Pages


Saturday, August 27, 2011

Ops Sikap: Kemalangan Jalan Raya Meningkat

Nahas di Perak meningkat

August 27, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 26 Ogos - Peningkatan mendadak angka kemalangan di negeri ini mengundang kebimbangan kepada Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

Beliau berkata, meskipun Ops Sikap Ke-24 baru berlangsung tiga hari, jumlah kemalangan meningkat sebanyak 84 kes menjadikan jumlah keseluruhan 361 kes.

Katanya, jumlah kemalangan maut juga meningkat daripada dua kepada enam untuk tahun ini dan yang terbaru adalah melibatkan motosikal di Teluk Intan dan Gerik.

"Bilangan saman yang dikeluarkan pula bertambah daripada 1,026 kepada 3,121 sedangkan sasaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini adalah mengurangkan kadar kemalangan sebanyak lima peratus berbanding Ops Sikap lalu.

"Sehubungan itu, saya berharap pengguna jalan raya lebih berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan pengguna lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya, Ops Sikap Ke-24 dan Kempen Rumah Selamat musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2011 di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Dr. Ir. Safry Kamal Ahmad serta Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Laila Mazwin Zakaria.

Pada majlis tersebut, Ramly turut menyampaikan sumbangan beg cenderamata beserta bendera kepada pengguna lebuh raya yang turut disumbangkan oleh Pergerakan Puteri UMNO Perak.

Terdahulu, pada sidang akhbar, Ramly menggesa agar jabatan-jabatan berkaitan memastikan bahawa papan tanda-papan tanda di jalan tidak dilindungi oleh objek lain seperti pokok.

Selain itu, beliau berkata, papan tanda-papan tanda itu juga harus diletakkan di sebelum simpang jalan supaya ia tidak menyebabkan pemandu teragak-agak untuk memilih lorong yang betul.

Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011

Seruan kebajikan dan patriotisme

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

August 17, 2011 - Utusan Malaysia

USAHA menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang tidak seharusnya dicetuskan melalui fenomena, tetapi yang lebih penting, ia dibangkitkan melalui penghayatan patriotisme di kalangan segenap lapisan masyarakat.

Bendera keramat negara yang telah diisytiharkan namanya pada malam 31 Ogos 1997 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu, begitu besar maknanya.

Apatah lagi bendera yang dikibarkan secara rasminya di seluruh negara itu menyaksikan 'kelahiran' Malaysia pada 16 September 1963.

Empat belas jalinan jalur merah dan putih berselang-seli pada Jalur Gemilang melambangkan keanggotaan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan yang membentuk negara Malaysia.

Bulan berwarna kuning yang sinonim dikaitkan dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan pula memberi maksud ia dipayungi oleh kedudukan Raja-Raja Melayu.

Selain itu, gabungan warna biru, merah dan putih dalam penghasilan keseluruhan bendera negara menerapkan asas perpaduan, keberanian serta kesucian moral rakyat Malaysia.

Tidak cukup dengan perspektif bentuk serta warna yang menyingkap maksud tersendiri, perkataan Jalur Gemilang itu sendiri membawa konotasi perincian yang wajar diteliti dan difahami.

Frasa 'Jalur' misalnya yang dinilai dari sudut linguistik membawa maksud satu laluan, hala tuju mahupun arah sama.

Ia membawa maksud yang dianuti oleh rakyat rakyat di negara ini dari Perlis sehingga ke Sabah menuju ke arah kegemilangan bangsa dan negara.

Frasa 'Gemilang' pula mencerminkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam segenap bidang di arena tempatan mahupun persada antarabangsa.

Menyedari kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai satu medium untuk menyemai rasa cinta dan kesetiaan kepada negara, Jabatan Penerangan Malaysia meneruskan tradisi konvoi merdeka Jalur Gemilang yang telah diadakan hampir setiap tahun.

Cuma menariknya pada tahun ini, sambutan bulan kemerdekaan yang secara tidak langsung berjalan serentak dengan Ramadan sekali gus membawa kelainan tersendiri melalui pengisian amalan berbentuk kebajikan.

Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 yang dijalankan serentak di seluruh negara itu turut disesuaikan dengan program menziarahi rumah anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Selain itu, konvoi yang terdiri daripada pelbagai jenis kenderaan itu juga akan singgah di beberapa kawasan terutamanya masjid bagi tujuan program berbuka puasa selain memberi bantuan kepada golongan miskin.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Ibrahim Abdul Rahman yang berkesempatan menyempurnakan perasmian konvoi berkenaan di Masjid Jamek Rodhiatul Mardhiah, Parit, Perak baru-baru ini berkata, program tersebut akan diteruskan meskipun selepas Hari Raya Aidilfitri.

Bakal dikenali dengan nama Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri, konvoi berkenaan akan mengadakan rumah-rumah terbuka di beberapa tempat terpilih.

Anak kelahiran Parit itu berkata, keunikan program kembara merdeka yang sudah masuk tahun ketujuh pada kali ini ialah ia turut mendapat sokongan sebuah kumpulan laman sosial di facebook.

Menurut beliau, kumpulan yang dikenali dengan nama 'Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata' itu mempunyai keahlian mencecah 10,000 orang.

"Kumpulan ini akan memberikan pakaian baru untuk kita dermakan kepada rumah-rumah anak yatim yang kurang diberi perhatian termasuklah rumah orang-orang tua bukan Islam," katanya.

Program pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 Daerah Perak Tengah itu turut dihadiri Ahli Parlimen Parit, Mohd. Nizar Zakaria.

Majlis juga diteruskan dengan jamuan berbuka puasa sebelum 11 kenderaan dan sebuah bas daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang membawa peserta konvoi meninggalkan majlis selepas solat maghrib dan tarawih secara berjemaah.

"Kita mengharapkan apabila sampai 16 September nanti, lima juta premis di seluruh negara akan mengibarkan bendera sebagai tanda sokongan rakyat Malaysia kepada negara," katanya.

Sunday, August 14, 2011

Suspek Kes Bunuh Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Direman

Empat suspek direman

August 6, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 5 Ogos - Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim yang dipercayai bermotifkan samun ekoran penahanan empat suspek iaitu seorang posmen, dua penganggur dan tentera yang melarikan diri daripada tugas.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, suspek berusia antara 20 hingga 26 tahun diberkas dalam tiga tangkapan berasingan kurang 24 jam selepas mayat mangsa ditemui.

Menurut beliau, polis merampas barang kemas dan telefon bimbit dipercayai milik mangsa selepas tertangkapnya dua suspek pertama tidak jauh dari tempat kejadian di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun pada pukul 4 pagi semalam.

"Dua lagi suspek masing-masing ditahan di Tanjung Malim dan Slim River. Salah seorang daripadanya mempunyai rekod dikehendaki polis bersabit kes rogol di Slim River pada tahun ini.

"Seorang lagi dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk rumah mangsa pada 14 Julai lalu. Laporan bedah siasat belum diterima dan setakat ini belum dapat dipastikan punca kematian mangsa serta sama ada berlaku serangan seksual," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, mayat Rohani ditemui seorang pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan selepas terserempak dengan seorang lelaki Melayu sedang memikul satu bungkusan menuruni tangga dari tingkat satu kira-kira pukul 3.30 pagi.

Hasil pemeriksaan pengawal keselamatan itu mendapati bungkusan yang dicampakkan oleh suspek selepas terkejut melihatnya itu adalah sehelai gebar yang membalut mayat seorang wanita dengan kedua-dua tangan dan kakinya diikat.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, beberapa sampel forensik dan ujian air kencing telah diambil ke atas suspek namun keputusannya masih belum diperoleh.

Selain itu, katanya, keempat-empat suspek yang merupakan teman serumah dan tinggal berdekatan pangsapuri mangsa direman antara empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kes Bunuh & Samun Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak

Kes bunuh Timbalan Pengarah Veterinar selesai
05/08/2011 3:32pm

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 5 Ogos – Polis percaya telah dapat menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Pengarah Veterinar Negeri, Dr. Rohani Kasim semalam selepas menahan empat suspek.

Mereka yang ditahan berusia 20 hingga 26 tahun itu merupakan seorang anggota tentera yang lari daripada tugas, posmen serta dua penganggur.

