Pages


Sunday, April 28, 2013

PKR to Contest 9 Parliamentary Seats, 19 State Seats

 

 

PRU-13: PKR tanding 9 kerusi Parlimen, 19 DUN di Perak

IPOH 16 April - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mengumumkan calon parti itu yang akan bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU-13).

Anwar berkata, dua kerusi yang masih dirundingkan ialah Parlimen Sungai Siput dan DUN Manong.

"Adalah normal bagi parti dalam pakatan untuk mempunyai pendapat tersendiri dalam penentuan kerusi. Kita menjangkakan dapat mencapai keputusannya tidak lama lagi," katanya ketika berceramah di Jalan Pemimpin, Manjoi di sini.

Sembilan calon PKR yang akan bertanding di kerusi Parlimen ialah Dr. Muhammad Nur Manuty (Bagan Serai), Dr. Meor Ahmad Isharra Meor Ishak (Padang Rengas), Siti Aishah Shaikh Ismail (Tambun), Dr. Lee Boon Chye (Gopeng), K. Vasanthakumar (Tapah), Mustaffa Kamil Ayub (Pasir Salak), Laksamana (B) Imran Abdul Hamid (Lumut), Madhi Hassan (Bagan Datoh) dan Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew (Tanjung Malim).

Selain itu, 19 kerusi DUN yang menjadi pertaruhan PKR ialah Pengkalan Hulu, Temenggor, Kenering, Kota Tampan, Batu Kurau, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Kuala Sepetang, Ulu Kinta, Bukit Chandan, Bota, Tualang Sekah, Simpang Pulai, Teja, Chenderiang, Sungai Manik, Pangkor, Hutan Melintang dan Behrang.

Pakatan pembangkang masih belum menentukan calon untuk kerusi Parlimen Sungai Siput selepas Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengesahkan untuk bertanding di situ menerusi penyandangnya, Dr. Jeyakumar Devaraj yang menggunakan tiket PKR pada 2008. - UTUSAN ONLINE

Malaysian 13th General Election 2013

Pit Credit: Free Malaysia Today

             
                Welcome to the 13th Malaysian General Election edition and i'll be focusing on Perak, one of the biggest state in Malaysia






RM500 Incentive for Ipoh Municipal Council Staffs



Warga MBI terima insentif RM500


IPOH 1 April - Sebanyak 2,340 pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bakal menerima insentif sebanyak RM500 melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta yang akan dibayar pada gaji bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemberian tersebut berikutan prestasi memberangsangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam melonjak perubahan ketara bandar raya ini sejak empat tahun lalu.

"Pada 2008, sebanyak 785 permohonan pembangunan kita terima, namun jumlah tersebut meningkat sehingga 4,445 iaitu kedua tertinggi selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Ini sekali gus membuahkan hasil daripada strategi yang kita laksanakan dalam perubahan sistem penyampaian termasuk penggunaan sistem pusat setempat (OSC) di PBT serta kepantasan kerajaan negeri meluluskan permohonan di peringkat Exco tanpa sebarang fail tertunggak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Perdana Menteri Besar Bersama Warga MBI di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim.

Pada majlis tersebut, Zambry turut mengumumkan kenaikan gaji kumpulan sokongan MBI dari gred 1 hingga 16 yang menyaksikan gaji golongan tersebut yang sebelum ini dalam lingkungan RM1,200 hingga RM1,500, dinaikkan menjadi RM1,797 hingga RM2,857 sebulan.

Kenaikan tersebut yang akan berkuat kuasa Julai ini adalah selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Sistem Saraan Transformatif (SST) baru-baru ini.

Katanya, di bawah sistem baharu itu, kumpulan sokongan yang telah mencapai gaji maksimum, mereka akan diberikan tiga tangga gaji tambahan sehingga 2015, sebelum kenaikan tiga peratus setiap tahun mengikut prestasi bermula 2016.

Dalam pada itu, katanya, pembangunan Ipoh terus meningkat apabila bilangan premis perumahan dan perniagaan di sini turut meningkat dengan mendadak daripada 236,000 kepada 272,000.

Peningkatan tersebut ujar beliau, menunjukkan tahap keyakinan rakyat termasuk pelabur dalam menjalankan perniagaan termasuk menjadikan bandar raya ini sebagai tempat tinggal.

