Pages


Wednesday, December 28, 2011

Kedai Rakyat 1Malaysia



59 KR1M di Perak tahun depan

25 Dec, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

BAGAN SERAI 24 Dis. - Kerajaan Perak menyasarkan sekurang-kurangnya 59 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) akan dibuka di seluruh negeri ini menjelang akhir tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pembukaan lebih banyak premis berkonsepkan pasar mini itu diharap dapat meringankan beban hidup penduduk berpendapatan sederhana dan rendah di negeri ini.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat lima buah KR1M telah beroperasi di negeri ini iaitu Parit Buntar, Teluk Intan, Bidor, Manjoi di Ipoh dan di Taman Seri Maju di sini.

"Seboleh mungkin kita mahu semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mempunyai sekurang-kurangnya sebuah KR1M yang menjadi alternatif kepada rakyat untuk membeli barangan keperluan harian.

"Pada masa sama, kerajaan negeri akan memberi galakan kepada kedai runcit sedia ada khususnya di kawasan pedalaman bagi mengikuti program Transformasi Kedai Runcit (Tukar)," katanya selepas merasmikan KR1M Taman Seri Maju di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Pada majlis tersebut, Zambry bersama-sama Saripah juga tidak melepaskan peluang membeli lapan jenis barangan tempatan termasuk biskut, bijirin sarapan, madu dan roti kaya hanya dengan harga RM30.66 di KR1M tersebut.

Dalam pada itu, Zambry berkata, ketika ini, sebanyak 23 buah kedai runcit di negeri ini terlibat dalam program Tukar dan hampir kesemuanya menerima sambutan baik daripada masyarakat setempat.

"Bagaimanapun, kita harap semua premis yang mengikuti program ini memberi khidmat terbaik kerana objektif utama pelaksanaannya adalah membantu rakyat berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan mereka pada harga berpatutan," katanya.

Monday, December 19, 2011

Pelancongan di Hulu Perak

Hulu Perak yang mempesonakan

Dis. 17, 2011 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Melawat Hulu Perak, daerah terbesar di negeri ini bagaikan kembali menikmati keindahan alam sekitar.

Berkeluasan 656,300 hektar, daerah ini terletak bersempadan dengan negara Thailand di utara, Kedah di barat, Kelantan di timur dan Kuala Kangsar di selatan.

Tiga pekan utama di daerah Hulu Perak yang sebahagian besarnya dilitupi topografi hutan simpan adalah Pengkalan Hulu, Gerik dan Lenggong.

Menyingkap sejarahnya, orang pertama yang menjumpai daerah Hulu Perak ialah Tun Saban, anak kepada Tun Perak iaitu seorang Bendahara Melaka yang cukup terkenal pada awal abad ke-16.

Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, Tun Saban melarikan diri ke Patani dan kemudiannya bermukim di Belum, Hulu Perak. Di sana, beliau telah dilantik menjadi pemimpin kepada penduduk.

Kemudiannya, Hulu Perak dikuasai oleh kerajaan Siam. Melalui satu perjanjian pada 1902, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu termasuk Hulu Perak akhirnya dikembalikan kepada British.

Kini, Hulu Perak bukan sahaja menjadi khazanah himpunan pelbagai flora dan fauna, tetapi juga menyimpan warisan sejarah negara yang tidak ternilai.

Di Muzium Arkeologi Lenggong misalnya, ia merupakan sebuah muzium prasejarah pertama di Malaysia yang dibina di kawasan tapak penempatan zaman Paleolitik di Kota Tampan berusia lebih 70,000 tahun.

Bermula dari zaman tersebut, pengunjung berpeluang melihat bukti peninggalan masyarakat terdahulu seperti alatan batu, tembikar, barang perhiasan serta peralatan masyarakat Neolitik-Gangsa sehingga ke Orang Asli.

Malah, Lembah Lenggong yang mempunyai kira-kira 13 tapak arkeologi juga dikatakan menjadi laluan migrasi masyarakat prasejarah dari Afrika ke Australia.

