Pages


Friday, August 31, 2012

Bus-Trailer Collision



Pemandu maut, 12 cedera

August 31, 2012 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

TANJUNG MALIM 30 Ogos - Seorang pemandu bas persiaran maut sementara 12 lagi cedera apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebuah treler muatan besi di Kilometer 362.7, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berdekatan Trolak malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.45 malam, mangsa yang dikenali sebagai Hussien Jaafar, 29, mati di tempat kejadian kerana tersepit di tempat pemandu apabila bahagian depan bas tersebut 'melekat' pada belakang treler berkenaan.

Selain bahagian hadapan bas tersebut remuk teruk, beberapa kerusi di bahagian hadapan tempat duduk penumpang turut tercampak keluar daripada bas persiaran KLB Express itu yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke Butterworth, Pulau Pinang.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada pemanduan yang laju sehingga bas berkenaan dikatakan terseret sejauh kira-kira 130 meter sebaik sahaja 'melekap' pada treler berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Othman Nanyan berkata, kesemua empat mangsa yang parah dan lapan lagi yang mengalami cedera ringan itu dihantar ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan.

"Lima daripada sejumlah 17 penumpang yang menaiki bas ekspres tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk seorang pemandu bas kedua.

"Pemandu treler berkenaan juga bagaimanapun tidak terlibat dalam kecederaan sementara mayat pemandu bas berkenaan dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat," katanya di sini hari ini.

Antara penumpang yang dikenal pasti mengalami kecederaan termasuklah seorang warga Indonesia dikenali sebagai Leni Arriani Marpang; Leow Sun Sun, 37; P. Kuhan, 22; Che Yussof Che Am, 39; Sayed Mohd. Soffi Sayed Marhadzir,21; R. Kumutha, 23; Ooi Beng Chin, 48 ; Nur Farah Mera Jamil, 13; Muhamad Radzuan Hassan, 26; Mohd Hafizul Zulfabili, 25; Husni Mustapah, 46 dan Shahrina,24.

Sementara itu, waris kepada mangsa maut, Hassan Jaafar, 29, yang juga merupakan kembar kepada mangsa berkata, adiknya yang bekerja sepenuh masa secara kontrak di sebuah kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Baling, Kedah; rajin melakukan kerja sambilan termasuk kerja kampung dan memandu bas ekspres di waktu cuti.

Hassan berkata, Hussein yang mempunyai perwatakan agak pendiam serta belum mendirikan rumah tangga itu juga kini menetap bersama keluarga di Kampung Dato' Manan Tiak, Kupang, Baling, Kedah.

"Kali saya terakhir saya berjumpa dengannya adalah hari Rabu lalu iaitu sebelum dia pergi kerja. Dia sempat minum air dan tinggalkan duit untuk digunakan bagi membaiki kenderaannya," katanya yang turut mengakui arwah juga gemar untuk memasuki pertandingan tomoi di sekitar Kulim dan Baling.


Lenggong Valley - UNESCO World Heritage Site




Lembah Lenggong kaya bahan prasejarah

August 27, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

GERIK 26 Ogos - Biarpun teori Out of Africa mengaitkan setiap manusia mempunyai hubung kait turun-temurun dengan sekumpulan Homo sapiens yang merantau keluar dari Afrika, namun migrasi kuno itu mempunyai jejak signifikannya di sebuah tempat di negara ini.

Tempat tersebut tidak lain tidak bukan ialah Lembah Lenggong di Hulu Perak yang mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) baru-baru ini kerana bahan-bahan prasejarah dan nilai arkeologi yang ada di situ.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Mokhtar Saidin, terdapat bukti menunjukkan bahawa penempatan manusia prasejarah di Lembah Lenggong telah wujud sejak 1.83 juta tahun lalu.

“Manusia terawal di dunia dibuktikan wujud di Afrika dua juta tahun dahulu tetapi di Lenggong, ia tertua di luar Afrika.

“Penemuan ini menyaingi bukti dunia yang mengatakan manusia terawal wujud di luar Afrika hanya bertapak di Dmanisi Georgia sekitar 1.8 juta tahun dahulu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, ekskavasi yang dipelopori oleh penyelidik USM, Prof. Datuk Zuraina Majid di Kota Tampan, Lenggong menemui bukti-bukti kewujudan manusia awal menerusi analisis mitokondrial asid deoksiribonukleik (DNA) kaum Semang beretnik Negrito.