Zambry memberitahu, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa negeri untuk turut sama melihat prestasi PBT lain di negeri ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan negeri akan memberikan insentif sama kepada PBT lain termasuk meningkatkan jumlah imbuhan kepada kakitangan MBI pada masa depan sekiranya terdapat lebihan kutipan hasil kewangan.

Lahad Datu Invasion Exposed


 
 
 

Dihujani peluru, rakan rebah depan mata

 
IPOH 28 Mac - Dihujani peluru musuh, melihat rakan setugas rebah dan menghembuskan nafas terakhir di depan mata.

Itulah pengalaman cemas dan pahit yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila oleh tiga anggota komando VAT 69 yang cedera parah semasa bertempur dengan kumpulan pengganas Kiram yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 1 Mac lalu.

Pengalaman itu diceritakan semula oleh Koperal Azman Ampong, 39; Koperal Mohd. Tarmizi Hashim, 32; dan Konstabel Mohammad Qaiyum Aiqal Zulkifli, 22, semasa diraikan sebagai wira Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Negeri Perak dalam satu majlis di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini malam tadi.

Ketiga-tiga anggota komando itu masih menerima rawatan susulan di Hospital Angkatan Tentera, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Di sebalik tohmahan kononnya serangan di Lahad Datu adalah satu sandiwara politik, anggota komando terbabit menceritakan mereka berjuang bermati-matian walaupun ada yang kehabisan peluru.

Menurut Azman, mereka yang dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu Alpha, Bravo, Charlie dan Delta telah diserang segerombolan pengganas sehingga memaksa dia dan Mohd. Tarmizi berlindung di sebalik pokok kelapa sawit.

Katanya, dia bersama Mohd. Tarmizi yang ditugaskan dalam Unit Penggempur Charlie telah dilihat oleh pengganas kerana mereka berada di barisan hadapan.

“Kami diserang pada jarak selang tiga batang pokok kelapa sawit. Ketika itu, kaki kanan saya ditembak, manakala Mohd. Tarmizi pula cedera tangan kiri.
 
“Saya minta Mohd. Tarmizi berundur ke belakang kerana dia sudah kehabisan peluru tetapi belum sempat kami berbuat apa-apa, saya terkena satu lagi tembakan di bahagian belakang," katanya.

Menceritakan lanjut detik-detik cemas itu, Azman memberitahu, seorang lagi rakan mereka, Inspektor Zulkifli Mamat yang berada di belakang bagaimanapun terkorban apabila cuba menggantikan posisi Tarmizi di bahagian hadapan.

Sementara itu, Mohd. Tarmizi berkata, semangat juangnya dalam pertempuran tersebut tidak sedikit pun luntur walaupun cedera ditembak.

Menurutnya, demi tugas dan kedaulatan negara, mereka sanggup bertempur kerana mereka dilatih ‘pantang berundur sebelum ajal’.

Mohammad Qaiyum Aiqal dari Unit Delta pula terharu apabila menceritakan semangat setiakawan yang ditunjukkan rakan setugas kerana sanggup bertarung nyawa menyelamatkan dirinya yang ditembak, walaupun ketika itu kawasan tersebut dihujani peluru musuh.

Dalam kejadian itu, Mohammad Qaiyum Aiqal mengalami cedera parah ditembak di bahu yang menembusi tulang selangkanya sehingga patah, manakala paru-parunya turut luka terkena serpihan peluru.

“Walaupun cedera dan terjatuh, musuh tetap menembak ke arah saya termasuk menggunakan senjata berat. Saya amat terhutang budi pada rakan-rakan yang menarik saya ke belakang untuk berlindung di sebalik pokok kelapa sawit walaupun mereka tahu situasi ketika itu bahaya," katanya.

Pada majlis tersebut, Zambry menyampaikan sumbangan bantuan daripada kerajaan negeri sebanyak RM300,000 kepada Tabung Wira Lahad Datu.

Swiss Garden's Sea Villa in Perak



Villa terapung ikon Lumut


IPOH 27 Mac - Sebanyak 300 unit villa terapung akan dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 20 hektar di pesisir pantai berhampiran Swiss Garden Golf Resort & Spa, Lumut, dekat sini, sekali gus menjadi ikon pelancongan terbaharu di bandar maritim itu.

