Pages


Monday, May 30, 2011

Keris Taming Sari



Keris Taming Sari ini dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Ke-83 mulai 29 Mei sehingga 5 Jun.

Keris ini digunakan sebagai salah satu alat kebesaran Diraja Perak dan keseluruhan sarung keris diselaputi oleh dedaun emas.

Menariknya, keris ini juga sebahagiannya diperbuat daripada serpihan besi ganggang pintu Kaabah.

Wednesday, May 25, 2011

Nur Kasih The Movie Review



Walaupun dilabel sbagai filem makcik-makcik, Nur Kasih The Movie punya kekuatan utuh dari aspek sinematografi dan skor muziknya. Perjalanan plot yg agak menarik utk disusuri tetapi impaknya akan lebih berkesan jika diolah dengan ketajaman skrip. Cuma di babak terakhir, figura Nur Aminah menghambur imbasan watak Rose, seorang wanita tua dlm filem Titanic yg mengingati kembali perjalanan kisah hidupnya...

Tuesday, May 17, 2011

Movie Review : Kongsi




Filem 'Kongsi' secara keseluruhannya menampakkan gaya pengarahan amateur, suntingan sinematografi yg tidak memuaskan selain impak humour yg kurang berkesan ... filem yg barangkali tidak mustahil boleh pecah panggung ....apabila dinilai atas tiket shaheizy sam selain peluang utk girls cuci mata ;)

Kes Pemimpin Rasuah

May 10, 2011 - Utusan Malaysia

Kes rasuah bekas pemimpin PKR

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 9 Mei – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes dua bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak yang dipanggil membela diri atas tuduhan rasuah jutaan ringgit membabitkan projek pembangunan sebuah bandar baharu di Perak.

Hakim Noor Hayati Mat membenarkan penangguhan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu dan bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Usaili Alias memaklumkan bahawa mereka telah memfailkan rayuan pada minggu lalu.

Mohd. Osman dan Usaili memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 April lalu yang memerintahkan mereka membela diri atas tuduhan tersebut selepas membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan mereka dan tiga yang lain tanpa dipanggil membela diri pada 23 April tahun lalu.

Mohd. Osman dan Usaili sebelum ini didakwa bersama ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi; bekas Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan dan ahli perniagaan, Fairul Azrim Ismail kerana terlibat dalam 16 tuduhan rasuah jutaan ringgit membabitkan projek pembangunan Pusat Bandar Baru Seri Iskandar.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Exco kerajaan negeri Perak, Restoran Kluang Stesen Cafe di sini dan Aquarias Restaurant & Bar, Summit Hotel, Bukit Mertajam di Pulau Pinang di antara 12 Ogos dan 19 Ogos 2008.

Perintah pembebasan Jamaluddin, Zul dan Fairul Azrim dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi setelah mendapati kekurangan bukti untuk kes terhadap mereka bertiga diteruskan.

Mohd. Osman dan Jamaluddin keluar parti pembangkang dan menjadi ADUN Bebas pada 2009.

Saturday, May 7, 2011

Jolok

Jolok - Perkataan yang paling popular di kalangan wartawan. First time aku dengar perkataan ini, macam2 aku fikir maksudnya....haha...kantoi di situ.

Tapi sebenarnya maksudnye mudah jer .. let say bila sesuatu function tue tak ada sidang media atau press conference (PC), maka reporters pun biasanya akan get ready untuk 'jolok' sahaja.

'Jolok' nie mcm terjah laa jugak...ye laa..dah invite reporter buat coverage, pastu speech cakap tak de points, PC plak tak de, so kena laa jolok

Kalau tak balik ofis dengan tangan kosong.... bukan salah we all jolok-menjolok nie...ok ;)

Thursday, May 5, 2011

Best ke keje wartawan?

Sometimes, ada orang tanya, keje ape? Malas nak straight forward kata wartawan. Paling tidak pun kata keje swasta. Tapi bila orang dah dig and dig again, so cakap lah ' ok, i'm reporter' ...

Usually people will quickly get interested ....apa yg ada dalam fikiran mereka, working as a journalist is a glamorous job .. haha...then, they will start asking u lots of question.

Satu soalan yang agak famous , slalu tak jumpa artis? Again, just smiling.....actually it depends on your job

Journalist needs passion ...mmg tak dinafikan sesiapa sahaja boleh jadi wartawan ...sometimes, ada orang boleh banyak bercakap, but when it comes to writing - FAIL.