Kajian sejarah tersebut diperkuat lagi dengan penemuan rangka 'Perak Man' yang dipercayai manusia tertua di negara ini, berusia antara 10 ke 11,000 tahun.

Rangka Perak Man yang dipercayai mengalami kecacatan genetik pertama di dunia itu ditemui sekumpulan penyelidik daripada Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai oleh Profesor Datuk Zuraina Abdul Majid.

Kini, rangka Perak Man yang dipamerkan dalam replika Gua Gunung Runtuh bagaimanapun bukanlah artifak yang sebenar, kerana rangka asalnya kini dipamerkan di Muzium Negara.

Biarpun begitu, replika MyKad Perak Man yang digantung bersama di dalam gua buatan itu serba sedikit membolehkan orang ramai mengetahui tentang usianya termasuk ketinggian, kelompok manusia serta aktiviti dan teknologi yang digunakannya semasa hidup.

Selain mempamerkan kehidupan masyarakat prasejarah mengikut kronologi, pengunjung juga berpeluang mengenali semua jenis batuan yang terdapat di Hulu Perak berusia 300,000 tahun di Taman Geologi Hulu Perak.

Satu lagi kawasan menarik yang tidak harus dilepaskan oleh para pelancong untuk dilawati ialah Taman Negeri Royal Belum (Royal Belum) seluas 117,500 hektar.

Dianggarkan berusia 130 juta tahun iaitu lebih tua daripada kewujudan hutan terkenal Amazon, ia sememangnya hutan dara yang masih belum terusik di Lembah Belum di Gerik.

Pelbagai spesies flora dan fauna telah ditemui di kawasan hutan hujan tropika itu sekali gus menjadikan ia sebagai kawasan yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.

Orang awam yang ingin memasuki Royal Belum perlu mendapatkan permit terlebih dahulu termasuk penyelidik tempatan dan luar negara yang berminat untuk mengkaji ekosistemnya.

Dianggarkan, Royal Belum memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan itu sebagai habitat.

Bukan itu sahaja, kawasan hutan hujan tropika itu juga menjadi antara salah satu lokasi di Malaysia yang jarang sekali boleh ditemui bunga terbesar di dunia iaitu bunga pakma atau lebih dikenali sebagai Rafflesia.

Difahamkan, Royal Belum mempunyai tiga daripada 20 spesies bunga tersebut di mana salah satu daripadanya dinamakan Azlanii iaitu sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Bagi meneruskan kelestarian penjagaan alam sekitar, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah juga telah mengisytiharkan hutan simpan tersebut sebagai Royal Belum pada 2003.

Royal Belum kemudiannya diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001 oleh kerajaan Perak pada 17 April 2007.

Taman negeri ini yang terletak di utara Tasik Temenggor juga menjadi 'syurga' kepada hidupan mamalia seperti seladang, gajah Asia, badak Sumatera yang terancam serta burung seperti enggang.

Ia juga dikenal pasti sebagai sebagai Kawasan Alam Sekitar Sensitif di bawah Pelan Fizikal Malaysia 2005 kerana turut menjadi tempat perlindungan harimau belang, badak sumbu dan tapir.

Justeru, bagi peminat alam semula jadi, jangan lepaskan peluang untuk pergi mengembara di dalam hutan, melihat burung serta hidupan liar di hutan simpan ini secara lebih dekat.

Beberapa perkampungan masyarakat Orang Asli suku kaum Semai dan Jahai juga boleh dilihat di sekitar Tasik Banding yang menjadi pintu masuk ke Royal Belum.

Lembah Belum yang dikatakan terdiri daripada enam perkampungan kecil Kampung Belum Lama suatu masa dahulu, ditenggelami air ekoran pembinaan Empangan Chenderoh pada 1974.

Ia pernah dikenali sebagai kawasan hitam pada 1948 kerana menjadi benteng pengganas komunis.

Namun menariknya, Kampung Belum Lama itu sendiri dikatakan mendapat nama sempena bunyi ‘belum...belum...’ daripada sejenis belalang hijau besar yang banyak menghabiskan masa di pucuk pokok rotan.

