Pages


Monday, October 31, 2011

Generasi Penerus Kraftangan Tempatan

Mengangkat legasi kraftangan negara

October 25, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

KUALA KANGSAR 24 Okt. - Tatkala hasil kraftangan tempatan menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa ekoran nilai estetika yang tersendiri, masih ada pihak yang lebih cenderung mengagung-agungkan produk dari luar negara.

Keunikan hasil kraftangan anak tempatan yang ternyata halus buatannya wajar dikagumi apatah lagi kepelbagaiannya melangkau pelbagai sempadan negeri.

Di Perak misalnya, nama labu Sayong cukup sinonim dengan kegiatan perusahaan seni tembikar tradisional sejak zaman-berzaman.

Diperbuat daripada tanah liat yang diuli, ia kemudiannya diterap dengan pelbagai corak sebelum diasap serta dibakar bagi menghasilkan bentuk yang cukup unik.

Pada kelazimannya, labu Sayong yang berwarna hitam mudah didapati di bandar ini dan biasanya ia dijadikan sebagai bekas untuk menyimpan air minuman.

Corak permukaannya yang menggarapkan motif alam seperti bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih serta perspektif geometri harmoni membangkitkan lagi hiasan luarannya.

Di Bumi Kenyalang, 'Pasu Sarawak' terkenal dengan motif hiasannya yang berwarna-warni sementara tembikar mambong pula lebih dikenali dengan warnanya yang kemerah-merahan dan biasa digunakan sebagai perkakas dapur di Kelantan.

Bukan sahaja produk tembikar, kekayaan kraftangan tempatan juga terserlah melalui seni tekat emas yang dihasilkan dengan menggayakan sulaman benang ke atas kain baldu.

Menyingkap sejarahnya di Perak, seni bermutu tinggi ini pada asalnya dimonopoli golongan bangsawan istana berikutan ia hanya digunakan dalam adat istiadat dan upacara tertentu.

Raja Permaisuri Perak pada akhir abad ke-19 dikatakan merupakan pereka bentuk selain banyak menghasilkan reka hiasan tekat suatu masa dahulu. Namun kini, potensi mengangkat seni warisan ini kepada produk komersial yang bermutu tidak sama sekali boleh dinafikan.

Menyedari kepentingan meneruskan tradisi ini kepada generasi muda, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak buat julung kalinya menganjurkan Program Pendidikan Kraf Perdana peringkat negeri di Enggor, Kuala Kangsar baru-baru ini.

Pengarahnya, Mohd. Yusof Abd. Rani berkata, program yang antara lain bertujuan memberi kesedaran, pendedahan dan pengetahuan kepada golongan itu disertai oleh kira-kira 300 peserta.

Mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri Perak termasuk mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

"Kita mahu kumpulan sasar ini mampu menghayati dan mengenali warisan melalui motif-motif seni yang melambangkan identiti tertentu khususnya di negeri Perak," katanya.

Melihat kepada senario pada masa kini, beliau berkata, hanya golongan yang berusia 45 tahun ke atas yang benar-benar memahami manifestasi seni yang ditonjolkan melalui kraftangan tempatan.

Sebaliknya, kata beliau, golongan lebih muda hanya cenderung memandang kraftangan sebagai hadiah dan cenderamata untuk kenang-kenangan.

"Industri kraftangan di Perak berpotensi untuk dibangunkan. Selain Sayong di sini yang terkenal sebagai tempat penghasilan labu Sayong, ia juga ada diusahakan di Parit.

"Selain itu, kita juga mempunyai usahawan yang membangunkan kraf berasaskan kayu dan acuan kuih masing-masing di Sitiawan dan Taiping selain anyaman di Jenalik dan batik di sekitar Ipoh," katanya.

Tambah beliau, kraftangan Perak juga boleh dijadikan ikon kepada pencetus perkembangan pelancongan negeri melalui Tahun Melawat Perak 2012.