Writing neeeds to be grammatically correct and just simple, concise and precise!

Basically, journalist kena minat membaca, suka mengembara dan berjalan ke sana ke mari (i.e. tak suka duduk ofis), boleh bekerja under pressure, jiwa mesti kental...

Very interesting field for networking opportunity, meeting lots of people from different backgrounds ...daripada orang ternama seperti menteri dan artis bagai kepadalah penduduk kampung, orang kurang upaya, orang sakit...semuanya laa

Kadang-kadang seronok bile masuk sekolah balik tengok budak-budak kecik pergi sekolah, budak-budak tadika buat persembahan.....pergi ke function2 di hotel-hotel dapat gooodies yang best2 ....haha, jangan jeles...

Keje bukannya ofis hour ...really working at odd hours, orang keje, kite cuti...kita keje, orang cuti....

dan mesti laa tak kisah balik keje malam....sape2 yang tak tahan, please reconsider your career choice ;)

Pesta Songkran



Kemeriahan Pesta Songkran

April 25, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

GERIK 24 April- Peluang mengikuti Pesta Songkran di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, Perak bersama kira-kira 700 keluarga masyarakat Siam di Malaysia amat mengujakan.

Apatah lagi apabila mengetahui sambutan di kawasan tersebut merupakan yang terawal sekali diraikan di negeri ini sejak 37 tahun lalu.

Berlangsung di Dewan Songkran Kampung Tasek, pesta tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong dengan dipenuhi pelbagai acara menarik.

Meskipun pada mulanya agak janggal dan asing tatkala dikerumuni pelbagai wajah masyarakat Siam, namun segala-galanya berubah apabila mendapati mereka boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik sekali.

Perayaan Songkran yang lebih dikenali dengan jolokan pesta air merupakan perayaan tahun baru tradisional Siam yang diwarisi sejak turun-temurun.

Pesta yang biasanya disambut pada tanggal 13 atau 14 April ini secara kebetulan jatuh pada pertengahan bulan yang terpanas di Thailand.

Disambut di beberapa kawasan penempatan masyarakat Siam di Kedah, Kelantan, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Terengganu, kini ia juga diraikan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Perkataan 'Songkran' berasal daripada bahasa Sanskrit yang boleh ditafsir sebagai berlepas atau peralihan, justeru ia menandakan kemunculan tahun baru.

Berdasarkan kalendar lunar Siam, ia jatuh pada bulan kelima iaitu sewaktu bulan purnama dan pada hari ke-15.

Menyingkap sejarahnya, Songkran merupakan pesta atau perayaan golongan Brahmin yang mengamalkan agama Hindu di India. Ia mula berkembang ke tanah Suwannabhumi (Thailand) pada awal Masihi sebelum ia disebarkan kepada masyarakat yang memeluk agama Hindu-Buddha di Laos dan Kemboja.

Pesta ini turut dirai di beberapa buah negara lain seperti Myanmar, Sri Lanka serta wilayah Sipsongpanna di selatan China. Mengikut kepercayaan masyarakat di utara India pula, Songkran juga menandakan permulaan tahun baru.

Di Thailand, Songkran dipercayai mula diamalkan sejak zaman kegemilangan wilayah Sukhotai. Ia berdasarkan kemasukan agama Buddha ke negara itu dan dibawa bersama kebudayaan dan kepercayaan dari India. Sejarah Songkran ini tercatat di Wat Phrachetuphan di Thailand.

Mengikut tradisi, pesta Songkran disambut oleh golongan muda termasuk kanak-kanak untuk memohon maaf serta meminta restu daripada orang tua seperti ibu bapa, datuk nenek termasuklah sami dan guru-gurunya.

Sebagai lambang kemaafan, golongan tua akan dimandikan dengan menyiram air bersih dan wangi-wangian ke atas tapak tangan, kaki dan seterusnya anggota badan yang lain. Bagaimanapun, golongan muda perlu meminta kebenaran terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Sewaktu dimandikan, golongan tua akan mendoakan kebahagiaan terhadap generasi muda atau anak serta cucu mereka. Selepas itu, golongan tua akan dikenakan pakaian baru dan bersih.

Walaupun pesta Songkran bukanlah perayaan keagamaan, tetapi masyarakat Siam menjadikan perayaan tersebut sebagai satu cara untuk mengumpul pahala. Biasanya, pada hari tersebut, mereka akan mengadakan upacara memandikan imej Buddha dan sami Buddha (bhikkhu).

