Pages


Friday, March 23, 2012

Indonesian Maids Make The Headline

Amah: Tidak Munasabah

March 18, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 17 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kenyataan seorang pegawai buruh Indonesia mengenai konsep satu amah, satu kerja dengan gaji minimum RM700 sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, Malaysia tidak akan berganjak daripada ketetapan yang sudah dipersetujui dengan Indonesia berhubung penghantaran semula amah dari republik itu ke negara ini yang dijadualkan bermula bulan depan.

Menurut beliau, Indonesia seharusnya kembali kepada persefahaman yang sudah dicapai antara beliau dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebelum ini.

"Pada masa itu, semua syaratnya telah dibincangkan dan kedua-dua menteri juga berpuas hati dengan persefahaman yang dicapai.

"Tidak ada apa-apa pun yang dibangkitkan ketika itu. Jadi saya pun rasa hairan kenapa pada saat ini, setelah ditandatangani persefahaman tersebut, dia (Indonesia) bangkit macam-macam perkara," katanya selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Wan Hwa II di sini hari ini.

Najib kemudian menghadiri majlis Mesra Bersama Rakyat di Kampung Kacang Putih, Buntung di sini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman mengenai ketetapan supaya amah dari Indonesia melakukan hanya satu tugas khusus di rumah majikan dengan gaji minimum RM700.

Dengan ketetapan itu, Reyna berkata, seandainya seorang amah diupah untuk mengasuh bayi, tugasnya hanya mengasuh bayi dan tidak akan melakukan kerja-kerja rumah yang lain.

Reyna turut memberitahu, majikan yang memerlukan khidmat amah pada hari cuti rehat juga diwajibkan membayar gaji lebih masa sebanyak RM27 sehari atau RM108 sebulan jika bekerja tanpa cuti.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mencari jalan penyelesaian melalui saluran diplomatik bagi menangani segala perkara berbangkit berhubung isu tersebut.

"Kita akan cari jalan penyelesaian tetapi saya terkejut selepas dua pemimpin tertinggi sudah bersetuju, perkara ini boleh berlaku," katanya.

Indonesia pada 26 Jun 2009 membuat keputusan membekukan sementara penghantaran pembantu rumah selepas beberapa kes penderaan dan penganiayaan ke atas amah negara itu terjadi di Malaysia.

Bagaimanapun, pembekuan itu ditarik balik selepas Najib dan Susilo mencapai kata sepakat berhubung perkara itu ketika pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat dan Bali pada Oktober dan November tahun lalu.

Lower Tuition Fees at Quest International University Perak

QUIP turunkan yuran pengajian

March 14, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 13 Mac - Quest International University Perak (QUIP) mengurangkan yuran pengajiannya sehingga 50 peratus mulai tahun ini, sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan negeri menjadikan Perak sebagai hab pendidikan di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu akan memudahkan rakyat mendapat akses pendidikan di peringkat pengajian tinggi pada kadar yuran yang berpatutan khususnya bagi Ijazah Sarjana Muda.

"QUIP mempunyai kurikulum yang bermutu kerana mereka memfokuskan sasaran mencapai taraf universiti penyelidikan. Mereka juga sedang membuat beberapa cadangan kursus baru termasuk program perubatan dan sains sosial.

"Sehubungan itu, kita mengharapkan lebih ramai pelajar dapat belajar di universiti berkenaan yang turut mendapat sokongan daripada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama pelanggan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Pada program itu, lebih 150 rakyat Perak terdiri daripada pelbagai kaum hadir bertemu Zambry bagi memohon penyelesaian terhadap permasalahan mereka dalam sesi yang berlangsung lebih empat jam.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis QUIP, Kuna Senathirajah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengurangkan yuran pengajian untuk program Pengajian Perniagaan dan Sains Komputer untuk tahun pengajian ketiga dari RM36,000 kepada RM19,000.

Beliau berkata, para pelajar yang mendaftar untuk kemasukan pada April ini juga akan mendapat sebuah komputer riba percuma sebagai satu bentuk insentif tambahan.

"Bagi Kursus Pengajian Asas dalam Sains dan Perniagaan yang mengambil masa 13 bulan pula, yuran pengajian juga masing-masing telah diturunkan daripada RM3,500 kepada hanya RM2,500," katanya.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pelajar yang berminat untuk mendaftar, boleh menghubungi talian hotline universiti berkenaan di 1-800-88-7487.