Penemuan tersebut menunjukkan kaum berkenaan berasal daripada sekumpulan manusia yang meninggalkan Afrika kira-kira 80,000 tahun dahulu.

Selain itu, penyelidikan dijalankan mendapati penempatan zaman prasejarah iaitu Zaman Paleolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Logam wujud di Lembah Lenggong.

Penemuan di Bukit Jawa misalnya, hasil pemetaan paleoalam tapak Kota Tampan mendedahkan penempatan masyarakat Paleolitik yang biasanya di gigi tasik, mempunyai enapan ke lilir Sungai Perak yang digunakan untuk membuat alas batu, sekitar 100,000 ke 200,000 tahun dahulu.

Di tapak Gua Gunung Runtuh pula telah ditemui rangka lelaki Manusia Perak yang merupakan satu-satunya rangka manusia terlengkap prasejarah, dilahirkan dengan kecacatan genetik Brachymesophalangia Jenis A2.

Manusia Perak yang hidup kira-kira 10,000 ke 11,000 tahun dahulu dan dipercayai mati kerana sakit tua pada usia 40 ke 45 tahun berdasarkan kehausan gigi gerahamnya dipercayai manusia tertua berikutan jangka hayat individu ketika itu adalah hanya sekitar 20 ke 30 tahun sahaja.

Ciri keunikan Zaman Neolitik di Lembah Lenggong pula boleh ditemui di Gua Harimau apabila 11 pengebumian rangka manusia berusia kira 2,000 ke 4,000 tahun dahulu dijumpai dengan barangan kiriman seperti bekas tembikar, alatan batu, perhiasan badan dan sisa makanan.

Malah, penemuan tunggal penempatan Zaman Logam di Gua Harimau itu juga menunjukkan logam yang digunakan adalah lebih tua usianya berbanding alatan sama yang ditemui di Sarawak (Gua Niah dan Gua Sireh), Selangor (Jenderam Hilir dan Kampung Sungai Lang) dan Sabah (Gua Agop Atas dan Gua Pusu Lumut).

Menurut Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Gua Tampan, Gua Kelawar, Gua Gunung Runtuh dan beberapa kawasan lain di Lembah Lenggong dijadikan tumpuan kajian lanjutan untuk penarafan pengiktirafan UNESCO.

“Pengiktirafan Lembah Lenggong merupakan kehebatan Malaysia dengan adanya empat pengiktirafan lain daripada UNESCO iaitu Georgetown, Kota Melaka, Gunung Kinabalu dan Gua Niah di Sarawak," katanya.

All Eyes On Taiping High Court

Kekalkan Mahkamah Tinggi

August 26, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

PARIT 25 Ogos - Perak berharap Kerajaan Persekutuan khususnya jabatan kehakiman dapat memberi pertimbangan sewajarnya supaya bangunan dan operasi di Mahkamah Tinggi Taiping dapat diteruskan daripada ditutup.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau telah mendengar penjelasan berhubung perkara itu dan diberitahu bahawa syor penutupan mahkamah itu timbul berikutan langkah menaik taraf pengendalian kes-kes di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

“Mahkamah Majistret kini mengendalikan kes-kes melibatkan tuntutan yang dinaikkan sehingga RM100,000, begitu juga Mahkamah Sesyen sehingga RM1 juta. Justeru, dengan sendirinya kes-kes berkenaan tidak lagi dikendalikan oleh Mahkamah Tinggi.

“Walaupun begitu, saya berterima kasih kerana dilaporkan bahawa ia hanyalah satu cadangan dan bukan keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis jamuan rumah terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Parit yang dihadiri kira-kira 4,000 pengunjung di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd. Zaim Abu Hasan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja dan Ahli Parlimen Parit, Drs. Mohd. Nizar Zakaria.

Zambry mengulas mengenai ura-ura Mahkamah Tinggi Taiping yang berusia hampir 20 tahun dikatakan bakal ditutup ekoran pindaan Akta Mahkamah Rendah pada dua tahun yang lalu.

Berikutan itu, Jawatankuasa Peguam Perak yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut berhasrat untuk menghantar satu memorandum bantahan kepada kerajaan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan berlainan, Zambry berkata, bandar Parit termasuk kawasan Perak Tengah, akan terus membangun dengan terbinanya Lebuh Raya Pantai Barat di sepanjang pesisiran pantai negeri ini melalui susur keluar ke Siputeh.