Orang ramai akan berkunjung ke wat pada pagi hari sementara kaum lelaki membersihkan persekitaran wat sebagai tanda bakal memulakan penghidupan baru selain simbolik kepada 'pembuangan' segala perbuatan jahat yang pernah dilakukan pada tahun-tahun lalu.

Bagi memeriahkan lagi Pesta Songkran, pelbagai acara diatur termasuk pertandingan Ratu Songkran, bola sepak, gerai jualan serta persembahan tarian 'klong jau'.

Menurut seorang penduduk keturunan Siam, Wong Yook Lian, 53, tradisi memandikan golongan tua semakin kurang dilakukan kerana sebahagian daripada mereka merasa terlalu sejuk apabila berbuat demikian.

Namun, katanya, sewaktu Pesta Songkran, antara juadah hidangan yang disediakan bersama oleh masyarakat Siam di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu ini adalah nasi putih dan gulai umbut pisang.

"Biasanya, kanak-kanaklah yang paling seronok menantikan Songkran kerana mereka dapat bermain air serta menyapukan bedak kepada orang lain," katanya.

Sementara itu, Prakjuk Sunan, 30, berkata, untuk pertandingan Ratu Songkran, seramai tujuh gadis belasan tahun akan bertanding bagi merebut 'takhta' dan pemenangnya dipilih berdasarkan kecantikan menggayakan pakaian tradisi serta lenggok jalannya yang lemah lembut ketika mempamerkan aksi di atas pentas.

Menurutnya, Ratu Songkran yang terpilih akan diarak ke sekeliling kampung menaiki kereta berhias bersama-sama peserta lain yang mana ia juga merupakan kemuncak kepada pesta tersebut.

Namun kini, seiring dengan perubahan zaman, sambutan Songkran juga disertai dengan persembahan nyanyian lagu-lagu Thailand yang rancak oleh muda-mudi yang turut sama menari di hadapan pentas.

Di Thailand pula, misalnya, sebanyak 60 kawasan di negara itu dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa kesihatan pada tahun ini sebagai 'tempat bebas alkohol' ketika perayaan Songkran bagi mengurangkan keganasan serta serangan seksual akibat mabuk.

Walaupun begitu, biar apa pun budaya dan cara sambutannya, nilai murni sejagat dalam perayaan Songkran seperti mengenang budi dan menghargai orang tua wajar diteladani sebagai teras pembentukan masyarakat Malaysia yang berbudi bahasa.

Modify Kereta Baik Punye

Memecah kesunyian Ipoh

April 10, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR dan ASLIZA MUSA

KETIKA Ipoh sering diperkatakan orang sebagai 'bandar mati' pada waktu malam, siapa sangka beberapa peminat sistem audio kereta laungan tinggi berjaya memecahkan keheningan malam di tengah-tengah bandar raya ini.

Nada muzik berfrekuensi tinggi yang bergema di hadapan Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada setiap malam hujung minggu itu bukan sahaja menarik perhatian golongan muda, malah pengunjung pelbagai peringkat usia serta keturunan.

Meskipun jam melewati dinihari, kawasan menghimpunkan kira-kira 20 kereta di bawah naungan Kelab Audio Ipoh (IAC) itu terus bergema dengan alunan muzik rancak.

Ia menggamit mereka yang berada di sekitar dataran itu untuk melihat dengan lebih dekat kenderaan yang dipamerkan.

Dilengkapi sistem audio yang boleh didengari sejauh dua kilometer, rata-rata pemilik kenderaan tidak kisah membelanjakan ribuan ringgit bagi mengubah suai sistem audio kenderaan masing-masing.

Malah, ia suatu kepuasan untuk mereka jika mendapatkan sistem audio dan rekaan kereta terbaik bagi dikongsi bersama peminat-peminat dunia auto lain.

Pengerusi IAC, Ahmad Fuad Harun berkata, aktiviti yang diadakan setiap malam pada hari Jumaat dan Sabtu itu bukan sahaja menghimpunkan ahli dari Ipoh malah disertai ahli dari kawasan lain.

"Kami selalu berkumpul di sini seawal pukul 10 malam sehingga awal pagi dan rakan-rakan pula ada yang datang dari Manjung, Taiping, Teluk Intan, Bidor dan Tapah.