Kesemuanya ditahan dalam tiga lokasi berasingan di Tambun, Tanjung Malim dan Slim River, kurang dari tempoh 24 jam. – Utusan

Kes Bunuh Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak

Mangsa samun dan bunuh dikebumi petang ini

04/08/2011 2:13pm

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 4 Ogos - Jenazah Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Rohani Kassim yang ditemui mati di pangsapurinya awal pagi ini dipercayai dibunuh, akan dikebumikan di Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai, petang ini.

Perkara itu disahkan oleh kakak mangsa, Ruziana Kassim, 41, yang ditemui di luar Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Ruziana juga memberitahu, adiknya itu pernah kerugian RM15,000 apabila rumahnya dipecah masuk dua minggu lalu.

Sementara itu, laporan awal menyebut, mangsa anak ketujuh daripada 10 beradik masih bujang dan tinggal berseorangan di pangsapurinya itu mati dipercayai dicekik selepas disamun.

Satu sidang akhbar akan diadakan polis petang ini.

Dalam pada itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam kenyataan akhbar memberitahu kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM8,000 kepada keluarga Allahyarham Rohani.'

"Sebanyak RM5,000 dihulurkan adalah bantuan atas dasar tragedi manakala RM3,000 bagi bantuan pengurusan jenazah pegawai awam,'' katanya.

Terdahulu, Zambry melawat keluarga mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun. - Utusan

Friday, August 5, 2011

Lagu Rakyat

Mengembali populariti lagu rakyat

August 4, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 3 Ogos - Dendangan bait-bait lagu rakyat yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan begitu mudah untuk diikuti meskipun baru pertama kali didengari.

Apatah lagi lagu-lagu seperti Tepuk Amai-Amai, Jong-Jong Inai, Rasa Sayang serta Lagu Tiga Kupang yang disulami rentak gubahan puisi itu sangat popular dan digemari masyarakat tradisional untuk menghibur hati.

Lagu rakyat yang lazimnya diperturunkan secara lisan dari generasi terdahulu ini secara tidak langsung mempunyai nilai didikan tersirat yang turut diselitkan dalam pelbagai variasi.

Diiringi dengan alatan muzik seperti rebana, serunai mahupun gamelan, lirik lagunya yang menjalinkan kombinasi perkataan gandaan, imbuhan mahupun akronim membentuk sebuah irama yang cukup indah.

Bukan sahaja untuk menzahirkan emosi, intipati lagu-lagu rakyat antara lain turut diadunkan dengan nilai-nilai keagamaan, jenaka, nasihat, kasih-berkasihan termasuk longat negeri.

Ia sekali gus mencerminkan budaya masyarakat setempat yang ditonjolkan melalui penceritaan secara kiasan meskipun tidak menggambarkannya dengan penuh deskriptif.

Hakikatnya, lagu rakyat melambangkan kekayaan pemikiran dan seni budaya bangsa. Di Perlis misalnya, antara lagu-lagu rakyat yang dikenali termasuklah Hadrah, Canggung, Berendoi dan Beduan.

Menyedari kepentingan menjulang kembali lagu-lagu rakyat terutamanya dalam kalangan generasi muda, Jabatan Pengajian Politeknik menganjurkan Festival Kebudayaan dan Warisan Politeknik Malaysia (FKWPM) baru-baru ini.

Diadakan buat julung kalinya pada tahun ini, ia disertai oleh 27 buah politeknik di seluruh negara dalam festival yang berlangsung selama tiga hari.

Setiausaha Kerja festival tersebut, Hafidzah Ahmad Abas berkata, pemilihan pertandingan lagu rakyat sebagai salah satu fokus utama FKWPM adalah bagi memperkenalkannya kepada generasi muda.

Menurut Hafidzah, lagu rakyat yang mempunyai mesej dan nilai-nilai murni dalam konteks kemasyarakatan wajar diteruskan demi kelangsungan budaya selain mampu memupuk kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

"Pertandingan lagu rakyat yang disertai oleh 12 politeknik ini berupaya memupuk permuafakatan dalam kalangan pelajar tanpa mengira kaum dan agama.