Beliau berkata, projek yang pada dasarnya telah dipersetujui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu dijangka akan dimulakan pada tahun ini.

“Saya telah diberi taklimat terbaru mengenainya. Malah, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa projek lebuh raya tersebut yang kini telah berada di peringkat draf terakhir akan diteruskan walaupun kita telah maklumkan mengenai kebimbangan isu kelewatan," katanya.

38 'hot spots' in Perak

38 kawasan 'panas' di Perak

August 15, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 14 Ogos - Polis hari ini mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan 38 kawasan 'panas' di seluruh negeri ini yang sering menjadi lokasi kemalangan maut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, bagi mengelak kemalangan yang boleh mengakibatkan kesesakan, pihaknya akan menempatkan 940 pegawai dan anggota polis untuk bertugas sepanjang Ops Selamat berlangsung.

"Kita menjangkakan akan berlaku kesesakan lalu-lintas bermula Khamis ini memandangkan Perak mempunyai laluan lebuh raya terpanjang di Malaysia iaitu sepanjang 233 kilometer.

"Sehubungan itu, anggota polis akan ditempatkan di kawasan-kawasan panas sama ada di khemah, kereta atau motosikal bagi mengingatkan para pengguna jalan raya. Kehadiran kami adalah untuk membantu, bukan menangkap anda," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Shukri berkata, bagi melancarkan aliran trafik di bandar, pihaknya akan menukar sistem warna lampu isyarat sedia ada supaya hanya lampu berwarna kuning dinyalakan di beberapa jalan persekutuan tertentu.

Beliau berkata, langkah tersebut bagi menggerakkan aliran trafik tidak seimbang yang juga akan diawasi oleh pihak polis.

"Oleh itu, kita harap nanti ia tidak disalah anggap bahawa lampu isyarat di jalan tersebut sudah rosak," katanya.

Sementara itu, katanya, bagi meningkatkan kelancaran trafik, polis juga akan menggunakan pendekatan baru dengan memberi laluan kepada kenderaan yang keluar dari tol terutamanya di Plaza Tol Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) Changkat Jering, Kuala Kangsar dan Simpang Pulai.

"Selain itu, kita juga akan melancarkan perjalanan kenderaan yang keluar dari kawasan rehat dan rawat (R&R) terutamanya di Tapah dan Sungai Perak," katanya.

Saturday, August 11, 2012

Panduan Malam Pertama


PERKARA-PERKARA PENTING SEMASA MELAKUKAN PERSETUBUHAN

1. BERTAUBAT & MEMOHON KEAMPUNAN

- Di malam pertama, Islam menganjurkan kepada pasangan suami isteri supaya membersihkan diri dari dosa dan noda yang pernah dilakukan sebelum ini sama ada zahir dan batin

- Oleh itu, mereka disarankan supaya memohon taubat supaya memohon taubat kepada Allah sama ada dengan sembahyang sunat taubat atau beristighfar kepadanya.

- Diharapkan pertemuan buat kali pertama ini benar-benar memberi makna dalam membina kehidupan baru yang dapat mengabdikan diri kepada Allah


2. AMALAN SEMASA MASUK BILIK / RUMAH

-Semasa masuk rumah atau bilik bacalah doa terlebih dahulu iaitu

Ertinya: Wahai Allah, aku pohonkan daripada kamu sebaik-baik tempat masuk dan tempat keluar ini. Dengan nama Allah, kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah kami berserah


3. SEMBAHYANG SUNAT DI BILIK TIDUR

- Seterusnya apabila suami isteri sudah berada di bilik tidur, maka sunat keduanya sembahyang sunat dua rakaat.

- Selesai sembahyang sunat, bacalah surah al-Fatihah , surah al-Ikhlas dan selawat Nabi sebanyak tiga kali dan diiringi dengan doa seperti berikut

Ertinya: Ya Allah berkatilah bagiku disisiku ahliku. Dan berkatilah bagi ahli disisiku. Ya Allah jadikanlah pertemuan kami ini suatu pertemuan yang baik. Dan pisahkanlah kami, andainya perpisahan itu satu kebaikan. Ya Allah, berilah rezeki kepada mereka daripadaku dan berilah rezeki aku daripada mereka. Dan jadikanlah kemesraanku dan kasih sayangku bagi mereka. Dan jadikanlah kami semua saling cinta-mencintai


4. BERAMAH MESRA

- Selepas itu, si suami hendaklah memusingkan badannya dan hadapkan mukanya tepat kepada isterinya dan duduk bertindih paha lalu memberi salam kepadanya.