Proposed Tilapia Park in Hulu Perak

Buka Tilapia Park di Hulu Perak

March 13, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 12 Mac - Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) bercadang membuka taman perusahaan ikan tilapia dikenali sebagai Tilapia Park di Hulu Perak dalam usaha merancakkan industri ternakan haiwan itu secara besar-besaran.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, cadangan membuka tapak perusahaan haiwan itu sedang diperincikan bersama sebuah syarikat rakan kongsi dari Norway.

Beliau yang juga Pengerusi PPPNP berkata, jika dibuka kelak, Tilapia Park turut menjalankan pelbagai aktiviti hiliran memproses ikan tilapia.

''Ia termasuk aktiviti seperti pelaksanaan perusahaan kilang pemprosesan dan pembungkusan tilapia yang akan diperincikan bersama rakan kongsi dari Norway.

''Selain itu, PPPNP juga bercadang untuk melaksanakan projek 'Set-Net' iaitu pemasangan jaring dan sangkar ikan di laut melibatkan keluasan dua hingga lima hektar bagi tujuan eko-pelancongan serta rekreasi perikanan laut di Pulau Pangkor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PPPNP yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, A. Rizal Abd Rahman.

Pada majlis itu, Zambry turut meraikan 151 kakitangan PPPNP yang bakal menunaikan umrah dalam masa terdekat berikutan peningkatan keuntungan PPPNP yang melonjak sebanyak RM16,509 berbanding tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry memberitahu, PPPNP bakal mengambil alih sebuah syarikat pengeluaran produk kesihatan berasaskan pertanian dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatannya.

Bagaimanapun kata beliau, usaha itu masih di peringkat cadangan dan ia bakal diumumkan apabila tiba masanya.

''Kita masih mengkaji beberapa syarikat dan ia bergantung kepada timbang tara yang dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan muktamad," jelas beliau.

Mengenai prestasi PPPNP, beliau memberitahu, pihaknya mengunjurkan kenaikan keuntungan bersih sebanyak lima peratus iaitu sekitar RM80 juta berbanding RM75.14 juta yang dicatatkan pada tahun lalu," katanya.

Robust Financial Control

Kewangan kukuh - Husni

March 12, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 11 Mac - Kerajaan mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh untuk membiayai sepenuhnya kos pelarasan gaji kira-kira 1.4 juta penjawat awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan juga menyasarkan unjuran pendapatan kewangan lebih tinggi pada tahun ini termasuk melalui agensi-agensi kutipan cukai.

Andaian secara konservatif itu katanya, dilakukan dengan mengambil kira keupayaan dan keberkesanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam meningkatkan kutipan hasil.

"Pembiayaan penyelarasan gaji tersebut akan dilakukan seperti biasa di bawah perbelanjaan mengurus. Namun, kita berpegang pada prinsip bahawa apabila ia ditolak dengan hasil, ia mestilah positif iaitu ada surplus (lebihan).

"Jadi, dengan peningkatan hasil yang dijangka dalam LHDN dan juga pihak Kastam, kita boleh mencapai positif setelah ditolak dengan perbelanjaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian peruntukan membina lapan unit rumah kedai di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 di Gugusan Manjoi di sini hari ini.

Hadir sama ADUN Manjoi, Datuk Nadzri Ismail dan Ketua Kampung berkenaan, Hassanudin Jiran.

Beliau diminta mengulas mengenai peruntukan lebih RM6 bilion bagi membiayai kos pelarasan gaji penjawat awam antara tujuh hingga 13 peratus seperti yang diumumkan kerajaan.

Peruntukan tambahan itu termasuk membayar Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) yang turut dinaikkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Sementara itu, Ahmad Husni memberitahu, kerajaan sedia melanjutkan tempoh permohonan dan rayuan bagi mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dijadualkan tamat 15 Mac ini.

Beliau menjelaskan, peluang orang ramai untuk membuat rayuan masih terbuka kerana dasar kerajaan mementingkan setiap individu yang layak, dan berhak untuk memperolehnya.

"Kita sedang mendapatkan maklumat tentang bayaran BR1M terutamanya di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak melalui kerjasama pegawai LHDN, pegawai daerah dan pemimpin masyarakat dan ia masih belum selesai," katanya.

Menurutnya, sebanyak 99 peratus daripada rayuan orang ramai telah diluluskan, namun ada yang ditolak kerana memohon dua kali, menggunakan nama orang lain selain masalah teknikal seperti pengisian borang yang tidak betul.