"Selain itu, ia juga secara tidak langsung mampu meningkatkan semangat patriotisme dengan hanya mengikuti irama dan rentak yang cukup menghiburkan," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Festival tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Temenggor, Datuk Hasbullah Osman dan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Md. Nor Yusof.

Dalam pada itu, Hafizdah yang juga merupakan Pegawai Kebudayaan di Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh berkata, antara kriteria utama pertandingan yang dinilai termasuklah penghayatan persembahan bersama interaksi bersama penonton.

Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang yang berjaya menonjolkan pembawaan mesej melalui persembahan kreativiti dengan gaya tersendiri muncul sebagai juara pertandingan lagu rakyat tersebut.

Tempat kedua dan ketiga pertandingan masing-masing dimenangi dua politeknik dari Perak iaitu PUO dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang.

"Menariknya tentang pertandingan lagu rakyat ini ialah ia disertai oleh sekumpulan enam pelajar daripada setiap politeknik melibatkan lelaki dan perempuan daripada pelbagai kaum termasuk masyarakat orang asli," katanya.

Pada festival tersebut, Hafidzah berkata, selain lagu rakyat, pertandingan sukan rakyat turut dianjurkan bagi memupuk silaturrahim dan semangat kerjasama antara pelajar pelbagai kaum.

Menurutnya, antara permainan yang dipertandingkan termasuklah batu seremban, sepak raga bulat, congkak, galah panjang serta seni pembuatan wau.

"Semua permainan yang dipilih merupakan permainan tradisional yang semakin dilupakan lebih-lebih lagi apabila permainan dunia siber mula mendapat tempat di hati generasi muda.

"Bagi memeriahkan festival, aktiviti lain yang turut dianjurkan termasuklah acara memasak bubur lambuk, bazar jualan kraftangan, pameran warisan pengantin Melayu dan India, pertandingan melukis, karaoke lagu warisan termasuk persembahan kebudayaan." katanya.

Atasi Kemiskinan Melalui Perniagaan

RM4j bantu golongan miskin

July 30, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 29 Julai – Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) membelanjakan RM4.042 juta bagi membantu 479 golongan miskin menceburi perniagaan di bawah Skim Pinjaman Mikro Kredit sejak dilancarkan pada Mac tahun lalu.

Ketua Khidmat Mikrokreditnya, Ghaffarud-din Usulud-din berkata, skim tersebut yang bertujuan menjana pendapatan golongan kurang berkemampuan itu sekali gus diharapkan mampu mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Kita memberikan pinjaman dalam lingkungan RM2,000 ke RM20,000 untuk mereka yang mempunyai isi pendapatan rumah kurang daripada RM1,500 terlibat dalam bidang perkhidmatan, pembuatan, pertanian dan peruncitan.

“Untuk tujuh bulan pertama tahun ini, kita menerima bayaran balik pinjaman cukup memberangsangkan kerana melebihi daripada yang kita sepatutnya kutip,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Penganugerahan Skim Pinjaman Mikro Kredit YBUDR kepada 25 penerima di sini, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Khidmat Korporat YBUDR, Hairul Anwar Mohamed Nor.

Pada majlis tersebut, satu taklimat perniagaan ringkas turut diberikan kepada bakal-bakal penerima skim pinjaman mikro kredit tersebut.

Dalam pada itu, Ghaffarud-din berkata, pihaknya akan menilai setiap permohonan terlebih dahulu bagi memastikan hanya yang benar-benar layak menerimanya sahaja.

Selain itu, katanya, YBUDR juga akan melakukan pemantauan perniagaan ke atas semua peminjamnya sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Sementara itu, seorang suri rumah, Laila Hussin, 44, yang bakal menerima pinjaman tersebut berkata, dia berhasrat untuk menjalankan perniagaan menjual makanan seperti nasi lemak dan kuih di rumahnya di Pasir Puteh.

“Saya baru berhenti kerja sebagai pekerja am di sebuah pasar raya setelah berkhidmat selama 25 tahun.

“Melalui skim pinjaman mikro kredit, saya harap dapat memulakan perniagaan seterusnya mengembangkannya melalui jualan secara bergerak menggunakan van,” katanya.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...