Terbaru, kerajaan negeri sedang dalam proses akhir menyediakan pelan induk pembangunan bersepadu Royal Belum-Temenggor yang menyediakan hala tuju sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, laporan tersebut yang dijangka siap selewat-lewatnya awal tahun depan, sedang dalam perincian Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Koridor Utara (NCER) melalui sebuah syarikat perunding yang dilantik.

"Pelan induk itu merangkumi program pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan tersebut dengan penekanan terhadap pemuliharaan serta penjagaan ekosistem yang menjadi antara tarikan utama pelancong.

"Ia dilihat penting dalam usaha kerajaan negeri mengatasi isu pemburuan haram, penebangan hasil hutan selain menyelesaikan masalahindustri perkayuan dan pengurusan hutan berkenaan," katanya.

Teknologi Hijau di Perak



Perak bangunkan teknologi hijau

Dis. 16, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 15 Dis. – Syarikat Return 2 Green Sdn. Bhd. akan membangunkan sebuah kilang di Estet Perindustrian Pelabuhan Lumut Kampung Acheh bagi menghasilkan produk pembungkusan makanan biodegradasi yang mesra alam.

Produk yang dihasilkan melalui hampas tebu dari Thailand itu akan dibangunkan untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerjasama strategik dengan syarikat tersebut, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam merancakkan pembangunan teknologi hijau di negeri ini.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat sembilan projek teknologi hijau yang akan dibangunkan di Perak membabitkan pelbagai produk seperti alga dan buluh.

‘‘Pelaburan ini tidak termasuk projek solar yang akan dibangunkan oleh syarikat dari luar negara, Twin Creeks (M) Sdn. Bhd. yang berjumlah RM1.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pembangunan produk biodegradasi tersebut selain penempatan kilang syarikat berkenaan di Perak Hi-Tech Park di Khantan, Chemor, hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Naib Pengerusi Return 2 Green Sdn. Bhd., Datin Rahmah Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Shamsudin Hashim.

Perjanjian itu antara lain mencadangkan pembinaan 18 kilang skim vendor syarikat berkenaan di seluruh negeri Perak.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Return 2 Green Sdn. Bhd, Shahrin Shamsuddin berkata, pembukaan kilang tersebut mampu mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang bioteknologi, pulpa dan teknologi hijau.

“Ketika ini, kita sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan produk biodegradasi berasaskan bahan buangan pertanian seperti sekam padi, jerami dan serat batang pisang,” katanya.

Masalah Tanah Di Perak

Komited bantu rakyat

Dis. 15, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 14 Dis. - Kerajaan Perak kini giat menyelesaikan masalah tanah membabitkan penternakan haram ikan hiasan di Kopisan, Gopeng selaras dengan usaha untuk membantu petani dan penternak di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bagi mencapai penyelesaian tersebut, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kini mengatur beberapa pertemuan dengan pengusaha haram tersebut bagi membolehkan mereka beroperasi mengikut undang-undang.

"Apabila saya menjadi Menteri Besar, masalah utama yang saya hadapi adalah untuk membenarkan petani dan penternak membangunkan tanah kerajaan ini yang telah mereka usahakan bertahun-tahun lamanya.

"Perkara ini tidak mudah kerana ia melibatkan ribuan ekar. Saya telah mengarahkan pejabat tanah untuk mencari mekanisme terbaik menyelesaikan masalah tersebut.

"Namun, masih terdapat orang yang menuduh kerajaan tidak berbuat apa-apa. Sebagai contoh, masalah pemilikan tanah yang menghantui para petani limau bali di Ampang bertahun lamanya telah diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kurang setahun selepas kita mengambil alih pentadbiran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi soal jawab bersama beberapa wakil media Cina berkenaan isu semasa di kediaman rasminya di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan Zambry berkata, langkah seterusnya yang diambil kerajaan adalah menyelesaikan masalah tanah melibatkan pekebun sayur-sayuran dan buah-buahan melibatkan kawasan seluas 2,200 hektar di Cold Stream New Village di Bidor.