"Kami berkumpul setiap minggu di sini bagi menghidupkan suasana di bandar raya Ipoh yang sebelum ini dikatakan suram waktu malam.

"Lagipun, aktiviti sebegini bukanlah melibatkan sebarang kegiatan tidak berfaedah seperti lumba kereta. Kami hanya sekadar berhibur mendengar muzik secara santai sambil mempamerkan kreativiti masing-masing," katanya.

Bersetuju dengan pendapat tersebut, pemilik kedai aksesori kereta, Wong Kok Mun, 40, berkata, selain memeriahkan bandar raya Ipoh, aktiviti itu menghindarkan golongan muda daripada terjebak dalam aktiviti tidak bermoral.

Kok Mun yang menyertai IAC sejak lima tahun lalu telah membelanjakan kira-kira RM6,000 bagi memasang sistem audio keretanya.

"Sebelum ini, Ipoh sangat sunyi kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan pada malam minggu.

"Apabila IAC mengadakan perjumpaan seperti ini, ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada ahli mengenai aksesori terbaru sistem audio kereta," katanya.

Sementara itu, Nordin Zainal Abidin, 28, memberitahu, dia sanggup membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk mengubah suai keretanya sehingga sering memenangi pertandingan Auto Show yang diadakan hampir di seluruh Malaysia.

Dia yang telah mengubah suai kebanyakan ruang dalaman kereta Perodua Kenari itu menyifatkan belanja dikeluarkan berbaloi dengan hasil yang diperoleh.

"Ini aktiviti yang sihat. Ia menghimpunkan ahli daripada pelbagai latar pekerjaan termasuk golongan profesional untuk saling bertemu sekali gus merapatkan hubungan," katanya.

Bagi mereka yang berminat menyertai kelompok komuniti itu boleh melayarinya di laman sosial Facebook.

Perak dan China adik-beradik

Kerjasama Perak dan Ningxia

April 5, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 4 April - Kerajaan negeri hari ini menjalinkan kerjasama dua hala secara rasmi bersama wilayah autonomi Ningxia di negara China untuk meningkatkan pelaburan melibatkan industri halal dan penternakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, antara kerjasama yang bakal diteroka termasuklah aspek pensijilan halal negara ini yang akan turut dibawa ke Ningxia.

"Fokus kerjasama bukan hanya sekadar memasarkan barangan halal ke Perak tetapi juga melibatkan Asia Tenggara serta China ekoran negara itu mempunyai bilangan umat Islam yang signifikan.

"Barangan tempatan seperti kopi putih misalnya mendapat permintaan yang sangat tinggi di negara China," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani penubuhan wilayah berkembar antara Perak dan Ningxia di Pejabat Menteri Besar di sini.

Pada majlis perjanjian tersebut, kerajaan negeri diwakili Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman.

Wilayah itu diwakili Naib Pengerusi Majlis Perundingan Politik Rakyat Ningxia (NPPCC), Li Shufen.

Dalam pada itu, Zambry berkata, perjanjian persefahaman tersebut juga antara lain bakal merancakkan lagi sektor pelancongan negeri melalui pertukaran pelancong melibatkan kedua-dua pihak.

Bot Penambang Kuala Sepetang

Kuala Sepetang dipinggirkan?

March 31, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

BUKIT GANTANG 30 Mac - Lebih 2,500 penduduk di Kampung Kuala Sepetang terpaksa menggunakan bot penambang untuk berulang-alik ke pekan berhampiran berikutan tiada kemudahan jambatan disediakan sejak 25 tahun lalu.

Walaupun perjalanan menggunakan bot itu hanya memakan masa kurang daripada lima minit, penduduk berdepan dengan risiko terjatuh atau lemas di dalam sungai terutama warga tua, kanak-kanak dan murid sekolah yang menggunakan pengangkutan itu hampir setiap hari.

Masalah itu didedahkan beberapa penduduk yang menyifatkan perkampungan nelayan Kuala Sepetang seperti dipinggirkan kerana tidak menerima sebuah jambatan walaupun permohonan untuk kemudahan itu dibuat lebih 20 tahun lalu.

Seorang penduduk, Oi Kin Liu, 52, berkata, sebelum ini pernah berlaku beberapa insiden buruk membabitkan penduduk termasuk murid sekolah yang lemas akibat bot penambang karam.