Dibina dengan konsep mesra alam di atas tanah pajakan kerajaan negeri selama 99 tahun itu menelan kos RM200 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2016.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, villa tersebut akan dihubungkan dengan laluan ke laut berbentuk 'palm concept' seperti yang dibina di Sepang, Selangor dan Dubai.

"Projek ini akan memperkenalkan pengalaman penginapan yang unik kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. Justeru mampu memperkembangkan lagi potensi pelancongan di negeri Perak," kata Zambry.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) projek 'Sea Villa' Mukim Lumut dalam daerah Manjung antara kerajaan negeri dan Damai Laut Golf Resort Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan sementara Damai Laut Golf Resort Sdn. Bhd., pula diwakili oleh Timbalan Pengarah Urusan PJ Development Holdings Berhad, Andrew Wong.

Damai Laut Golf Resort Sdn. Bhd., sebagai pemaju, bernaung di bawah Swiss Garden International Hotels, Resorts & Inns iaitu seksyen perhotelan bagi PJD Holdings Berhad yang menguruskan 12 hotel dan resort di dalam dan luar negara.

Baru-baru ini, Swiss-Garden Golf Resort & Spa Damai Laut memenangi Anugerah Pelancongan Perak 2012 sebagai resort terbaik.

Menurut Zambry, perjanjian kerjasama itu turut meliputi aspek pembangunan infrastruktur kemudahan awam seperti menaik taraf laluan masuk sejauh empat kilometer ke resort berkenaan selain tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh pihak pemaju.

Pembinaan villa tersebut yang akan dilengkapi kemudahan seperti spa, gimnasium dan kolam renang juga akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain memperkembangkan industri berkaitan pelancongan di Lumut.

Annual BR1M Is Possible

 

 

BR1M mampu diberi setiap tahun, hasil kecekapan kerajaan BN urus kewangan

IPOH 22 Mac - Barisan Nasional (BN) mampu meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika masih diberi mandat menerajui Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana kerajaan pimpinan parti itu terbukti cekap dan berhemah dalam menguruskan kewangan negara.


Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, beberapa pendekatan baharu dan kreatif kerajaan termasuk menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya meningkatkan hasil negara setiap tahun.

"Kita percaya sasaran kutipan cukai untuk mencapai RM130 bilion tahun ini akan dapat dicapai. LHDN telah membuat beberapa pendekatan kreatif, misalnya dalam urusan pindah milik tanah berasaskan nilai sama rata yang dahulunya diuruskan Pejabat Tanah dan Daerah.

"Namun sekarang, LHDN telah mengambil tugas berkenaan dan menempatkan pegawainya sendiri untuk melakukan urusan tersebut dengan mengikut harga tanah dan langkah itu didapati membawa kepada peningkatan hasil," katanya selepas melakukan lawatan kerja di Menara Hasil LHDN di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kinta Riverfront Hotel, Ipoh



Hotel berasaskan ekopelancongan


TERLETAK antara pertemuan pekan lama dan pekan baru, Hotel Kinta Riverfront di Ipoh, Perak semakin terkenal sebagai lokasi mesyuarat, konvensyen dan pameran (MICE) yang terbaik di bandar raya ini.

Mula beroperasi sejak 1 Januari tahun lalu, hotel bertaraf empat bintang yang dibangunkan berhampiran Sungai Kinta itu giat dipromosi sebagai hotel berasaskan ekopelancongan.

Selain memiliki sebuah muzium galeri yang memaparkan sejarah perlombongan bijih timah, pembinaan palung di ruang pejalan kaki di tepi Sungai Kinta mengimbau kembali kerancakan industri bijih timah di bandar raya itu sekitar tahun 1820-an.

Tidak hairanlah, empat buah dewan bankuet di hotel berkenaan diberi nama bersempena bandar-bandar perlombongan bijih timah di Perak seperti Tronoh, Kampar, Pusing dan Gopeng.

Pastinya, kunjungan ke hotel tersebut tidak lengkap tanpa menyusuri pemandangan indah di Kinta Riverwalk sepanjang 1.5 kilometer, terutamanya pada waktu malam dengan bertemankan pokok hiasan bercahaya persis Taman Tema i-City di Shah Alam, Selangor.

Pengurus Operasi Kinta Riverfront Hotel & Suites Sdn. Bhd., Patrick Chew berkata, projek pesisir sungai yang turut mengambil inspirasi serta konsep daripada Sungai Melaka itu baru bermula pada fasa pertama.