Menurut beliau, langkah tersebut dilihat mencabar kerana terdapat beberapa pekebun yang mengusahakan tanah berkenaan sejak sekian lama sementara ada yang menjalankan aktiviti tersebut di kawasan yang dilabelkan untuk pembangunan.

"Ini merupakan cabaran terbesar bagi pihak kerajaan kerana ia melibatkan kawasan dari Lembah Kinta sehingga ke Batang Padang. Sektor pertanian ini besar dan saya menjangkakan prosesnya akan menjadi rumit," katanya.

Namun katanya, dalam membenarkan pekebun tersebut beroperasi secara 'halal', hanya mereka yang telah mengusahakan aktiviti berkenaan sejak bertahun lamanya akan diberi pertimbangan bagi mengelakkan sebarang pencerobohan ke atas tanah kerajaan.

Wednesday, December 14, 2011

SADC Terus Untung

PPPNP lonjak keuntungan

Dis. 13, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 12 Dis. - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) berjaya mencatatkan peningkatan keuntungan RM23.6 juta sehingga Oktober tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keuntungan tersebut disumbangkan oleh kenaikan harga pasaran minyak sawit mentah.

Beliau berkata, sehingga Oktober lalu, jumlah keuntungan yang dicapai berjumlah RM73.1 juta berbanding RM49.5 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Daripada segi pendapatan pula, RM308.9 juta berjaya dikutip dalam tempoh yang sama berbanding RM208.8 juta tahun lalu.

“Pencapaian menggalakkan ini merupakan hasil transformasi PPPNP yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu melalui beberapa pindaan enakmen serta penstrukturan semula organisasi,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah PPPNP Ke-3 untuk 2011 yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, A. Rizal Abd. Rahman.

Dalam pada itu, Zambry yang juga Menteri Besar berkata, bagi meneruskan prestasi dan momentum positif yang dicatatkan PPPNP, beberapa bidang baharu dalam sektor pertanian dan industri agro akan diterokai, termasuk pelaburan dalam ternakan akuakultur dan produk berasaskan herba.

Katanya, projek ternakan udang yang dijalankan di tanah 45 hektar di daerah Kuala Kurau melalui usaha sama dengan syarikat SBH Aquaculture Sdn. Bhd. dijangka mengeluarkan hasil pada akhir tahun depan.

Pembangunan Pekan Chemor

RM2.26j bina rumah kedai di Chemor

Dis. 11, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 10 Dis. – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat hartanah, Milan Properties Sdn. Bhd. bagi membangunkan 10 unit rumah kedai dua tingkat di atas tanah seluas 0.3 hektar di pekan Chemor, dekat sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, projek hartanah bernilai RM2.26 juta dengan anggaran jualan sebanyak RM425,000 seunit itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Walaupun pembangunan ini hanya melibatkan kawasan seluas 0.3 hektar, ia akan memberikan pulangan jangka masa pendek sebanyak RM1.7 juta kepada MBI.

“Saya yakin dengan wujudnya 10 unit rumah kedai ini, ia akan meningkatkan skala perniagaan di sana yang kini telah mengecapi pembangunan seperti pembinaan Pasar Chemor, Dewan Komuniti 1Malaysia, stadium mini dan yang akan datang adalah perpustakaan mini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mewakili MBI menandatangani MoU dengan Milan Properties Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengarahnya, William Tan, semalam.

Turut hadir Pengerusi Milan Properties Sdn. Bhd, Ibrahim Abas.

Pada majlis tersebut, William turut menyerahkan replika cek bernilai RM100,000 kepada MBI yang diwakili Roshidi sebagai bayaran deposit projek pembangunan tersebut, sementara bakinya akan dilunaskan sebelum Sijil Layak Menduduki (CF) dikeluarkan.

Dalam perkembangan lain, Roshidi memberitahu, MBI yakin akan dapat terus menambah pendapatan melalui kutipan bayaran cukai taksiran dan lesen perniagaan yang akan disalurkan untuk melaksanakan projek-projek berfaedah kepada warga bandar raya ini.