"Kami tiada pilihan selain menggunakan bot penambang kerana ia satu-satunya pengangkutan yang menghubungkan kami ke kawasan luar dari perkampungan nelayan ini.

"Ia sudah menjadi kebiasaan, namun jika ada jambatan ia dapat menyelamatkan kami dan tidak perlu terus-menerus menggunakan bot," katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra anjuran Pertubuhan Kebajikan As-Siddiq di sini baru-baru ini.

Pertubuhan Kebajikan As-Siddiq adalah sebuah pertubuhan yang mengambil berat mengenai kebajikan masyarakat setempat. Seorang lagi penduduk yang juga aktivis masyarakat, Yeong Ye Huar, 30, berkata, permohonan untuk mendapatkan jambatan itu sudah lama dibuat tetapi sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenainya.

"Saya bimbang jika masalah ini tidak diselesaikan segera, isu berkenaan akan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk terus menyalahkan kerajaan sedangkan ia boleh diselesaikan secara baik," katanya.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan As-Siddiq, Habidi Zain berkata, pihaknya akan membantu memanjangkan permasalahan itu kepada pihak berkaitan selain menyelesaikan secara berperingkat beberapa isu yang dihadapi penduduk di perkampungan nelayan itu.

Malapetaka Jepun

Rakyat Jepun dikagumi

March 28, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 27 Mac - Jepun kini menjadi inspirasi dunia bukan hanya kerana perkembangan teknologinya tetapi kecekalan rakyatnya berdepan malapetaka besar.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, rakyat Jepun membuktikan bahawa manusia mampu meneruskan hidup dengan mempamerkan sifat keberanian, kecekalan, ketenangan dan kemurahan hati yang menjadi nilai budaya mereka selama ini.

"Penduduk di wilayah yang terjejas teruk tidak teragak-agak untuk membantu orang lain meskipun rumah serta harta milik mereka sendiri musnah dibawa arus.

"Walaupun mereka mempunyai pelbagai sebab untuk menitiskan air mata, mereka melakukannya secara terkawal. Mereka mempunyai sifat semulajadi untuk tetap tenang dan bersikap hormat dan sopan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis bersama komuniti Jepun di Perak yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Konsul Jeneral Pejabat Konsulat Jepun di Pulau Pinang, Tetsuro Kai di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, baginda menyampaikan bantuan sumbangan sebanyak RM687,000 kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima bagi membantu mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu.

Antara pihak yang memberi sumbangan tersebut ialah Yayasan Sultan Azlan Shah, kerajaan negeri Perak, Sunway City Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad serta UMNO Perak.

Baginda bertitah, meskipun terdapat 500,000 orang penduduk Jepun dipindahkan dari rumah mereka akibat bencana itu, namun tidak wujud sebarang kejadian rusuhan, asakan mahupun desakan tidak puas hati.

Menurut baginda, lelaki dan wanita yang sihat di negara itu membawa bekalan kepada mangsa lain selain sanggup menyerahkan catuan makanan kepada keluarga yang mempunyai anak dan warga emas.

"Ketenangan mangsa yang berbaris panjang untuk mendapatkan makanan, minuman dan minyak mengatasi keganasan gempa bumi yang menggegarkan negara itu. Kemesraan mereka juga mampu melawan cuaca sejuk yang perlu ditempuh," titah baginda.

Baginda turut menyampaikan rasa simpati Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta seluruh rakyat negeri ini kepada Maharaja Jepun, Maharaja Akihito dan Maharani Michiko serta seluruh rakyat Jepun atas tragedi yang menimpa negara itu.

UTP buat kajian biofuel

UTP lancar pusat biofuel

March 16, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 15 Mac – Bertepatan dengan fokus membangunkan teknologi hijau, Universiti Teknologi Petronas (UTP) baru-baru ini melancarkan Pusat Kajian Biofuel dan Biokimia (CBBR) yang disasarkan menjadi sebuah pusat penyelidikan biojisim terulung di Asia.

Pembangunan pusat kajian hasil kerjasama strategik dengan Mitsubishi Corporation itu juga bakal menawarkan kursus pengajian teknologi hijau secara penyelidikan di peringkat pasca siswazah.

Pengerusi Mitsubishi (Teknologi Hijau), Profesor Dr. Yoshimitsu Uemura merangkap pengasas pusat kajian tersebut berkata, penubuhan pusat itu antara lain bertujuan melahirkan golongan penyelidik dan jurutera terbaik dalam bidang berkenaan.