- Ini adalah sebagai mukaddimah untuk berbual mesra antara suami dan isteri supaya ianya benar-benar merasa gembira dan mesra.


5. MELETAKKAN TANGAN KANAN DI ATAS UBUN-UBUN ISTERI

- Selepas itu, suami hendaklah meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun isterinya bertujuan memohon keberkatan dan kebaikan dan bacalah doa seperti berikut:

Ertinya: Ya Allah, sesungguhnya aku pohon daripada Kamu dari sebaik-baiknya barang ciptaan Kamu. Dan aku berlindung dengan kamu daripada seburuk-buruk yang telah Kamu ciptakan.


ADAB-ADAB MELAKUKAN PERSETUBUHAN


1. LUCUT PAKAIAN KESEMUANYA DI WAKTU BERSETUBUH

- Antara adab-adab bersetubuh ialah janganlah mendatangani isteri selagi isterinya belum melucutkan semua pakaiannya.

- Kedua-duanya hendaklah berselimut dalam satu kain selimut, sebaik-baiknya kedua-duanya melucutkan pakaian.

-Tetapi janganlah kedua-duanya bertelanjang bogel di waktu melakukan persetubuhan kerana kepada Allah sepatutnya kamu lebih-lebih lagi merasa malu


2. BERCUMBU-CUMBUAN


TO be continued


Credit: Ustaz Mohd Shiham Mahfuz Alkulimi , Kolej Mara Banting


















EPF Full Withdrawing Remains At 55

Keluaran penuh KWSP kekal 55 tahun

August 5, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 4 Ogos - Kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan had umur bagi pengeluaran penuh caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada 55 tahun kepada 60 tahun ketika ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ura-ura tersebut timbul ekoran keputusan kerajaan melanjutkan had umur persaraan minimum bagi pekerja swasta kepada 60 tahun baru-baru ini.

"Pada peringkat ini, kerajaan tidak bercadang melaksanakan sistem tersebut. Mereka yang mempunyai akaun dengan KWSP boleh mengeluarkan wang tersebut pada umur 55 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian kain jubah, buah tamar dan air zam-zam kepada jawatankuasa masjid seluruh Parlimen Tambun, di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan pindaan Akta KWSP 1991 berikutan kelulusan Rang Undang-undang Umur Persaraan Minimum 2012 di Parlimen yang menetapkan pekerja sektor swasta hanya boleh bersara wajib setelah mencapai umur 60 tahun.

Cadangan kenaikan had umur pengeluaran penuh KWSP kepada 60 tahun yang dikatakan selari dengan batas umur persaraan minimum swasta bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan para pencarum.

Ketika ini, para pencarum boleh membuat pengeluaran separa KWSP pada usia 50 tahun sementara pengeluaran penuh hanya dibenarkan ketika seseorang itu berumur 55 tahun iaitu selepas bersara.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Husni berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua merupakan satu daripada inisiatif yang kini sedang dikaji oleh kerajaan dalam penyediaan Bajet 2013.

Namun katanya, keputusan itu tertakluk kepada hasil pendapatan kerajaan yang mana ia perlu melebihi daripada perbelanjaan mengurus.

"Kita menerima kerjasama yang baik daripada sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu-individu dari segi pemberian input. Kita dapati bahawa budaya timbal balik antara kerajaan dan rakyat begitu memberangsangkan.

"Sebahagian besar yang menjadi kebimbangan umum adalah kos sara hidup akibat kenaikan harga makanan. Jadi, mereka ingin mengetahui apakah inisiatif yang akan diperkenalkan kerajaan untuk memastikan semua rakyat mendapat manfaat," katanya.

Sejurus menghadiri majlis tersebut, Ahmad Husni turut meluangkan masa melawat seorang wartawan sambilan Bernama, Tajul Safuan Abu Hasan yang menghadapi masalah kegagalan jantung di Hospital Pakar KPJ di sini.

Housing Scheme Without Interest For Perakians



Skim Rumah Insan Amanjaya dilancar

August 2, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 1 Ogos - Kerajaan negeri hari ini melancarkan Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) di bawah Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) bagi membantu rakyat Perak yang berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 untuk memiliki kediaman tanpa dikenakan sebarang faedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, skim yang hanya memerlukan pembayaran yuran pendaftaran sebanyak RM200 itu membolehkan rumah bernilai RM52,000 dibayar antara tempoh 10 hingga 20 tahun dengan kadar ansuran serendah RM218 sebulan.