Beliau berkata, bagi memeriahkan lagi suasana di kawasan pejalan kaki yang terletak di hadapan hotel itu, pihaknya telah membina tiga replika jambatan terkenal dunia bagi membolehkan orang ramai melihatnya.

"Jambatan-jambatan ini adalah miniatur Golden Gate Bridge di San Francisco, Amerika Syarikat; Sydney Harbour Bridge di Australia dan Silver Nest Bridge di China.

"Beberapa gerai menjual makanan tempatan seperti mi rebus dan aiskrim kacang hazel, selain gerai sayur-sayuran segar dari Cameron Highlands turut dibuka di sini," katanya kepada S2.

Sementara itu, untuk penganjuran majlis pula, kawasan seluas 139 meter kaki persegi yang dinamakan Kongsi Square di tepi sungai itu juga dapat dimanfaatkan bagi tujuan pemasangan kanopi.

Bercerita lebih lanjut mengenai kemudahan penginapan, Patrick berkata, hotel berkenaan memiliki 410 unit bilik meliputi jenis standard, superior, family dan executives.

Bagi mereka yang inginkan kediaman yang lebih eksklusif, mereka boleh menempah set bilik honeymoon dan presidential suites yang masing-masing berharga RM3,888 dan RM8,888 semalam.

"Antara tetamu kenamaan yang telah menginap di presidential suites ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah sewaktu baginda merasmikan program Pergerakan Pandu Puteri di Ipoh.

"Selain itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri juga pernah menginap di bilik honeymoon yang terletak di tingkat 19," katanya.

Dalam pada itu, Patrick berkata, bagi mereka yang inginkan bilik kediaman serba lengkap, mereka boleh menginap di servis apartmen yang terdiri daripada Kinta Gold (tiga bilik, menghadap sungai) dan Kinta Premier (dua bilik, menghadap pekan).

Selain itu, katanya, sesuai dengan sasaran hotel sebagai lokasi MICE, lapan dewan mesyuarat yang dinamakan Menglembu, turut ditawarkan selain Grand Valley Ballroom yang boleh memuatkan sehingga 1,300 individu dalam satu masa.

Menariknya, ballroom yang dibina tanpa sebarang tiang itu merupakan yang terbesar di bandar raya ini, selain dilengkapi paparan skrin besar diod pemancar cahaya (LED) serta pentas bergerak turun naik melalui pacuan sistem hidraulik.

"Antara kemudahan lain termasuklah kolam renang lutsinar yang diberi nama Infinity Mermaid Swimming Pool di tingkat lima, gelanggang tenis, squash, dan spa.

"Dari segi makanan dan minuman pula, kami mempunyai beberapa restoran seperti Great Miner Chinese Cuisine, Palong Coffee House, The Mermaid Poolside bar and BBQ dan Tin Ore Bistro and Lounge," ujarnya.

Kemudahan tempat meletak kenderaan juga bukan merupakan satu masalah kerana terdapat lebih 1,000 unit disediakan di tingkat bawah tanah, selain di kawasan luar hotel.

Malah, keselamatan para penginap juga terjamin kerana hotel berkenaan turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

Saturday, April 27, 2013

Kolej Yayasan Felda Trolak Campus

Pix Credit: Yayasan Felda

Kolej Integrasi Ilmu dijenama semula

SUNGKAI 13 Mac - Kolej Integrasi Ilmu (Kini) Trolak, di sini yang dibuka sejak 2006 telah dijenamakan semula dan dikenali sebagai Kolej Yayasan Felda Kampus Trolak.

Kolej tersebut yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, kolej yang dinaungi dan diuruskan oleh Yayasan Felda dengan kerjasama Felda Prodata Systems Sdn. Bhd. itu telah berjaya melatih lebih 1,000 warga generasi baru Felda dan bukan Felda.

"Tujuan kita menjenamakan semula Kolej Yayasan Felda ini adalah untuk menimbulkan keyakinan kepada anak- anak kita untuk belajar di sini.

"Di samping itu, kita ada juga kerjasama dengan City and Guilds, sebuah institusi pendidikan yang berusia lebih 100 tahun di London, United Kingdom (UK)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis graduasi sesi 2/2012 dan penjenamaan Kolej Yayasan Felda Kampus Trolak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Kampus Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan merangkap Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Datuk Dr. Emel Faizal Mohd Mokhtar.

