Pages


Wednesday, May 30, 2012

Mantera - New Malaysian Science Fiction Movie



Filem Mantera pahat nama Ipoh

May 24, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 23 Mei - Tatkala tumpuan dunia memandang kepada kecanggihan seni visual grafik Hollywood dalam bidang animasi, siapa sangka anak tempatan juga berupaya menghasilkan versi sama dalam mengejar rentak perfileman global.

Meskipun Mantera tidak gah seperti filem Transformers lakonan aktor sensasi Shea Le Bouf, namun penghasilan filem tersebut yang disasarkan kepada golongan muda dan remaja masih boleh dibanggakan.

Apatah lagi, 90 peratus daripada krew penerbitan yang terlibat secara langsung dalam pembikinan filem itu terdiri daripada anak tempatan.

Lebih membanggakan, kesemua proses suntingan turut dilakukan di bandar raya ini termasuk di Pusat Sumber Kreatif dan Inovasi Perak (Pincer).

Mantera yang mempertaruhkan penyanyi Tomok dan Shiqin Kamal sebagai pelakon utama, diadun dalam dua versi iaitu tempatan dan antarabangsa.

Filem bercorak sains fiksyen tersebut turut mendapat sentuhan pascaproduksi oleh editor terkenal Hollywood, Sherwood Jones.

Dibintangi beberapa pelakon antarabangsa seperti Mikhail Dorojkin, Kamaliya (Ratu Cantik Dunia 2008), Saide-Dashuk Nighmatulin dan Wael Al-Masri, filem ini juga mempraktikkan penggunaan teknologi imej janaan komputer (CGI).

Mengambil kira latar tempat berbeza bagi meleraikan plot penceritaannya, maka tidak hairanlah proses penggambaran filem ini dilakukan di tiga lokasi berbeza iaitu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); Moscow, Rusia dan Kuala Lumpur.

Mantera yang dihasilkan bersama oleh Spacetoon Media Hub Malaysia (Spacetoon Malaysia) dan Flare Studios, sebenarnya merupakan singkatan kepada MAN Transformable Exo Robotic Armor iaitu sebuah prototaip sistem persenjataan.

Sementara itu, Pengerusi Spacetoon Malaysia, Fayez Al Sabbagh berkata, filem yang menelan belanja kira-kira RM15 juta itu mendapat sokongan kerajaan negeri menerusi K-Perak dan Perak E-Organization Sdn. Bhd.

Beliau berkata, filem tersebut akan dipasarkan menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani ke beberapa buah negara Arab dan Amerika Latin selain disiarkan di saluran televisyen di Perancis.

"Filem ini merupakan filem sains fiksyen pertama yang menggunakan animasi CGI, diproses dan dibangunkan di sini.

"Apabila kita berunding dengan Universal Studios dan Fox Movies, mereka kagum dan terkejut apabila mengetahui kesemua animasi ini dihasilkan di Ipoh," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Zambry Abd. Kadir yang hadir menyaksikan pratonton filem berkenaan baru-baru ini berkata, Mantera bakal membuka lembaran baru dalam bidang animasi di negeri ini.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadi kayu pengukur kepada anak tempatan untuk menghasilkan filem bergenre sama di peringkat antarabangsa.

"Kita berharap filem ini akan mendapat sambutan serta disusuli dengan beberapa sekuelnya," tambah Zambry yang turut mengatakan Mantera akan ditampilkan dengan beberapa bentuk cenderamata sebagai promosi.

Filem Mantera kini sedang ditayangkan di pawagan seluruh negara..

Teacher's Day Festival 2012

Lebih 50,000 meriahkan festival

May 17, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 16 Mei - Lebih 50,000 pengunjung termasuk warga pendidik memeriahkan Festival Hari Guru 2012 anjuran Kumpulan Utusan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford sejak Sabtu lalu.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sini dalam menghadiri pelbagai acara yang dianjurkan termasuk mini konsert, ceramah agama dan wayang pacak.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran, kerajaan negeri, Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan SMK Clifford sendiri yang banyak memberikan kerjasama dalam menjayakan festival ini.