Pekan - Pekan Kecil di Perak

Pembangunan semula dipercepat

March 4, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 5 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mahu supaya pelan pembangunan semula 14 pekan kecil di Perak dipercepatkan supaya kesannya boleh dinikmati oleh penduduk di kawasan terbabit dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.

Menurut beliau, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah diminta menjalankan kajian terperinci berhubung pelan pembangunan di kawasan berkenaan supaya sebarang program yang akan dilaksanakan kelak mampu memenuhi keperluan penduduk setempat.

"Kita tidak mahu kajian ini hanya tinggal kajian sahaja. Justeru itu, pasukan khas bagi memantau perkembangan ini melibatkan pegawai daerah dan Yang Dipertua (pihak berkuasa tempatan) sudah ditubuhkan dan saya sendiri mempengerusikan mesyuaratnya setiap bulan.

"Selain itu, kita juga mahu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyediakan pelan perancangan di kawasan utara melibatkan Parit Buntar, Bagan Serai, Gerik, Lenggong dan sebahagian kawasan Kuala Kangsar bagi membantu pertumbuhan pekan kecil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah dalam program Selamat Pagi Perak yang disiarkan secara langsung di Perak FM di sini hari ini.

Zambry berkata, pembangunan semula 14 pekan kecil terbabit bertujuan mengimbangi pembangunan serta agihan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

Sebanyak 14 pekan kecil yang dikenal pasti ialah Tapah, Lawin, Gugusan Majoi, Changkat Lada, Ijok, Bandariang, Changkat Tin, Trong, Lekir, Batu Kurau, Sauk, Kati, Pengkalan Pegoh dan Kubu Gajah.

Beliau menjelaskan, pembangunan semula yang dirangka di bawah pelan Perak Amanjaya itu akan memberi penekanan terhadap potensi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

"Kita juga ada menerima cadangan untuk membangunkan sekali Tanjung Rambutan. Namun, apa yang penting di sini adalah kita mewujudkan semula permintaan dari segi ekonomi terutamanya melibatkan pekan-pekan 'mati'.

"Dahulunya, pekan-pekan ini menjadi laluan utama, namun selepas lebuh raya dibuka, kawasan ini kelihatan seperti tertinggal dan terbiar selain terdapat banyak bangunan yang usang," katanya.

Jangan Main Campak

Denda RM250 jika 'lontar' sampah

March 2, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 1 Mac - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengenakan kompaun maksimum RM250 kepada mana-mana penghuni kawasan rumah pangsa Kinta Height di sini yang didapati membuang sampah dari tingkat atas berikutan masalah berkenaan telah berlarutan lebih lima tahun lalu.

Ahli Majlis MBI, Choo Kean Sen berkata, mereka yang terlibat juga boleh disenarai hitam daripada menjadi penyewa harta MBI kerana tindakan segelintir individu tidak bertanggungjawab itu menjejaskan tahap kebersihan di kawasan berkenaan yang terletak di pusat bandar.

"Kita melakukan perkara ini bukan untuk mendenda kira-kira 1,500 penghuni di sini, tetapi sebenarnya bertujuan memberi pendidikan kepada mereka supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan.

"Sikap suka membuang sampah dari tingkap atas, termasuk di koridor waktu malam adalah sangat teruk.

"Mereka hanya membayar sewa RM130 sebulan dan tiada bayaran kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kinta Height, Zulkifli Ismail.

Dalam perkembangan berkaitan, Kean Sen berkata, MBI akan menggantikan tangki air lama di bangunan rumah pangsa setinggi 19 tingkat itu yang bocor dan berusia hampir 30 tahun melibatkan kos sebanyak RM66,320.

Beliau berkata, projek itu yang akan dimulakan pertengahan bulan ini, dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

"MBI juga akan memasang semula sistem pencegahan kebakaran membabitkan kos RM99,540 bagi menggantikan sistem sedia ada yang tidak berfungsi disebabkan sebahagian besar peralatannya telah rosak dan hilang.

"Tindakan ini dibuat demi keselamatan penduduk selain menjadikan kawasan ini sebagai satu tempat yang selesa untuk didiami," tambahnya.