Dalam pada itu, Mohd Isa berkata, bermula tahun ini, logo Kolej Yayasan Felda turut akan dipamerkan bersama pada sijil kursus yang diiktiraf oleh City and Guilds.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut akan meliputi kesemua kursus kemahiran ditawarkan di Kolej Yayasan Felda yang lulus penilaian badan latihan vokasional bertaraf dunia.

"Dari segi masa panjang, kita merancang memperkenalkan kursus baharu serta peningkatan piawaian silibus pengajian. Di kampus Trolak misalnya, kita lebih banyak memfokuskan bidang komputer sementara di kampus Raja Alias pula lebih kepada dandanan rambut dan jahitan," katanya.

Gaharu Tea Valley, Gopeng, Perak




Pesona ladang gaharu Gopeng


GOPENG 28 Feb. - Terletak hampir tiga kilometer dari pekan Gopeng, siapa sangka wujudnya sebuah ladang gaharu seluas 120 hektar di tengah-tengah Kampung Sungai Itik dan Kampung Pintu Padang.

Persis Tembok Besar Cina sepanjang tiga meter, kawasan agropelancongan terbaharu di negeri Perak itu mempunyai potensi besar menarik kunjungan pelancong asing mahupun rakyat tempatan.

Apa tidaknya, gaharu yang biasanya dikenali sebagai tumbuhan liar di hutan dan sering menjadi mangsa kerakusan pembalakan kini ditanam secara komersial di ladang berbukit dengan jarak tersusun tiga meter antara satu sama lain.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian ialah harga satu kilogram gaharu di pasaran kini bernilai RM25,000 dan ia boleh mencecah sehingga RM100,000 mengikut gred.

Dengan pembangunan ladang secara organik melibatkan kira-kira 200,000 batang pokok gaharu, kebanyakan kos operasi dikatakan tertumpu kepada penyelenggaraan kawasan ladang termasuk pembinaan jalan bagi memudahkan perjalanan keluar masuk kenderaan.

Gaharu yang dikategorikan sebagai spesies tumbuhan terancam itu memerlukan semburan enzim mikroorganisma efektif dua minggu sekali supaya boleh mencapai ketinggian antara 15 hingga 18 meter.

Menceritakan lebih lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Gaharu Technologies Sdn. Bhd., Nicklaus Ho C.W. berkata, gaharu yang ditanam secara komersial di kawasan berkenaan sejak 2008 merupakan jenis hibrid yang dikacukkan dengan 12 jenis spesies lain di Jepun.

Sehubungan itu, katanya, pokok gaharu yang ditanam di kawasan berdekatan Gua Tempurung dan Hutan Rizab Bukit Kinta itu mampu menjana hasil lebih cepat iaitu dalam tempoh tiga tahun.

"Kita juga hasilkan pelbagai jenis produk seperti teh gaharu, sup gaharu, minyak gaharu, cip kayu gaharu, mi segera gaharu, nougat, biskut dan aiskrim gaharu.

"Semua kerja pemprosesan dan pembungkusan produk kita lakukan di kilang yang turut dibuka di sini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nicklaus berkata, daun pokok gaharu yang diproses menjadi teh hijau mempunyai khasiat mengubati pelbagai jenis penyakit seperti gout, kencing manis, darah tinggi serta membantu melancarkan sistem edaran darah.

Selain boleh digunakan untuk rawatan kecantikan dan awet muda, kajian mengenai khasiat gaharu itu juga telah dijalankan bersama Sekolah Sains Farmaseutikal Universiti Sains Malaysia (USM) sejak empat tahun lalu.

"Disebabkan gaharu mempunyai permintaan yang tinggi, kita membuka cawangan perniagaan yang pertama di Hong Kong bersama-sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri pada 9 Disember tahun lalu.

"Kita juga menyasarkan untuk memasarkan produk gaharu ini ke Indonesia seperti di Jakarta, Medan dan Surabaya selain Singapura, Dubai dan menembusi pasaran di pasar raya sekitar England," katanya.

Tambah beliau, selain menerima pensijilan organik buat julung kalinya untuk produk gaharu oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani, pihaknya turut mendapat pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Namun, rata-rata pengunjung yang gemar mengunjungi ladang berkenaan adalah kaum Cina kerana pokok gaharu dikatakan mendatangkan 'feng shui' yang baik kepada mereka.