Atasi Hamil Luar Nikah & Pembuangan Bayi

Perak latih 360 kaunselor bimbing golongan remaja

October 31, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

IPOH 30 Okt. - Kerajaan negeri akan melatih 360 kaunselor bagi membantu usaha membimbing golongan remaja mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial seperti kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi.

Pengerusi Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, inisiatif baru itu akan turut melibatkan latihan serta kursus selama sehari yang akan digerakkan Jabatan Pembangunan Wanita Perak mulai bulan depan.

"Sebanyak 30 wakil melibatkan guru kaunseling, guru disiplin, kaunselor hospital dan warden asrama bagi setiap daerah akan dilatih termasuk 60 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita terpilih.

"Oleh itu, bermula Disember ini, kita akan mempunyai 360 kaunselor terlatih bagi fasa pertama dan bilangan ini akan ditambah pada tahun depan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis taklimat pelaksanaan program Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Perak di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Hamidah turut menyampaikan cek bernilai RM552,000 kepada 168 NGO wanita Perak bagi melaksanakan tiga kempen yang bakal dilaksanakan di 24 kawasan Parlimen seluruh Perak mulai bulan depan.

Tiga program tersebut adalah Kempen Rumah Harmoni: Keluarga Tanpa Keganasan, Kempen Wanita Sihat-Keluarga Tanpa Diabetes dan Kempen Akhlak Mulia-Gadis Bermaruah.

Dalam pada itu, Hamidah berkata, kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu akan melibatkan 19,200 peserta.

Tambah beliau, pelaksanaan ketiga-tiga kempen tersebut amat penting terutamanya bagi mengatasi masalah penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga serta penyakit diabetes yang semakin meningkat.

"Dalam kes penderaan kanak-kanak misalnya, negeri Perak telah mencatatkan peratusan tinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak 331 daripada 3,257 kes (22 peratus) yang dilaporkan di seluruh negara.

"Angka ini begitu serius kerana secara puratanya, setiap negeri tidak seharusnya melebihi tujuh peratus sahaja," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara

Tindakan tegas salah guna peruntukan

October 30, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 29 Okt. - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan kementerian serta agensi yang terbukti menyeleweng atau melanggar prosedur belanjawan seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan telah mewujudkan satu sistem khas berkonsepkan semak dan imbang bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam penyelewengan.

''Tindakan tegas harus diambil, supaya mereka yang terlibat tidak terlepas daripada hukuman dan masalah penyalahgunaan peruntukan tidak berulang.

''Ia merupakan mesej jelas kepada (anggota) perkhidmatan awam bahawa isu penyelewengan tidak boleh diambil ringan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Komputer 1Malaysia di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Jelapang Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail.

Ahmad Husni berkata, Laporan Ketua Audit negara membuktikan kerajaan mahu memastikan konsep ketelusan dilaksanakan di setiap kementerian atau agensi agar integriti dan kredibiliti perkhidmatan awam sentiasa terpelihara.

Sehubungan itu, katanya, semua agensi dan kementerian sudah diarahkan supaya memberi maklum balas terhadap perkara yang dibangkitkan dalam laporan tersebut.

Kerajaan, katanya, akan menyemak dan menilai laporan itu dan jika terbukti berlaku penyelewengan, tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak termasuk pegawai kerajaan.

''Melalui pendekatan ini, kita percaya kualiti serta integriti perkhidmatan awam akan dapat ditingkatkan," katanya.

Pencemaran Udara di Tanjung Malim

Tangani pencemaran di Tanjung Malim

October 11, 2011- Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 10 Okt. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mahu kerajaan negeri mengambil perhatian segera berhubung masalah pencemaran udara yang serius di Tanjung Malim seperti disiarkan di muka depan akhbar Utusan Malaysia 3 Oktober lalu.

Sambil merujuk artikel akhbar tersebut yang bertajuk 'empat bandar beracun', baginda bertitah, pihak berkuasa kerajaan tempatan hendaklah diarahkan supaya memberi perhatian berat untuk menangani masalah berkenaan.

