projek ini kecil, tetapi kesannya terhadap 154,000 penduduk yang menetap di sekitar kawasan ini begitu besar dalam menyelesaikan kesesakan teruk terutamanya di laluan keluar di persimpangan Tesco Extra.

"Pada saya, pembangunan sesebuah negeri itu bukan sahaja daripada sudut ekonomi, tetapi juga melibatkan kemudahan rakyat bagi mendapatkan kehidupan berkualiti tanpa mengira sama ada kawasan itu dikuasai kerajaan mahupun pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan laluan alternatif Bercham keluar ke Lebuh Raya Utara Selatan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Pada majlis tersebut, Zambry turut memandu kenderaan melalui laluan alternatif tersebut selain menyampaikan sumbangan angpau kepada warga emas masyarakat Cina di sini.

Laluan yang dibina oleh syarikat Topwish Realty Sdn. Bhd. di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu turut dilihat mampu mengurangkan kesesakan untuk ke Jalan Tasek yang digunakan oleh purata 40,000 kenderaan sehari.

Dalam perkembangan lain, Zambry mencadangkan kepada JKR negeri supaya mengkaji laluan terus ke pusat bandar tanpa perlu membuat pusingan 'U' sebaik sahaja keluar dari susur keluar ke Ipoh melalui persimpangan Tambun.

Sunday, January 8, 2012

Maher Zain Concert



Maher hiburkan orang Perak

Jan. 2, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

BERBEKALKAN kekuatan vokal pada melodi bergenre R&B soul, Maher Zain berjaya membuktikan sokongan peminat terhadapnya masih berbisa meskipun hampir dua tahun menyepi tanpa album baru.

Tampil dengan imej kasual dengan beret di kepala, penyanyi kelahiran Lebanon yang dibesarkan di Sweeden ini sememangnya mampu untuk menarik perhatian ribuan pendengar meskipun mesej yang disampaikannya berunsur ketuhanan.

Justeru, peluang mengadakan konsert di Stadium Perak bagi mempromosi Tahun Melawat Perak 2012, digunakan sepenuhnya oleh figura yang bernaung di bawah syarikat penerbitan Awakening Records itu.

Apatah lagi lebih 50,000 penonton membanjiri stadium berkenaan bagi menyaksikan secara dekat Konsert Maher Zain 'Untukmu Rakyat 1Malaysia' secara percuma yang dianjurkan oleh kerajaan negeri baru-baru ini.

Penonton yang hadir awal ke stadium pada sebelah petang semata-mata untuk mendapat parkir selesa, begitu teruja sejurus melihat kelibat Maher yang tiba-tiba muncul selepas gimik 'letupan' di pentas.

Bagaikan didodoi dengan angin sepoi-sepoi bahasa di stadium terbuka itu, konsert yang dimulakan dengan persembahan penyanyi Ramli Sarip, memecah keheningan malam di Ipoh dengan dendangan lima lagu popularnya termasuk Doa Buat Kekasih dan Kamelia.

Tepat pukul 9 malam, orang ramai mula memenuhi segenap ruang padang dan dihidangkan dengan nyanyian bertenaga oleh penyanyi kelahiran Pakistan, Irfan Makki menerusi lima buah lagu yang dipetik daripada album keduanya, I Believe.

Biarpun sistem audio yang kurang memuaskan halwa telinga menerobos ke setiap penjuru stadium, namun penonton bagaikan terus hanyut mendengar lagu-lagu seperti Mamma, Allahu, You and I, Waiting For The Call serta Mabrook yang digarap dengan lirik berbahasa Melayu.

Paling menarik, penyanyi dengan nama sebenarnya, Muhammad Murtaza Makki itu juga menyampaikan sebuah lagu yang dipopularkan mendiang Michael Jackson.

Biarpun begitu, penonton seolah-olah terpukau apabila Maher Zain mula menguasai pentas. Cahaya lampu limpah berwarna-warni bersama paparan latar pentas berupa skrin LCD yang berkelip-kelip, menyerlahkan lagi aura penyanyi berusia 29 tahun itu.

Peminat setia Maher tidak melepaskan peluang untuk turut sama menyanyikan setiap bait-bait lagu hitsnya, malah sorokan gemuruh dan kibaran bendera Jalur Gemilang dan negeri Perak menceriakan lagi suasana.

Sememangya naskhah lagu-lagu nasyid popular Maher seperti Always Be There dan The Chosen One yang mempunyai melodi berentak perlahan dan mendayu berjaya memikat hati para pendengar.

Alunan muzik lebih rancak menerusi Hold My Hand yang menyeru perjuangan untuk membantu sesama insan menerusi nukilan lirik indah oleh Bilal Hajji, menghangatkan lagi persembahan Maher pada malam itu.

Dendangan lagu yang memuji kemuliaan nabi menerusi Ya Nabi Salam Alayka diteruskan oleh Maher dengan baik melalui penyampaian Thank You Allah sekali gus menggamit kesyukuran kepada tuhan pencipta alam.