Selain dapat melihat pertukaran pucuk baharu pokok gaharu pada setiap awal tahun, pengunjung juga boleh bersantai di Holistic Gaharu (Hoga) Tower yang kini dibina dan dijangka siap sepenuhnya Jun tahun ini.

Beliau berkata, pada zaman dahulu, gaharu dan sarang burung walet selalunya dimasak bersama dan digunakan kerabat diraja Cina untuk tujuan kecantikan serta resipi umur panjang.

"Seperkara lagi yang menarik di sini ialah terdapat pokok yang kita namakan 'Loving Tree' kerana terdapat satu pokok berbatang hitam dilihat seolah-olah memeluk satu lagi pohon berbatang putih.

"Penduduk di kampung ini ada mengatakan terdapat satu legenda kononnya ada seorang anak perempuan 'mat saleh' jatuh cinta kepada orang tempatan," katanya.

Selain itu, katanya, di puncak bukit ladang itu terdapat ibu pokok gaharu yang ditanam sejak 1992.

Malay Supremacy Concept Should Be Abolished?


 


Nizar ajak 'humban' Ketuanan Melayu


LUMUT 28 Feb. - Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengajak rakyat menolak konsep Ketuanan Melayu yang disifatkannya sudah tidak relevan dan mesti dihapuskan serta 'dihumban' keluar dari arus politik negara.

Pemimpin Pas itu yang pernah menggemparkan negara kerana memohon "sembah derhaka" kepada Sultan Perak ketika krisis politik Perak pada 2009 mendakwa, konsep Ketuanan Melayu yang diamalkan sejak lebih 55 tahun lalu hanya menanam sifat kebencian sesama kaum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu membuat kenyataan itu ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Fasa 3B Manjung di sini malam tadi.

Kuliah yang pada mulanya berkisar mengenai sejarah Islam bertukar menjadi ceramah politik apabila Mohammad Nizar mengecam konsep Ketuanan Melayu sehingga pada satu tahap seolah-olah menyamakannya dengan pemerintahan Firaun.

Sambil menggunakan petikan Surah Al-Maidah ayat 8, Mohammad Nizar juga mendakwa konsep Ketuanan Melayu tidak pernah dibenarkan oleh Islam.

"Allah kata Aku tidak terima ketidakadilan. Melayu ditanam sifat benci kepada Cina dan India, Cina ditanam sifat benci kepada Melayu dan India, India ditanam sifat benci kepada Cina dan Melayu.

"Setelah 55 tahun berlalu, kita lihat ketidakadilan ini berlaku. Kalau hendak bawa kembali kepada takwa, hilangkan Ketuanan Melayu. Dalam Islam, yang hanya dibenarkan adalah ketuanan syarak," katanya.

Mohammad Nizar juga mendakwa, prinsip Ketuanan Melayu tidak tercatat dalam sumber berasaskan al-Quran mahupun sunah. Oleh itu, konsep itu harus 'dihumban' keluar kerana didakwanya membawa kepada ketidakadilan dan kezaliman.

Dalam kuliah maghrib itu, Mohammad Nizar juga mengambil kesempatan menyeru orang ramai supaya membuat keputusan yang betul pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dengan memilih kerajaan yang tidak mengamalkan rasuah.

"Di akhirat nanti, Allah nak tanya kita. Soalan pertama siapa tuhan kamu? Soalan kedua siapa kerajaan yang memerintah hari ini? Boleh semak surah ke-40 ayat 16," ujarnya.

Sementara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membidas kenyataan Mohammad Nizar itu yang disifatkan amat keterlaluan dan mengguris perasaan orang Melayu kerana dilihat menyentuh kedaulatan raja-raja Melayu.

Pengerusi Barisan NGO Perak, Muhammad Salleh Khan Muhammad Jaafar menegaskan, menolak Ketuanan Melayu bermakna menafikan kedaulatan raja-raja Melayu yang menaungi pentadbiran negara sejak bertahun-tahun lamanya.

"Kami terkejut kenyataan sebegini keluar daripada seorang Melayu. Hanya Melayu berdarah campuran yang mungkin bercakap dan menyentuh perkara yang sangat sensitif ini. Beliau (Mohammad Nizar) tahukah apa yang dia cakapkan?" katanya.