"Sesungguhnya festival yang kita anjurkan ini adalah sebagai tanda pihak Utusan menyanjung serta menyokong tinggi pengorbanan dan jasa yang telah dicurahkan oleh para guru kepada anak bangsa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sepanjang tempoh lima hari festival tersebut berlangsung, lebih 100 pameran daripada pelbagai syarikat dan agensi kerajaan mengambil bahagian selain penglibatan kira-kira 50 gerai peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di luar khemah utama, dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Selain gerai pameran dan jualan, festival turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot utama watak animasi Upin dan Ipin, persembahan kebudayaan oleh pelajar Sekolah Seni Johor Bahru serta lukisan karikatur bersama pelukis akhbar Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Mohd. Nasir berkata, Kumpulan Utusan akan terus menyokong penganjuran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan yang dijangka disambut di Sabah tahun depan.

Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada para penaja festival tersebut seperti KPerak, MBSB, Celcom, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Pembangunan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Antara syarikat yang turut sama memeriahkan festival kali ini termasuklah Proton, Celcom, Bank Simpanan Nasional (BSN), Sasbadi, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. serta Suruhanjaya Sekuriti.

Institusi pengajian tinggi (IPT) turut tidak ketinggalan menyertai festival tersebut, antaranya ialah University of Nottingham Malaysia Campus, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) dan Kolej Antarabangsa Kirkby Cyberjaya.

Teacher Love Students

'Budayakan Guru Penyayang'

May 16, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 15 Mei - Semua sekolah di negara ini disaran membudayakan program 'Guru Penyayang' bagi menyemai sifat semulajadi dalam kalangan para pendidik selain meningkatkan motivasi para pelajar untuk ke sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud berkata, program yang bermula sejak Mac lalu itu dilaksanakan di kira-kira 70 peratus daripada 10,000 sekolah di seluruh negara.

"Berdasarkan kajian Indeks Persepsi Murid (IPM) yang telah kita jalankan sejak program ini dilancarkan beberapa bulan lalu, kira-kira 50.8 peratus murid menganggap guru mereka sebagai penyayang, 46.6 peratus pula sederhana dan 3.6 peratus lagi kurang penyayang.

"Justeru itu, kita harap program ini dapat dilaksanakan 100 peratus di semua sekolah di negara ini kerana secara psikologinya, apabila murid dibantu dengan motivasi dan kasih sayang, ia akan menggalakkan mereka untuk hadir ke sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program Guru Penyayang peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin, di sini hari ini yang turut dihadiri Pemangku Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Idris Ramli.

Pada majlis tersebut, Abd. Ghafar turut sama mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah pada awal pagi, selain menyampaikan kad hari lahir. Beliau turut menyaksikan pemotongan kek bagi murid dan guru sekolah berkenaan yang jatuh hari kelahiran pada bulan ini.

Program Guru Penyayang yang antara lain bertujuan menginsafi bahawa kehadiran setiap murid merupakan rahmat dan aset kepada sekolah turut menitikberatkan tiga aktiviti utama bagi fasa pertama pelaksanaannya.

Ia termasuk guru mengalu-alukan kehadiran murid, memberi penghargaan kepada mereka serta melaksanakan program 'Mentor Mantee' bagi mendalami aspek kebajikan dan sahsiah murid, sekali gus para pendidik perlu lebih kreatif dalam merapatkan hubungan bersama.

Dalam pada itu, Abd Ghafar berkata, beliau yakin bahawa pendidikan merupakan penawar utama dalam mengatasi masalah gejala sosial kerana sekolah merupakan ejen sosialisasi utama yang berupaya untuk melakukan sebarang perubahan dari peringkat awal.

Justeru itu katanya, persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi menyumbang kepada pembentukan daya pemikiran kritis, kreatif dan inovatif meliputi aspek rohani dan jasmani selaras Falsafah Pendidikan Negara.