Tidak dinafikan persembahan bertenaga Maher yang berduet bersama Irfan dengan lagu Allahi Allah Kiya Karo dan I Believe juga berjaya mendapat tepukan gemuruh penonton.

Maher yang sudah berpengalaman beraksi di beberapa konsert di Shah Alam dan Kuching sebelum in, bijak berinteraksi dengan penonton apabila menyampaikan lagu bersama peminatnya melalui dendangan Open Your Eyes.

Gema suara Maher terus menyentuh hati pendengar apabila menyampaikan mesej penderitaan penduduk Palestin dan konflik di negara-negara Arab yang menuntut kebebasan menerusi lagu Palestine Will Be Free dan Calling For Freedom.

Sebagai menghargai peminat setianya di Malaysia, penyanyi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Angkasa itu turut menghiburkan penonton dengan untaian lagu berbahasa Melayu seperti Insha Allah dan Sepanjang Hidup.

Konsert yang berlangsung kira-kira empat jam itu ternyata tidak menghampakan apabila orang ramai bersorak keriangan tatkala penyanyi yang mempunyai sejuta pengikut di laman sosial Facebook itu menyerikan suasana dengan lagu rancak berkisahkan perkahwinan iaitu Baraka Allah Lakuma.

Pengacara majlis, Datuk AC Mizal yang ternyata serasi mengendalikan konsert besar, berjaya membuatkan penonton ternanti-nanti dengan kemunculan Maher untuk menyampaikan lagu terakhirnya.

Sebaik sahaja Maher keluar dengan berpakaian baju Melayu lengkap berwarna ungu serta bersampin dan bersongkok, penonton bagaikan terpegun melihat pesona penyanyi itu yang telah berkecimpung selama dua tahun lalu dalam arena seni muzik.

Apakan tidak, lagu For The Rest of My Life yang cukup romantik disampaikan Maher, memberikan kenangan indah kepada peminat-peminatnya lebih-lebih lagi apabila ia adalah kali pertama penyanyi tersebut mengadakan konsert secara besar-besaran di Ipoh.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli hadir menyaksikan konsert berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim.

Maher ketika ditemui pemberita selepas itu, meluahkan rasa terujanya dapat mengadakan persembahan di Perak kerana ia adalah konsert percuma yang ditujukan khas untuk rakyat.

Dia yang bertekad untuk terus menyampaikan mesej Islam dalam setiap lagu, berharap rakyat Malaysia akan terus menyokong perjuangannya.

"Saya kini dalam proses terakhir menyiapkan album kedua yang akan muncul tidak lama lagi pada tahun depan. Saya berharap peminat di Malaysia akan menyukainya, ia sebuah album yang terdiri daripada 15 atau 16 buah lagu.

"Ketika ini, terdapat dua nama yang masih belum diputuskan untuk tajuk album, tetapi saya tidak boleh mendedahkan dengan lebih lanjut, mungkin dalam tempoh sebulan lagi akan siap," katanya.

Visit Perak 2012 - Yours To Discover



Penggiat industri perlu komited

Jan 1, 2012 - Utusan Malaysua

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 31 Dis. – Semua penggiat industri pelancongan di negeri ini digesa memberikan komitmen tinggi bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri mencapai sasaran lima juta pelancong pada Tahun Melawat Perak (TMP) 2012.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, biarpun Perak mempunyai pelbagai produk pelancongan bertaraf dunia, namun kekurangan dalam mempromosikannya tidak akan membantu perkembangan industri berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri melihat industri tersebut mempunyai potensi besar dan mahu ia menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

‘‘Perak mempunyai khazanah alam yang tidak ternilai iaitu hutan hujan tropika Royal Belum yang tertua di dunia, melebihi usianya daripada yang ada di Lembangan Amazon.

‘‘Kerajaan negeri menyediakan platform dan kerangkanya sahaja, namun, dalam mempromosi pelancongan di negeri ini, semua penggiat industri perlu berganding sama termasuk pengusaha hotel dan resort kerana kejayaannya terletak di bahu kita semua,” katanya pada Malam Gala Anugerah Pelancongan Negeri Perak 2011 yang diadakan di Royal Perak Golf Club, di sini malam tadi.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Saripah Zulkifli serta Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Pada majlis tersebut, Zambry turut menyampaikan 18 anugerah pelancongan negeri yang antara lain dimenangi oleh Hotel Syuen, The Banjaran Hotsprings Tambun, Lost World of Tambun, Homestay Kampung Beng Lenggong dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

Kempen Bebaskan Anwar 901



Bantahan Demo 901 meningkat

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH, ILAH HAFIZ AZIZ, AZIZI MAJID dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Jumlah laporan polis yang dibuat di seluruh negara bagi membantah usaha mengadakan perhimpunan haram 'Kempen Bebaskan Anwar 901' kini meningkat kepada 134 di seluruh negara, hari ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menerima sebanyak 57 lagi laporan daripada pelbagai pihak yang membantah usaha mengadakan perhimpunan haram menjelang keputusan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini.

Jumlah laporan itu diterima sehingga petang ini. Semalam, sebanyak 77 laporan polis dibuat di seluruh negara.