Salleh juga mempersoalkan kenapa Mohammad Nizar membangkitkan isu tersebut sedangkan sejarah sistem pemerintahan beraja telah berjaya mewujudkan keamanan dan kemakmuran dalam negara sejak bertahun lamanya walaupun terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

"Ketuanan Melayu tidak menimbulkan kebencian sebaliknya pembangkang sendiri memanipulasi konsep itu demi kepentingan politik untuk mewujudkan rasa marah satu kaum kepada kaum yang lain. Mohammad Nizar perlu berhati-hati, jangan campur aduk perkara ini dengan politik," tegas beliau.

Ketua Wira Perkasa Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd Salleh pula berkata, amat malang apabila Mohammad Nizar tergamak membuat kenyataan itu dalam kuliah Maghrib di rumah Allah yang sepatutnya dijadikan wadah penyatuan umat.

"Mohammad Nizar perlu sedar bahawa kerana hakikat dia seorang Melayu maka dia pernah dilantik menjadi Menteri Besar. Jangan tergamak bercakap sesuatu yang merendahkan martabat bangsa, malah rumah ibadat tidak seharusnya dijadikan gelanggang politik untuk memecah-belahkan umat," ujarnya.

No Politicking In Mosques

 

Pix Credit : The Star

Nizar diselar guna surau untuk ceramah politik

LUMUT 27 Feb. - Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diselar menggunakan kuliah maghrib sebagai pentas ceramah politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Wira Perkasa Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu amat tidak wajar kerana mencampuradukkan agama dan politik, lebih-lebih lagi ketika berada di rumah Allah.

"Sultan sebelum ini telah menitahkan supaya jangan berpolitik dalam masjid kerana ia boleh menyebabkan perpecahan umat Islam. Ini jelas menunjukkan Mohammad Nizar telah derhaka kepada Sultan.

"Kami juga ingin mempersoalkan sama ada beliau mempunyai sijil kelayakan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk memberi ceramah di masjid-masjid atau di surau," katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam tadi.

Mohammad Nizar ketika menyampaikan kuliah maghrib di Surau Fasa 3B Seri Manjung pada malam tadi menceritakan sejarah Islam termasuk Firaun, namun majlis santapan rohani itu dicemari unsur-unsur politik apabila beliau menyentuh dan mempersoalkan konsep ketuanan Melayu.

Beliau yang pada mulanya secara berkias-kiasan mengaitkan kerajaan Firaun dengan 'ketuanan Firaun', akhirnya menyamakannya dalam konteks Malaysia pada penghujung kuliahnya.

Mohammad Nizar antara lain menyeru supaya semangat ketuanan Melayu dihapuskan kerana mendakwa prinsip tersebut tidak dibenarkan oleh Allah. - UTUSAN

Not Losing Hope

 
Pix Credit : Malaysian Insider

BN Perak tumpu 59 DUN

IPOH 23 Feb. - Barisan Nasional (BN) akan menumpukan perhatian di semua 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di kawasan kubu kuat pembangkang yang dianggap 'tiada harapan' bagi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sepatutnya tidak ada istilah 'tiada harapan' bagi mana-mana kawasan kerana akhirnya rakyat sendiri akan membuat keputusan.

''Tempat-tempat itu jangan kita anggap sudah tiada harapan kerana ada yang beranggapan kita tidak perlu memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan yang sudah tentu kita tidak menang.

''Kita tidak boleh membuat andaian sedemikian kerana keadaan mungkin berlaku sebaliknya kerana akhirnya rakyat yang menentukan kerajaan mana yang mereka mahukan," katanya selepas melancarkan pertandingan esei DKLS Linguistic Ambassador anjuran bersama British Council di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah British Council Malaysia, Gavin Anderson dan Pengarah Eksekutif DKLS Industries Berhad, Ir. Sam Tuck Wah.

Zambry diminta mengulas kenyataannya sebelum ini bahawa BN akan membuat kejutan di DUN Pantai Remis ketika mengadakan program turun padang di Parlimen Beruas baru-baru ini.

Menurut Zambry, jentera parti perlu memfokuskan perhatian di semua kawasan memandangkan kemenangan BN diukur berdasarkan kemampuan parti itu menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau turut menekankan tiga aspek yang menjadi kunci kemenangan BN di Perak iaitu calon diterima rakyat, strategi serta pemahaman politik dan penyelesaian masalah di sesebuah kawasan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan pemberian bantuan kerajaan sebagai makanan haiwan sedangkan mereka melancarkan kempen negara kebajikan di Tambun semalam, Zambry berkata, itu sememangnya sikap pembangkang.