''Laporan yang disiarkan hendaklah membuka mata untuk kerajaan negeri bertindak segera melaksanakan program-program lebih terancang, serius dan bersungguh dalam usaha mewujudkan alam sekitar yang lebih sihat dan lebih selesa.

''Pihak berkuasa kerajaan tempatan hendaklah diarahkan memberi perhatian berat untuk menangani masalah pencemaran dan setiap jabatan dan agensi kerajaan memberikan segala sokongan," titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk) bertitah demikian ketika merasmikan persidangan kali ke-177 majlis tersebut di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Laporan muka depan Utusan Malaysia 3 Oktober lalu menyebut penduduk di kawasan bandar di Malaysia kini berdepan ancaman pencemaran udara akibat pengeluaran asap kenderaan berlebihan yang menukarkan bandar selamat yang dihuni selama ini menjadi ' bandar beracun'.

Bandar-bandar yang dikesan mengalami fenomena tersebut adalah Shah Alam, Selangor; Putrajaya; Nilai, Negeri Sembilan dan Tanjung Malim, Perak.

Raja Dr. Nazrin bertidah, tindakan susulan secara serius yang wajib dilaksanakan bukan hanya sebagai satu pertunjukan atau ketika lawatan dan kunjungan pembesar, tetapi wajib dilaksanakan sebagai satu program yang dirancang dengan komitmen yang tinggi.

"Beta menghargai usaha bersama yang dirintis Majlis dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dalam mengatur acara menanam pokok ketika berangkat ke masjid-masjid sekitar negeri Perak sepanjang bulan Ramadan.

"Sayugia beta memperingatkan agar acara tersebut tidak dilakukan secara bermusim dan berbentuk kosmetik. Program ini juga harus digalakkan untuk dilaksanakan di semua sekolah dan institusi pengajian secara besar-besaran.

"Selain itu, kerajaan negeri juga hendaklah menghormati dan memastikan pelaksanaan yang telah ditetapkan di peringkat nasional dari segi kawalan penggunaan pendingin hawa pada paras suhu 24 darjah Celsius," titah baginda.

Friday, October 7, 2011

Tukar MyKad Baru

Perbaharui MyKad rosak secara dalam talian

22/09/2011 2:58pm Utusan Online

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.hikaru2000@gmail.com

GOPENG 22 Sept. - Orang ramai yang mempunyai kad pengenalan rosak kini boleh memperbaharuinya secara dalam talian (www.jpn.gov.my) apabila perkhidmatan itu mula beroperasi sepenuhnya awal bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datin Jariah Mohd Said berkata, serahan MyKad yang boleh diambil di mana-mana cawangan di seluruh negara melalui sistem itu dijangka siap selewat-lewatnya dua minggu dari tempoh permohonan kecuali sehari jika ia dibuat di Putrajaya.

"Selain kerosakan pada cip kad pengenalan, permohonan gantian melalui sistem ini juga terbuka kepada mana-mana individu yang kehilangan MyKad tidak melebihi lima kali.

"Pembayaran secara dalam talian boleh dibuat melalui kad kredit di mana RM10 dikenakan sebagai caj perkhidmatan. Setakat ini, kita menerima sambutan menggalakkan iaitu sekitar 200 ke 300 permohonan terutamanya di Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat tapak JPN Gopeng di Terminal Agribisnes Negara (Teman) Gopeng di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Mohd. Shukri Nawi dan Pengurus Operasi Teman, Mohamed Nasir Muda.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada orang ramai yang masih belum mengambil serahan MyKad supaya tampil berbuat demikian kerana ia akan dilupuskan setelah 18 bulan ia dikeluarkan.

Menurut beliau, setakat ini, terdapat baki kira-kira 4,000 MyKad yang telah siap tetapi masih belum diambil oleh orang ramai di seluruh negara.