Menurut beliau, kajian utama yang dijalankan di pusat itu ketika ini ialah penghasilan bahan bakar cecair, termasuk pepejal daripada selulosa lignin serta beberapa produk kimia lain daripadanya.

“Biojisim merupakan salah satu sumber boleh diperbaharui yang mempunyai banyak potensi. Pemilihan biojisim untuk penyelidikan serta pengeluaran produk daripadanya merupakan antara aspek yang perlu diberi perhatian,” katanya pada majlis pelancaran pusat itu baru-baru ini.

Ia disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Mitsubishi Corporation (Malaysia), Junichi Iseda dan Rektor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim.

Pelancaran CBBR mencatatkan satu lembaran penting buat kerjasama strategik antara UTP dan Mitsubishi yang mula terjalin sejak 2009.

Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani sebelum ini bertujuan meningkatkan hubungan antara industri dan akademik dalam menjalankan penyelidikan yang relevan selain membantu ke arah pembangunan sumber manusia.

Kerjasama strategik itu sekali gus membolehkan UTP memperoleh pengetahuan dan kemahiran bagi memperkukuh mutu kajian dan penyelidikan (R&D) dalam bidang teknologi hijau.

Dalam pada itu Yoshimitsu berkata, CBBR berhasrat menjadi sebuah pusat kajian penting dalam penggunaan biojisim yang memperoleh banyak pembiayaan geran penyelidikan.

Beliau berkata, selain menyediakan prasarana terbaik untuk penyelidikan, hasil kajian CBBR diharap dapat diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi serta menjadi rujukan pembangunan teknologi bagi pihak industri.

Hadiah buat wanita

RM2j untuk pembangunan wanita

March 14, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 13 Mac –Kerajaan Perak akan melancarkan dana RM2 juta untuk program pembangunan wanita di negeri ini menjelang hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, peruntukan tersebut akan tertumpu kepada program pendidikan, latihan dan pembangunan wanita terutama melibatkan isu pembuangan bayi.

“Program ini akan diperkembangkan sehingga ke peringkat akar umbi meliputi semua sekolah menengah, kolej dan universiti kerana sebagai penduduk Asia, kita terlalu malu untuk bercakap mengenai pendidikan seks.

“Kesemua program yang hendak dijalankan sudah disenarai pendek dan kita akan melancarkannya selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Hari Wanita Antarabangsa di Kolej Sunway Ipoh, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Perak, Srihartini Mohamed Shamsudin; Pengarah Kolej Sunway Ipoh, Paul Tan dan Presiden Perak Women for Women, Dr. Sharifah Halimah Jaafar.

Perak Women for Women adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak wanita di negeri ini.

Dalam pada itu, Hamidah berkata, kemampuan seseorang wanita mengisi jawatan tertinggi perlu dilihat atas dasar kelayakannya dan bukan semata-mata untuk melengkapkan kuota.

Justeru, beliau menyeru semua wanita supaya meningkatkan kebolehan masing-masing supaya lebih ramai lagi golongan itu akan dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Senator.

“Pencapaian wanita di Malaysia boleh dibanggakan kerana tiada diskriminasi gender di negara ini.

“Sehingga hari ini, wanita sudah memegang jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia, naib canselor universiti dan terdapat lima Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) yang telah dilantik,” katanya.

Sakit Misteri

Anak tanya bila penyakit berakhir

March 14, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 13 Mac - Keluarga Mohd. Nur Hakim Hasram berhasrat membawa remaja berusia 15 tahun itu menjalani rawatan tradisional untuk menyembuhkan penyakit misteri yang menyebabkan bengkak besar di rusuk kanannya.

Ibunya, Nor Hamizah Ali, 43, berkata, tubuh anaknya sentiasa berasa sakit dan dia asyik bertanya bila penyakit misteri yang dihadapinya itu akan berakhir.

"Doktor yang merawatnya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) masih menunggu keputusan imbasan yang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Buat masa ini doktor memberi ubat kepada Mohd. Nur Hakim untuk menahan sakit," katanya di sini hari ini.

Mohd. Nur Hakim, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haji Muhammad Taib, Chemor terpaksa melupakan hasratnya untuk meneruskan persekolahan setelah mengalami bengkak seakan-akan ketumbuhan di rusuk kanannya sejak hujung tahun lalu.