Saturday, March 3, 2012

Royal Belum World Drum Festival 2012




Cetusan Seni Festival Dram Dunia Royal Belum 2012

Feb. 28, 2012 - Utusan Malaysia

KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH - Mengekspresi seni budaya melalui pukulan dram memerlukan pemerincian yang cukup teliti. Bukan sekadar berhibur, namun galasan tanggungjawab mengangkat identiti sesebuah bangsa dan negara itu juga turut harus diambil kira.

Biarpun rata-rata persembahan dram lazimnya tidak disertai dengan dendangan lagu, namun alunan getarannya sudah cukup untuk membangkitkan serta memeriahkan suasana.

Nota muzik dan mesej yang ingin disampaikan melalui sesuatu persembahan mungkin tidak difahami sepenuhnya, namun ia bukan penghalang kepada seluruh masyarakat dunia untuk menghayatinya.

Bertepatan itu, Festival Dram Dunia Royal Belum 2012 yang buat julung kalinya dianjurkan di Perak, menjadi intipati istimewa dalam menarik kunjungan pelancong tempatan dan luar negara untuk mendampingi seni di negeri ini.

Dianjurkan sempena Tahun Melawat Perak 2012, majlis perasmian yang berlangsung penuh warna-warni di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir baru-baru ini.

Majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung itu turut dihadiri isteri Zambry, Datin Seri Saripah Zulkilfli serta Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Walaupun hujan turun membasahi dataran terbuka itu seawal pembukaan tirai majlis, namun ia tidak sama sekali merencat orang ramai untuk menyaksikan persembahan tersebut biarpun terpaksa berpayung dan berteduh di bawah beberapa khemah yang disediakan.

Kumpulan tari daripada Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Perak dan MBI yang memecah keheningan bandar raya Ipoh dengan memulakan persembahan pembukaan, ibarat mengalu-alukan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Keterujaan sebenar menyaksikan persembahan seni budaya itu semakin terserlah apabila orang ramai bersorak sebaik sahaja Wadaiko Syo, satu-satunya kumpulan dram Jepun di Asia Tenggara, meneruskan rentak persembahan.

Nama 'Wadaiko' yang membawa maksud dram Jepun digabung jalin bersama 'Syo' yang dimengertikan sebagai melonjak ke langit sekali gus memanifestasi getaran muzik asli negara matahari terbit itu biarpun nadanya agak mendatar.

Seterusnya, tujuh anak muda dari Thailand yang menggelar diri sebagai 'Absolute Thai', berjaya membangkitkan mood penonton dengan tempo muzikyang agak rancak.

Persembahan yang dikemudi oleh pensyarah dari Universiti Nakhon Pathom Rajabhat, Pairat Damrouddkittaworn bersama pelajar jurusan muziknya itu berjaya mencuit perhatian penonton apabila salah seorang daripada mereka menunjukkan kemahiran memainkan pelbagai ritma pukulan dram.

Sepuluh pemuzik yang mewakili kumpulan U Ri So Ri dari Korea pula terus mempersona penonton dengan lemah-gemalai mereka melentuk alunan 10 alat muzik berbeza walaupun hanya duduk bersila.

Selepas itu, persembahan ala samba terus menerobos ke pentas utama apabila kumpulan Capoeira Camara dari Brazil mempamerkan irama tipikal muzikal latin tradisional.

Ditubuhkan pada tahun 2005, kumpulan yang kini mempunyai akademi sendiri di Brazil dan Kanada telah menyertai pelbagai persembahan di peringkat antarabangsa termasuk di Jepun, Bermuda dan Switzerland.

Namun, apa yang menariknya, alat muzik yang digunakan persis kail pancing ikan tersebut membunyikan petikan seolah-olah gitar sambil disertai persembahan berupa seni mempertahan diri.

Giliran tuan rumah Malaysia meneruskan kesinambungan festival makin menghangatkan suasana apabila kumpulan White Percussion Unit bijak mengadunkan alunan muzik tempatan bersama campuran Timur Tengah dan Barat.

Persembahan cukup bertenaga 12 ahli kumpulan tersebut yang ditubuhkan sejak tahun 2007, turut merencanakan penyampaian lagu rakyat versi moden, diganding bersama kemantapan bunyi dram, gitar serta pelbagai jenis gendang.

Mesej yang dibawa oleh kumpulan anak tempatan ini juga cukup mudah - selain berhibur, mereka turut menyeru pengunjung yang hadir supaya mencintai keamanan selain hidup dalam keadaan harmoni.