Illegal Firecrackers Seized



UPP rampas mercun RM500,000


GERIK 7 Feb. - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Perak dengan kerjasama UPP Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai hampir RM500,000 setelah menyerbu sebuah lori yang diletakkan di tepi Jalan Gerik-Kuala Kangsar, dekat Hospital Gerik di sini semalam.

Komander UPP Perak, Asisten Supritendan Kasturi Othman berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 pagi itu, hasil maklumat awam dan risikan bagaimanapun gagal mengesan pemandu lori jenis Hicom Perkasa muatan lima tan tersebut meskipun setelah menunggu selama dua jam.

"Hasil pemeriksaan lori berwarna putih yang ditutup dengan kanvas itu, kita menemukan 150 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api buatan China yang diseludup dari Thailand sebelum dibawa masuk ke negara ini melalui Kelantan.

"Lori berkenaan disyaki membawa muatan mercun dan bunga api menghala ke Gerik melalui Lebuh Raya Timur Barat Jeli-Gerik," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kasturi berkata, pihaknya akan menyerahkan kesemua hasil rampasan tersebut kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, setakat ini, rampasan tersebut merupakan yang pertama dan terbesar di Perak untuk tahun ini.

"Kita akan mengetatkan kawalan pintu masuk dan laluan Bukit Berapit menjelang perayaan Tahun Baharu Cina. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan boleh menghubungi UPP Perak di talian 04-4778663," kata beliau.

Wednesday, April 17, 2013

Mum, Children Burn To Death

 

Ibu serta tiga anak rentung


SUNGAI SIPUT 5 Feb. - Seorang ibu dan tiga anaknya mati rentung dengan dua daripadanya ditemui dalam keadaan berpelukan di rumah mereka yang terbakar di Taman Bukit Medan di sini tengah malam tadi.

Kejadian menyayat hati itu berlaku selang beberapa hari selepas kematian ketua keluarga mereka, S. Rajan, 48, pada Jumaat lalu.

Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam itu ialah S. Jeyaletchumi, 45; dan tiga anaknya, R. Thilagawati, 23; R. Buvaneswary, 20; dan R. Sugan, 16.

Jiran mangsa, Mok Kam Hing berkata, dia menyedari kebakaran itu sewaktu sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi letupan kuat yang disangkanya mercun.

"Namun, setelah menjenguk ke luar rumah, saya dapati rumah sebelah sedang marak terbakar. Saya rasa letupan itu mungkin berpunca daripada tong gas, maka saya terus menelefon pihak bomba," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi jiran mangsa, Wah Kam Heng pula mendakwa, letupan kuat berkenaan turut mengakibatkan retakan di bahagian dinding rumahnya.

Sementara itu, difahamkan, keluarga berkenaan merahsiakan kematian Rajan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh akibat kanser paru-paru daripada pengetahuan jiran termasuk keluarga terdekat.

Abang kepada Jeyaletchumi, S. Ramesh Rao, 47, berkata, dia terkejut dengan tindakan nekad keluarga adik keempatnya itu yang difahamkan baru menetap di kawasan berkenaan sejak hampir sembilan bulan lalu.

Lebih mengejutkan, dia yang menetap di Taman Muhibbah di sini turut mendakwa baru sahaja mengetahui kematian adik iparnya yang disembunyikan oleh Jeyaletchumi dan anak-anaknya.

"Saya difahamkan pengkebumian Rajan diuruskan sendiri mereka Sabtu lalu. Memang mereka bertindak menjauhkan diri daripada keluarga kandung dan mertua sejak tiga tahun ekoran perselisihan faham," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dan Ipoh bergegas ke tempat kejadian pada pukul 12.22 tengah malam.

Beliau yang mengesahkan siasatan kejadian itu setakat ini tidak mempunyai unsur jenayah berkata, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur dan berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 35 minit kemudian.

"Punca kejadian masih disiasat namun kita tidak tolak kemungkinan berpunca daripada letupan tong gas.
"Siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa terlalu tertekan dengan kematian ketua keluarga mereka beberapa hari lalu.

"Maka, kita juga tidak menolak kemungkinan bahawa mereka membuat satu tindakan yang melulu," katanya.

 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...