"Sekiranya seseorang itu membuat MyKad di Ipoh dan telah berpindah ke Johor Bahru, sila maklumkan kepada JPN supaya serahan MyKad boleh dibuat di cawangan sana," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jariah berkata, JPN juga telah mula melaksanakan pendaftaran perkahwinan untuk bukan Islam pada hujung minggu bagi kemudahan di luar waktu pejabat.

"Melalui langkah itu, orang ramai boleh mengatur pertemuan dengan pegawai JPN sama ada di hotel atau restoran pada hujung minggu dengan bayaran sebanyak RM500," katanya. - Utusan

Hutan Simpan di Perak Diceroboh?

Tuntutan NGO perlu objektif

Utusan Malaysia - September 20, 2011

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.hikaru2000@gmail.com

IPOH 19 Sept. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan alam sekitar diminta bersifat lebih objektif dalam menuntut pewartaan kawasan hutan simpan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (gambar) berkata, pihaknya tidak berupaya untuk memenuhi permintaan tersebut bagi seluruh kawasan Temenggor kerana ia melibatkan industri perkayuan besar yang mendatangkan pendapatan kepada kerajaan negeri.

"Kita telah menggazetkan kawasan Royal Belum sebagai hutan simpan seluas lima kali saiz negara Singapura sebelum ini.

"Mereka seharusnya faham bahawa kerajaan negeri komited dalam melindungi kawasan tersebut kerana Perak merupakan antara negeri yang mengamalkan sistem pengurusan hutan secara mapan.

"Kita bukan hendak bertelagah dengan NGO, malah sebenarnya kita berterima kasih dengan maklumat yang diberikan. Cuma apabila banyak pihak ingin menggazetkan kawasan itu sebagai hutan simpan, ekonomi kerajaan negeri pada akhirnya tidak mampu berkembang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Paul W. Jones dan Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan kira-kira 74 hektar kawasan hutan Belum-Temenggor itu telah diteroka dan ia dipercayai bagi tujuan tanaman kelapa sawit.

Dalam pada itu, Zambry berkata, beliau telah mengarahkan kerja-kerja pembersihan hutan tersebut diberhentikan bagi melakukan siasatan terperinci untuk memastikan kesahihan laporan berita tersebut.

"Saya ingin melihat sama ada ia dilakukan di kawasan yang dilarang atau tidak, selain menilai dari aspek topografinya," jelas beliau.

Dividen Pekebun RM4,000




Dividen RM4,000 seorang

Utusan Malaysia - August 28, 2011

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 27 Ogos - Seramai 7,283 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) di negeri ini masing-masing menerima purata dividen RM4,000 hasil pengagihan keuntungan terkumpul bernilai RM28.92 juta untuk tahun lalu.

Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Ahmad Sufi Alias berkata, purata keuntungan bagi 0.4 hektar tanah juga telah meningkat kepada RM1,300, berbanding RM800 tahun lalu.

"Secara purata, setiap peserta mengusahakan 1.2 hektar melibatkan keluasan keseluruhan 14,985 hektar.

"Peningkatan ini adalah disebabkan kenaikan harga komoditi tanaman getah dan kelapa sawit dan pengurusan tanah ini diuruskan oleh dua anak syarikat RISDA iaitu Espek Sdn. Bhd. dan RISDA Plantation Sdn. Bhd.," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian dividen RTBB dan TSK peringkat negeri Perak di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Pada majlis tersebut, Saarani turut menyampaikan sumbangan bernilai RM3,000 kepada anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Ar-Ridwani, Manjoi.

Sementara itu, seorang peserta TSK, Jasmani Mat Jalak, 50, dari Kampung Orang Asli Temboh Hangat, Bota Kanan yang telah menyertai program tersebut sejak 10 tahun lalu terkejut apabila memeriksa akaun banknya baru-baru ini.

Saya tidak menyangka ada dividen dan ia merupakan yang tertinggi pernah saya dapat selama ini.

Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan RISDA kerana melibatkan penyertaan 121 Orang Asli dalam program ini di kampung saya. Kini, tahap ekonomi kami sudah berubah," katanya.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...