Segala-galanya bermula apabila dia jatuh terlentang ditolak rakan yang bergurau sehingga terkena bucu papan kenyataan di sekolahnya pada Ogos tahun lalu.

Kini, remaja itu yang merupakan anak keempat daripada lima beradik sukar bernafas, mudah letih, tidak lena tidur, mengalami penurunan berat badan ketara serta sukar bergerak kerana tidak boleh berjalan dan duduk lama.

Malah, setiap baris pertuturannya juga agak sukar difahami kerana penyakit misteri itu bukan sahaja 'memakan' fizikal, malah turut menjejaskan percakapannya.

Nor Hamizah berkata, anaknya sebelum ini merupakan seorang yang periang, peramah dan bersemangat untuk ke sekolah.

Namun katanya, setelah menderita ketumbuhan tersebut, dia terpaksa melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang tentera serta menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini.

Tambahan pula katanya, suaminya, Hasram Mohd. Jamal, 53, ialah seorang tukang kebun dan tidak dapat menjaga anaknya sepenuh masa kerana perlu mencari nafkah untuk keluarga.

Pindah atau Roboh

Mahu kekal di Gunung Cheroh

March 11, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 10 Mac – Sebanyak 21 keluarga rumah setinggan di Kampung Gunung Cheroh merayu kerajaan negeri supaya membenarkan mereka terus menetap di kawasan yang telah didiami itu sejak tiga generasi lalu.

Seorang penduduk, K. Valliama, 70, berkata, penduduk kampung telah diarah mengosongkan kawasan tersebut dalam tempoh dua minggu dari sekarang kerana tanah berkenaan telah diberikan kepada syarikat pemaju, Fasa Unggul Sdn. Bhd. untuk pembinaan projek pembangunan.

“Saya telah menetap di situ lebih 40 tahun dan mempunyai 10 orang anak. Apa yang saya mahu hanya tinggal di tempat yang sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, penduduk telah memohon sekurang-kurangnya lima kali kepada Pejabat Tanah dan Galian negeri sejak 1998 untuk mendapatkan kebenaran mendirikan rumah di situ, namun tiada sebarang maklum balas yang diterima.

Lebih malang katanya, apabila pihak pemaju tidak menawarkan sebarang pampasan untuk proses pemindahan tersebut.

Menurutnya, sebelum ini, 32 keluarga di kawasan tersebut telah dipindahkan ke Buntong dan Taman Loke Lim sewaktu zaman pemerintahan bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali serta pakatan pembangkang.

Sehubungan itu, dia berharap, pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya memandangkan rata-rata penduduk berkenaan merupakan golongan miskin.

Orang Asli Pun Dah Ade Kedai Sendiri

Usaha Achu Angah tidak sia-sia

March 10, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 9 Mac - Biarpun dilahirkan sebagai Orang Asli dari suku kaum Temiar, ia tidak menghalang Achu Angah, 39, menyimpan impian menjadi usahawan satu ketika nanti.

Banyak menghabiskan ruang lingkup hidupnya dengan mengambil upah melakukan kerja di ladang kelapa sawit, memberi semangat buat bapa kepada tiga anak itu untuk mengubah nasib keluarga.

Niatnya bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar mencari kepuasan diri mengusahakan sesuatu dengan titik peluh sendiri.

Impian Achu akhirnya tercapai apabila dia dengan bantuan isterinya, Yusni Hitam, 38, mampu membuka kedai runcitnya sendiri di tengah-tengah perkampungan Orang Asli di Pos Sungai Pelantok, Ulu Kuang, Chemor.

Berbekalkan modal perniagaan sebanyak RM15,000 yang diperoleh menerusi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), dia kini mengusahakan Kedai Runcit Achu Ngah Enterprise yang membekalkan barang-barang runcit kepada lebih 400 penduduk kampung.

Kedai yang dibuka kira-kira dua bulan lalu itu memulakan operasi perniagaan dari pukul 7.30 pagi sehingga 10 malam.

"Minat untuk menjalankan perniagaan ini sememangnya wujud sejak saya berusia 25 tahun. Ketika itu, saya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan menjual minyak petrol.

"Ini disebabkan kawasan kampung ini agak terpencil dan jauh dari pekan," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menceritakan pengalamannya memperoleh pinjaman mikrokredit daripada YBUDR, Achu berkata, segalanya bermula apabila dia terbaca sebuah iklan mengenai pinjaman yang ditawarkan organisasi berkenaan di sebuah akhbar tempatan di pekan.