"Statistik Kementerian Pelajaran bagi tempoh lima tahun bermula pada 2007 melibatkan kes pergaduhan, ponteng dan kekemasan diri telah menurun daripada 2.07 peratus kepada 2.05 peratus pada tahun lalu.

"Masalah ponteng sekolah merupakan isu utama yang perlu diberi perhatian, namun kementerian telah berjaya mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ingin dicapai," katanya.

Proposed New LCCT in Northern Perak

Perak tetap mahu buka LCCT

May 15, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 14 Mei - Kerajaan negeri akan meneruskan rundingan bersama kerajaan Pusat bagi merealisasikan hasrat membuka sebuah terminal penerbangan tambang murah (LCCT) di utara Perak walaupun terdapat kebimbangan ia bakal menjejaskan lapangan terbang sedia ada di Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, LCCT yang akan dikenali sebagai Terminal Udara Utara Malaysia (UMAT) itu wajar dilihat dalam konteks kerjasama yang bakal memberi manfaat terutamanya di negeri-negeri utara Semenanjung.

“Saya tidak mengatakan idea ini akan diberhentikan, sebaliknya memerlukan perbincangan lanjut dan berharap perkongsian pintar antara kerajaan negeri dengan swasta ini akan diletakkan di bawah ‘blueprint’ Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Kita juga sedang bekerjasama dengan Sime Darby kerana mereka memiliki kawasan tanah yang luas di sana, tetapi saya tidak boleh beritahu di mana tempatnya pada masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Selamat Pagi Perak anjuran Perak FM bertajuk Pelaburan Perak: Cabaran dan Prospek di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, pembukaan lapangan tersebut yang dicadang oleh AirAsia untuk menjadi LCCT serantau, bakal menggalakkan aliran transit dan pergerakan manusia di Asia Tenggara apabila model sama akan dibuka di Filipina dan Vietnam.

Tambah beliau, projek pelaburan yang akan menelan belanja jutaan ringgit itu juga bakal dilengkapi dengan pembangunan sebuah bandar baru termasuk industri berkaitan terutamanya pelancongan.

“Apabila kita bercadang untuk membuka LCCT ini, kita juga sebenarnya mengambil kira lapangan terbang berhampiran (di Pulau Pinang) yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan.

“Lapangan Terbang Pulau Pinang merupakan lapangan antarabangsa dan ia tidak akan diganggu tetapi cadangan yang kita kemukakan ini agak berbeza kerana ia menggalakkan pertumbuhan di peringkat bandar," katanya.

SPNB Housing Project

Bina rumah rakyat berkelompok

May 12, Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 11 Mei - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan melancarkan pembinaan program perumahan mesra rakyat berkonsep pembangunan berkelompok di empat kawasan di sekitar negeri ini tidak lama lagi.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, projek perumahan yang disasarkan kepada golongan sederhana itu akan melibatkan kawasan Manjoi, Kampung Balun, Slim River; Teluk Senangin, Lumut dan Mayang, Kuala Kangsar.

"Hari ini (Jumaat), kita mengadakan perjumpaan dengan penduduk di Manjoi untuk penempatan berkelompok di situ. Selain itu, kita juga berbincang dengan pihak pejabat tanah di Slim River dalam daerah Batang Padang.

"Malah, kita juga akan melancarkan penempatan berkelompok di Mayang Kuala Kangsar melibatkan kira-kira 40 ke 50 buah rumah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Projek Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Changkat Larang, di sini semalam.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai perkembangan RMR1M, Kamarul Rashdan berkata, pihaknya sedang membina 400 buah rumah termasuk tambahan sebanyak 3,076 unit di seluruh negara termasuk di Perak.

Beliau berkata, ketika ini, SPNB mempunyai 15 reka bentuk baru RMR1M yang dikeluarkan oleh pembekal kaedah Sistem Binaan Industri (IBS) di mana majoriti prototaipnya telah didirikan di Melaka termasuk masing-masing sebuah di Selangor dan Kedah.