Persembahan dari Malaysia sekali lagi mendapat sorakan ramai apabila kumpulan Dhol Federation yang mengetengahkan muzik popular Bhangra, berjaya menonjolkan keaslian identiti dan kebudayaan masyarakat Punjabi.

Kemeriahan malam festival diteruskan lagi dengan kemunculan kumpulan Saratuspersen dari Bandung, Indonesia yang menunjangkan kolaborasi eleman muzik moden dan tradisi sebagai konsep utama.

Menggabungkan kekuatan multietnik menerusi gabungan pelbagai genre muzik dari pelbagai daerah di Indonesia, persembahan anak jati negara seberang itu berjaya menunjukkan keaslian tradisi bangsa.

Apatah lagi, alatan muzik Bali seperti kantil yang diguna pakai bersama dram, bass, trumpet, seksofon serta violin, menyerlahkan lagi keharmonian muzik dunia.

Persembahan bertaraf antarabangsa pula kemudiannya ditonjolkan oleh kumpulan Rhythm Masala dari Singapura yang mendendangkan alunan muzik cukup bersahaja.

Mungkin pengalaman beraksi di beberapa buah negara termasuk di Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) banyak membantu, lebih-lebih lagi apabila kumpulan tersebut kini memegang rekod dunia Guiness World of Record apabila menyertai persembahan dram selama 50 jam tanpa henti di Durban, Afrika Selatan pada 2004.

Biarpun begitu, kumpulan persembahan anak jati dari Ipoh yang menyusul selepas itu gagal menyegat meskipun 15 anak muda berganding tenaga menyampaikan muzik tradisi dan lagu rakyat.

Kumpulan Bonita yang kemudiannya tampil menurunkan gadis-gadis jelita menerusi persembahan seni tari dan muzikal bagaimanapun berjaya menghidupkan kembali suasana apabila mencerminkan ciri-ciri budaya Vietnam.

Persembahan oleh Malwa Sabhyacharak Club selepas itu pula sememangnya penuh dengan warna-warni yang menggambarkan keunikan budaya masyarakat di India.

Biarpun begitu, kemunculan kumpulan anak muda mewakili Kuala Lumpur Drumline Corps dari Malaysia pula agak menghampakan kerana gagal mempamerkan citrawarna negara ini.

Sekadar berbaju kemeja merah dan bertali hitam serta mengibarkan bendera Malaysia, tidak sama sekali menunjukkan ciri-ciri tradisi negara yang ampuh.

Bahkan pemilihan lagu umpama rentak tekno serta disulami berbahasa Inggeris bagai mempamerkan asimilasi budaya yang tidak berkehujungan.

Kemuncak persembahan yang dinanti-nantikan menerusi persembahan Natiq Rhythm Group dari Republik Azerbajaian pula, bagaimanapun agak mengecewakan apabila berlaku masalah sistem audio yang gagal menghasilkan paduan bunyi mengasyikkan.

Alunan muzik yang diketuai Natiq Sirinov agak tenggelam dalam menghasilkan nada harmoni alunan muzik klasik Azerbaijan yang diadun bersama seni jazz kontemporari muzik Timur dan Barat.

Walaupun apa pun masalah teknikal yang berlaku, kesungguhan Perak dalam menganjurkan festival dram bertaraf antarabangsa buat pertama kalinya wajar dipuji kerana perjalanan majlis berjalan begitu lancar sekali.

Flood in Ipoh



200 penduduk terjejas

Feb. 21, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 20 Feb. - Hampir 200 penduduk melibatkan 71 keluarga di kawasan Gugusan Manjoi dan Buntong di sini terjejas oleh banjir kilat akibat hutan lebat sejak malam tadi sehingga awal pagi ini.

Selain Kampung Manjoi, Kampung Tengku Hussein dan Kampung Datuk Ahmad Said, banjir yang dipercayai berpunca akibat limpahan Sungai Pari dan Sungai Tapah itu turut melanda sekitar Taman Lim, Taman Muhibbah dan Pekan Lama Batu Gajah.

Berikutan rempuhan arus deras, sebuah jambatan yang menghubungkan Kampung Datuk Ahmad Said dan Taman Wing Onn runtuh selain beberapa sekolah terpaksa ditutup pagi ini.

Banjir kilat yang mencecah paras hampir satu meter itu turut melanda kawasan sekitar Pusat Jagaan Anak-anak Yatim dan Miskin Nurul Iman di Kampung Manjoi di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam negeri, Mejar Mohd. Bukhori Mat Sidek berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk pada pukul 5.30 pagi ini sebelum anggotanya dikejarkan ke kawasan tersebut untuk kerja-kerja menyelamat.