“Hasil majlis setakat Oktober 2011 adalah sebanyak RM127.45 juta iaitu mencapai 92 peratus daripada sasaran hasil yang ditetapkan sebanyak RM137.9 juta,” katanya.

Saturday, December 10, 2011

Pusat Pemulihan Sultan Azlan Shah




Pesakit Saraf Terima Anugerah

Dis. 10, 2011 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 9 Dis.- Biarpun menghidap sejenis penyakit saraf sejak kecil, namun ia tidak pernah melunturkan semangat Chong Wen Rui untuk berjaya dalam hidup.

Wen Rui, 12, yang menjalani rawatan di Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah di sini sejak berusia setahun setengah, membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Chemor dekat sini memperoleh 6A 2B dalam peperiksaan tersebut.

Pencapaian cemerlangnya itu mendapat pengiktirafan apabila Wen Rui menerima Anugerah Kecemerlangan Istimewa yang disampaikan oleh Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim hari ini.

"Saya masih tidak berpuas hati kerana tidak memperoleh semua A dalam UPSR kerana mendapat B dalam subjek Bahasa Cina (Penulisan) dan Sains.

"Saya akan berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang suatu hari nanti," katanya selepas majlis penyampaian sijil latihan kemahiran asas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) yang juga isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli dan Pengerusi Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah, Tan Sri V. Jeyaratnam.

Pada majlis tersebut, Tuanku Zara Salim turut berkenan menyampaikan sijil latihan kemahiran asas PDK kepada 118 peserta kursus tersebut.

Raja Puan Besar Perak turut menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada penjaga golongan OKU, Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah yang dinaungi oleh Yayasan Sultan Idris Shah.

Tuesday, December 6, 2011

Pain Free Hospital

'Hospital Bebas Kesakitan'

Dis. 6, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 5 Dis. - Kementerian Kesihatan hari ini memperkenalkan konsep perkhidmatan 'Hospital Bebas Kesakitan' dalam usaha mengurangkan tahap kesakitan para pesakit yang menjalani rawatan pembedahan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tiga hospital iaitu Hospital Putrajaya, Hospital Selayang dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini telah dipilih bagi menjayakan projek perintis sebelum konsep itu diperluaskan ke seluruh negara.

"Konsep perkhidmatan ini mengaplikasikan pendekatan multidisiplin yang mengguna pakai kaedah perubatan tradisional dan komplimentari terutamanya akupuntur. Justeru, ia melibatkan pakar pembedahan, anestesia, pengurusan kesakitan, paramedik, ahli fisioterapi dan kakitangan perubatan lain.

"Untuk meningkatkan tahap keberkesanan kawalan kesakitan pasca pembedahan, beberapa modaliti rawatan termasuk teknik pembedahan invasif minimum dan pelaksanaan protokol analgesia multimodal akan dilaksanakan sekiranya ia sesuai untuk pesakit berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran 'Hospital Bebas Kesakitan' di HRPB di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon serta Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Maher.

Menurut Tiong Lai, konsep tersebut juga dijangka dapat membantu usaha mengawal kesan sampingan ubat penahan sakit serta menggalakkan pembedahan secara rawatan harian, seterusnya mempercepatkan proses penyembuhan.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.9 juta bagi menampung keperluan pelaksanaan projek perintis tersebut yang merangkumi latihan modal insan serta pembelian ubat-ubatan serta peralatan pembedahan berkaitan.

"Untuk melatih tenaga pakar dalam bidang rawatan kesakitan ini amat memerlukan masa. Seseorang doktor perlu melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana selama empat tahun sebelum mengikuti latihan subkepakaran selama tiga tahun.

"Kita juga akan menghantar kebanyakan doktor yang kebanyakannya dalam bidang anestesia ini untuk mempelajari teknik akupuntur di negara China selama tiga bulan," katanya.

Beliau berkata, konsep itu hanya akan diperluaskan ke hospital-hospital lain setelah negara mempunyai pakar rawatan yang mencukupi memandangkan bilangan sedia ada terlalu sedikit iaitu seramai 10 orang manakala 11 lagi masih menjalani latihan subkepakaran.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...