Kesemua laporan polis itu diterima di seluruh negara, antaranya mendesak PDRM segera bertindak memastikan perhimpunan haram di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu dihalang.

Daripada jumlah itu, sebanyak 49 laporan polis telah dibuat di Selangor manakala 34 laporan lagi dibuat di seluruh Pahang.

Sebanyak 21 laporan polis turut dibuat di Perak, diikuti 11 di Sabah, Terengganu (6), Kuala Lumpur (4), Melaka dan Kedah (3) serta satu di Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Di JOHOR, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) daerah Kulaijaya, Mohd. Farid Arifin berkata, perhimpunan haram ini mampu menimbulkan suasana huru-hara seperti mana demonstrasi haram yang pernah dianjurkan sebelum ini, katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya hari ini.

Di PERAK, Naib Presiden Pertubuhan Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (Papim), Jarani Hasan meminta orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram itu kerana ia boleh menimbulkan ketegangan sekali gus menjejaskan keselamatan.

Di KEDAH, tiga laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Nerang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba melancarkan perhimpunan haram itu.

Laporan dibuat oleh Che Kasa Awang, 55, mewakili Perkasa Daerah Padang Terap, diikuti Mohd. Khairuddin Mehat yang mewakili golongan pemuda Kampung Padang Nyior di Padang Terap.

Turut membuat laporan polis ialah Mohd. Rashidi Ya yang mewakili Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kampung Bendang, Padang Terap.

UiTM Interior Design



Pelajar UiTM Pamer 54 Rekaan

Dis. 28, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

SERI ISKANDAR 27 Dis. - Sebanyak 54 rekaan pelajar Diploma Seni Reka Dalaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar di sini, sedang dipamerkan sempena Pameran Reka Bentuk Perabot Pereka Muda (FurEX2011) yang diadakan sehingga 29 Februari depan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa UiTM Perak, Dr. Salwa Ayob berkata, hasil rekaan kreatif pelajar terbabit boleh disaksikan di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur kampus berkenaan.

"Ini pertama kali kita mendedahkan hasil rekaan pelajar kita kepada umum kerana sebelum ini bimbang berlakunya peniruan idea melibatkan hak milik cipta.

"Ciri-ciri rekaan perabot yang dihasilkan haruslah bersifat pelbagai guna selain menerapkan unsur reka bentuk kontemporari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian pameran itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Datuk Hamidah Osman.

Pameran tersebut yang antara lain diharapkan menjadi platform penghubung kepada para ahli akademik dan industri itu turut dihadiri Rektor UiTM Perak, Prof. Ir. Dr. Zainab Mohamed.

Sementara itu, seorang pelajar tahun akhir jurusan tersebut, Azuarniza Awang berkata, dia mengaplikasikan konsep tepak sireh dalam rekaan perabotnya yang diukir dengan motif bunga.

Katanya, konsep tersebut dipilih bagi menyerlahkan simbol ketuanan dan adat Melayu sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka.

"Fungsi utamanya adalah sebagai meja kopi di ruang tamu. Selain itu, ia juga sesuai untuk kegunaan di majlis-majlis korporat yang berkonsepkan tradisional," katanya.

Maher Zain in Perak




50,000 tonton Konsert Maher Zain

Dis. 26, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 25 Dis. – Lebih 50,000 orang membanjiri Stadium Perak di sini malam tadi bagi menyaksikan Konsert Maher Zain ‘Untukmu Rakyat 1Malaysia’ secara percuma yang dianjurkan kerajaan negeri sempena mempromosikan Tahun Melawat Perak (TMP 2012).

Ternyata aura penyanyi antarabangsa kelahiran Lebanon itu yang mempunyai kira-kira 1.5 juta peminat di negara ini begitu terserlah apabila penonton turut sama menyanyikan lagu-lagu hits beliau sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Perak.

Penyanyi itu yang sinonim dengan genre lagu ‘R&B soul’ turut menghiburkan penonton melalui dua buah lagu dalam bahasa Melayu iaitu Insya-Allah dan Sepanjang Hidup.

Konsert yang berlangsung selama kira-kira empat jam itu dimulakan dengan persembahan Papa Rock Ramli Sarip yang mendendangkan lima buah lagu termasuk Kamelia dan Doa Buat Kekasih.

Kemudian, penyanyi kelahiran Pakistan, Irfan Makki yang kini menetap di Kanada, terus menggegar pentas menerusi enam lagunya iaitu Mamma, Allahu, You and I, Waiting For The Call, Mabrook serta sebuah lagu popular nyanyian mendiang Michael Jackson.

Maher Zain kemudian menguasai sepenuhnya pentas dengan menunjukkan kehebatan vokal menerusi 15 lagu termasuk Hold My Hands, Thank You Allah, Allahi Allah KiyaKaro, I Believe (duet dengan Makki Irfan), Open Your Eyes, Palestine, Freedom, For The Rest of My Life dan Insya-Allah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bersama isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli hadir menyaksikan konsert berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...