"Kesemua mangsa yang terjejas dipindah dan ditempatkan di Kompleks Serbaguna Kampung Manjoi dan Dewan Kia di Buntong.

"Seramai 50 anggota dikejarkan ke kawasan tersebut termasuk dua bot penyelamat, sebuah ambulans dan dua lori," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada, itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang melawat tempat kejadian mengarahkan Majlis Keselamatan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak mewujudkan pasukan kecemasan bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi segera.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menimbangkan bantuan segera kepada semua mangsa banjir selain mengarahkan Jabatan Pelajaran Perak untuk meneliti kewajaran menutup beberapa sekolah.

"Dalam hal ini, kami memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak perlu mencari salah siapa. Kita semuanya terjejas dan sehubungan itu penyelesaian harus diambil segera," katanya.

Tambah beliau, ibu bapa juga dinasihatkan menjaga anak masing-masing supaya tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Tinjauan Utusan Malaysia ke tempat kejadian mendapati beberapa pekerja MBI menggunakan jengkaut bagi mengeluarkan sampah-sarap yang terbenam di dasar Sungai Pari.

Paras banjir mulai surut pada tengah hari ini berikutan keadaan cuaca semakin baik.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail yang turut meninjau kejadian tersebut berkata, berdasarkan laporan Jabatan Metereologi, kawasan berkenaan diklasifikasi sebagai jingga iaitu berkemungkinan untuk dilanda banjir semula.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Chong Phaik Yee yang ditemui di Kompleks Serbaguna Kampung Manjoi pula berkata, daripada 152 mangsa dari Kampung Manjoi, hanya 48 orang telah dipindahkan melibatkan sembilan keluarga sehingga pukul 1.15 petang ini.

Beliau berkata, bagi kawasan Buntong pula, seramai 60 orang terjejas akibat banjir kilat tersebut melibatkan 46 keluarga.

"Selain memberi bantuan tuala, makanan dan kit bencana, Skuad Sayang Wanita UMNO turut tampil membantu menyediakan makanan kepada mangsa banjir berkenaan," katanya.

Cyber Crime Is Around You

Internet dominasi jenayah siber

Feb. 17, 2012 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 16 Feb. - Jenayah penipuan internet mencatatkan jumlah aduan tertinggi melibatkan insiden keselamatan siber yang dilaporkan di negara ini awal tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Prof. Datuk Husin Jazri berkata, daripada 954 aduan yang diterima oleh Pusat Bantuan Cyber999 Januari lepas, 492 daripadanya adalah berbentuk penipuan.

"Angka ini melibatkan kegiatan memancing maklumat pengguna Internet atau phising (346), penipuan Nigeria (45), penipuan pekerjaan (38), penipuan dalam talian (28), laman web palsu (19), penipuan pembelian (10), penyamaran (empat) dan penipuan loteri (dua).

"Selain penipuan, kita juga menerima aduan berupa gangguan siber melibatkan buli (21), intipan (tiga) serta kenyataan berbentuk seksual dan perkauman yang masing-masing terdiri daripada satu kes," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Internet Lebih Selamat kali ketiga yang julung kalinya diadakan di luar Lembah Klang di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KPerak Implementation and Coordination Corporation, Prof. Madya Dr. Ahmad Kamil Mahmood.

Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan jenayah siber yang semakin bertambah adalah didorong oleh perluasan capaian internet pada masa kini.

Sehubungan itu, katanya, pendidikan dan kesedaran terhadap penggunaan ICT perlu diterapkan terutamanya buat generasi muda supaya mereka mampu terhindar daripada ditipu di alam siber.

"Kalau 10 tahun dahulu, ancaman virus sering menjadi masalah kepada pengguna siber, namun kini, ia telah berubah.

"Perbuatan manusia sendiri yang memanipulasikan elemen tamak, tidak ambil endah, perasaan takut serta percaya seseorang itu terhadap sesuatu yang diterimanya di internet," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Mohamad Zahir berkata, kadar penembusan jalur lebar di negeri Perak dijangka mencecah 60 berbanding 52 peratus ketika ini.

Justeru itu, beliau mengalu-alukan inisiatif sambutan tersebut yang selari dengan wawasan kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai sebuah bandar raya digital berlandaskan konsep Securing Digital City.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...