"Untuk pembekalan sistem IBS ini, kita akan memperuntukkan lima ke enam jenis reka bentuk bagi setiap zon. Di Perak misalnya, ia terletak di zon Barat bersama Selangor dan Pulau Pinang.

"Oleh itu, pemohon RMR1M boleh memilih reka bentuk yang digemari, namun ketetapan itu juga bergantung kepada pembekalan bahan binaan," katanya.

Monday, May 14, 2012

Jelajah Malaysia 2012 Cycling Competition



Fukushima buktikan kehebatan

May 9th, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KAMPAR - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Shinichi Fukushima menguasai perlumbaan pembuka tirai berbasikal Jelajah 1Malaysia 2012 dari Stadium Merdeka Kuala Lumpur ke Bandar Baru Kampar, semalam.

Pelumba dari Nagano, Jepun itu mencatat masa 3 jam, 50 minit 58 saat untuk menjadi pelumba pertama tiba di garisan penamat.

Dia meninggalkan pencabar terdekat Michael Torckler dari Pure Black Racing (PBR) dan Hari Fitrianto dari Polygon Sweet Nice (PSN).

Biarpun mengharungi perlumbaan dalam cuaca terik, pelumba veteran berusia 40 tahun itu berjaya melakukan henjutan terakhir dengan menamatkan cabaran sejauh 161.5 kilometer.

"Sepanjang laluan ada beberapa pelumba mula keletihan dan semakin ketinggalan termasuk rakan sepasukan saya Mohd. Harrif Salleh.

"Jadi saya tahu perlumbaan peringkat ini sungguh mencabar, apa yang saya mampu buat ialah kuatkan semangat dan kekalkan kedudukan.

"Saya melihat ada pelumba melakukan breakaway pada 20 kilometer pertama. Jadi saya pun cuba mengejar kelompok tersebut dan mengekalkan kedudukan," katanya yang secara automatik turut menyarung Jersi Kuning sebagai pendahulu keseluruhan.

Sementara itu, dua pelumba negara, Muhamad Adiq Husainie Othman dan Muhammad Zulhilmie Afifi Ahmad Zamri masing-masing pada tempat ke-15, kesembilan dan ke-12.

Meskipun mereka ketinggalan di kelompok kedua dengan perbezaan 48 saat di belakang lima pelumba dalam kelompok pertama, Muhamad Adiq yang berkayuh untuk pasukan Bawah 23 Malaysia berjaya menyarung Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik negara.

Muhamad Adiq turut dinobatkan sebagai pendahulu Raja Pecut, menyarung Jersi Hijau melalui kutipan 20 mata, mengatasi Fukushima dan Kazuhiro Mori dari pasukan Aisan Racing yang masing-masing mengumpul 15 mata.

Peringkat kedua hari ini bermula dari Bandar Baru Kampar, ke Kulim, Kedah sejauh 201.8 kilometer.

Ia merupakan laluan terpanjang melibatkan tiga zon pecutan (Tasek-KM33.6, Kati-KM77.1 dan Selama-KM167.2) serta satu zon pendakian KOM1 (Bukit Sumpitan-KM130.6).

Oppss... Politics Again! BN vs PKR

Boon Chye bersikap kasar

April 26, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 25 April - Seorang ahli Persatuan Penduduk Muhibbah Pasir Pinji (PPMPP) kesal dengan Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye yang didakwa bersikap kasar dan menimbulkan kekecohan pada satu majlis jamuan dan upacara sembahyang malam kelmarin.

Loh Kok Beng, 48, mendakwa kekecohan timbul apabila Boon Chye bersama sekumpulan lelaki meminta pembesar suara di majlis itu diperlahankan kerana kononnya mengganggu majlis pelancaran kempen Bersih 3.0 yang diadakan berhampiran kawasan tersebut.