"Pada peringkat awal, kerajaan negeri memberi dana suntikan awal sebanyak RM10 juta seperti diperuntukkan dalam Bajet 2012 yang disasarkan dapat membantu lebih 180 keluarga di Perak tanpa mengaut sebarang keuntungan.

"Justeru, kita harap mereka yang menerima skim ini, mampu melangsaikan hutang supaya kita dapat terus membantu rakyat lain kerana adalah menjadi pegangan kerajaan negeri untuk menyediakan perumahan sebagai satu perkara penting dan asasi," katanya ketika ditemui selepas melancarkan SRIA di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi YBUDR, Datuk Saarani Mohamad; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk R. Ganesan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal.

Pada majlis tersebut, Zambry yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YBUDR turut menyampaikan surat kelulusan dan replika kunci kepada 10 penerima SRIA di negeri ini.

Antara syarat kelayakan bagi memiliki rumah tiga bilik berkeluasan 74 meter persegi itu ialah pemohon hendaklah berusia antara 18 hingga 50 tahun serta hidup berkeluarga, tidak mempunyai kediaman sendiri atau sedang mendiami rumah usang.

Selain itu, pemohon hendaklah mempunyai tanah atau tapak yang bersesuaian selain permohonan tersebut perlu mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua kampung masing-masing.

Bagi jaminan pembayaran pula, ia antara lain memerlukan geran tanah tapak milik sah manakala penjamin merupakan ahli keluarga terdekat pemohon yang mempunyai pekerjaan tetap.

Sementara itu, seorang penerima SRIA, Ramnah Bahari, 49, dari Teluk Nipah, Pangkor berkata, dia bersyukur kerana terpilih menerima skim berkenaan kerana rumah dua bilik miliknya kini tidak cukup untuk menampung keluarganya.

Ramnah yang mengusahakan chalet peninggalan arwah suaminya sejak tujuh tahun lalu, memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan bagi membesarkan anak-anaknya.

"Bukan rumah tak ada, tapi sudah tidak boleh muat semuanya, lagi pun anak-anak sudah besar. Saya ada dua anak yang tinggal di asrama, dua lagi sudah berkahwin dan dua lagi bersama saya," katanya.

Additional Ipoh Land Office Building In Manjoi



Operasi bertambah efisien

July 24, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 23 Julai - Operasi di Pejabat Daerah dan Tanah Ipoh yang telah bermula sejak lima tahun lalu di Manjoi akan bertambah efisien apabila bangunan tambahan yang dibina dengan kos bernilai RM2.8 juta kini sudah siap sepenuhnya.

Pengarah JKR negeri, Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad berkata, projek yang dirancang seawal 2010 dengan pembiayaan kerajaan negeri itu berjaya disiapkan pada 13 Jun lalu.

"Bangunan ini merupakan tambahan kepada blok sedia ada yang telah dilengkapi dengan ruang lobi, pejabat, mesyuarat, bilik fail, tandas, surau dan kafetaria.

"Harapan saya dengan terbinanya bangunan tambahan ini, ia akan dapat memberi ruang yang lebih selesa kepada kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Ipoh dalam menjalankan tugas," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bangunan tambahan tersebut di Gususan Manjoi di sini hari ini.

Majlis yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail itu turut dihadiri Pegawai Daerah Kinta, Datuk Jamry Sury.

Dalam pada itu, Safry Kamal berkata, antara kerja-kerja elektrik dan mekanikal yang terlibat dalam pembinaan bangunan tersebut termasuklah pemasangan sistem pendingin hawa, bekalan eletrik, telefon serta sistem siaraya.

"Selain itu, turut disediakan ialah sebuah rumah sampah, tempat letak kenderaan, laluan berbumbung, sistem pembentungan, pagar keselamatan serta kerja-kerja landskap dan seni taman," katanya.

Terdahulu, Jamry ketika dalam ucapannya berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan sijil kualiti MS ISO 9001:2008.

Beliau berkata, melalui pemerolehan sijil berkenaan, ia akan mempercepatkan urusan pemprosesan geran tanah daripada tiga bulan kepada sehari.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...