Menurutnya, majlis yang dianjurkan sebagai salah satu aktiviti tahunan PPMPP itu dikepung kira-kira 50 orang yang memakai baju Bersih 3.0, Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) dan Pas kira-kira pukul 10.30 malam.

"Mereka berkelakuan seperti kumpulan samseng dan Boon Chye dengan nada keras mengarahkan saya memperlahankan pembesar suara tetapi saya menjawab orang yang mengendalikan pembesar muzik telah keluar.

"Saya juga merayu kepadanya supaya mereka tidak mengganggu majlis kami tetapi Boon Chye dengan tidak sopan terus memarahi saya sedangkan ini sebahagian daripada majlis keagamaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, kira-kira 500 ahli PPMPP termasuk keluarga serta penduduk sekitarnya berkumpul di Padang Desa Pakatan, di sini pada pukul 9 malam sambil dihiburkan dengan iringan persembahan nyanyian, tarian singa, naga dan bunga api.

Pada masa sama, majlis pelancaran Bersih 3.0 peringkat Parlimen Gopeng yang dihadiri beberapa pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diadakan kira-kira 100 meter dari situ.

Kok Beng mendakwa, Boon Chye juga bertindak lebih agresif dengan membuka khemah majlis walaupun tanpa kebenaran penganjur.

Namun katanya, tindakan pantas pihak polis yang sampai tepat pada masanya menyebabkan kumpulan itu beredar.

"Walaupun sudah meninggalkan majlis mereka masih memaki, mengugut serta menjerit perkataan-perkataan kesat terhadap saya dan orang ramai. Ada juga yang membaling batu ke arah kereta penyanyi undangan kami," katanya.

Wednesday, May 2, 2012

Increasing Public University Funding Through Private Investment


Tiga IPTA tubuh IPTS

1st May, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh Khairul Abidin Nuar
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 30 April - Tiga universiti awam di negara ini bakal menubuhkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) masing-masing untuk menjana pendapatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kerajaan.

Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menubuhkan IPTS bertaraf universiti manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mempunyai sebuah kolej swasta.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung berkata, ketiga-tiga universiti itu sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan dan penubuhan IPTS terbabit akan dilakukan dengan beberapa universiti luar negara.

"Terdapat 25 universiti luar negara telah menunjukkan minat untuk menubuhkan kampus cawangan di sini dan ia termasuk IPTS jenis baru yang bakal ditubuhkan oleh IPTA kita sendiri.

"Penubuhan IPTS jenis baru ini tidak akan menjejaskan institusi pendidikan swasta sedia ada, malah ia akan memberi lebih manfaat dalam menyumbang kepada persaingan sihat kepada pertumbuhan IPTS yang semakin memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama IPTS Zon Utara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kok Chung berkata, penubuhan IPTS jenis baru itu akan didaftarkan di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), sama seperti institusi pendidikan swasta lain tetapi tertakluk kepada beberapa syarat khas.

Beliau berkata, antara syarat khas yang ditetapkan ialah IPTA yang berminat perlu menubuhkan sebuah anak syarikat khusus untuk menjalankan operasi perkhidmatan pendidikan.

Tambah beliau, pembiayaan pengurusan IPTS yang ditubuhkan itu tidak boleh menggunakan sebarang geran mengurus tahunan, peruntukan pembangunan IPTA, geran penyelidikan atau apa jua sumber daripada kerajaan.

"Pengurusan IPTS tersebut hendaklah terpisah secara total dengan pengurusan IPTA selain beroperasi di luar kampus serta tidak menggunakan sebarang kemudahan milik IPTA berkenaan.

"Walaupun begitu, mereka masih boleh menggunakan model pengurusan sama seperti IPTA tetapi pengurusan IPTS yang dibentuk perlu diasingkan daripada pengurusan syarikat dengan melantik kakitangan dan pengurusannya sendiri," katanya.

Bagi tujuan pemantauan pula, beliau berkata, IPTS yang ditubuhkan itu perlu mengemukakan laporan tahunan kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) IPTA berkenaan.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...