Menurutnya, ketika itu dia berhempas-pulas mencari pejabat YBUDR di Greentown di sini hingga meskipun sesat beberapa kali sebelum menemui jalan selepas bertanyakan kepada pengawal yang bertugas di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Selepas itu, bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, hasrat ingin membuka perniagaan kedai runcit mendapat perhatian YBUDR yang berusaha menyiapkan segala dokumentasi dan prosedur berkaitan dengannya.

Bukan sahaja Achu diberi bimbingan dan nasihat untuk memulakan perniagaan, malah segala urusan pembukaan akaun bank serta lesen perniagaan diuruskan oleh YBUDR.

"Pada waktu itu, saya memohon pinjaman tersebut pada Mei tahun lepas dan ia diluluskan tiga bulan kemudiannya," katanya.

Achu yang juga merupakan Orang Asli pertama di Perak yang menjalankan perniagaan kedai runcit itu gigih mendapatkan bekalan untuk barang-barang runcitnya meskipun terpaksa berulang alik sejauh kira-kira lima kilometer ke pekan.

Dengan hanya membawa bakul besar yang disangkut pada motosikalnya, dia sanggup berulang alik dua kali sehari ke pekan bagi memastikan bekalan bahan runcitnya mencukupi.

"Saya biasanya akan turun ke pekan berdekatan pada pukul 8 pagi dan 5 petang setiap hari dan isteri saya menjaga kedai sekiranya saya keluar.

"Saya selalunya membeli barang-barang secara pukal yang mempunyai diskaun dan menjualnya pada harga runcit biasa kepada orang kampung," katanya.

Dalam pada itu, Achu berkata, antara barangan yang laku dijualnya adalah makanan keperluan harian seperti susu, gula dan mi segera.

Dia yang mengenali semua penduduk kampung di sekitarnya juga tidak keberatan memberikan sebahagian daripada mereka untuk berhutang kerana memahami taraf hidup kaum sesuku dengannya.

Achu yang mampu meraih pendapatan sebanyak RM50 ke RM70 sehari itu kini berupaya membayar balik pinjaman mikro kredit RM170 sebulan selama empat tahun.

Malah, dia turut bercita-cita mengembangkan perniagaannya dengan menjual alat tulis, bahan binaan, hasil pertanian dan ternakan termasuk pelbagai alatan komunikasi seperti kad prabayar telefon.

"Saya kini berbangga dapat menggapai impian untuk bekerja sendiri.

"Mana-mana masyarakat Orang Asli yang berminat memulakan perniagaan, jangan malu untuk dapatkan pinjaman daripada YBUDR," katanya.

Kontroversi BTN

Kecewa rambut anak digunting

January 19, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 18 Jan. – Seorang bapa kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berketurunan Sikh kecewa selepas rambut anak sulungnya dipotong sewaktu dia tidur di Kem Seri Impian Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Ahad lalu.

Surinderpal Singh, 46, memohon supaya pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut kerana ia didakwa menyalahi undang-undang kebebasan beragama meskipun ia dipercayai angkara perbuatan nakal.

Anaknya, Basant Singh, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Michael di sini mendakwa rambutnya dipotong sepanjang kira-kira 50 hingga 60 sentimeter selepas bangun daripada tidur pada pukul 6.30 pagi di Dorm 5 kem berkenaan.

Malah, anaknya yang juga bekas Presiden Persatuan Sikh di sekolah lamanya itu tidak lagi berhasrat untuk meneruskan program tersebut meskipun diberi tempoh seminggu oleh komandan kem untuk bercuti sehingga 23 Januari ini.

“Rambut adalah simbol utama dalam kepercayaan Sikh dan ia adalah pemberian tuhan yang dihadiahkan oleh nabi kami.

“Saya mempercayai PLKN sebelum ini, malah anak saya sememangnya bersungguh-sungguh mahu untuk menyertai program tersebut. Namun, setelah kejadian ini, dia menjadi takut dan tidak mahu lagi kembali ke sana,” katanya .

Dia berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri isterinya, Swaran Kaur serta sebahagian besar penganut Sikh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Basant yang mendaftar program tersebut pada 4 Januari lalu berkata, kem berkenaan buat pertama kalinya mengambil pelatih dari Ipoh untuk tahun ini.

Dia berkata, 10 lagi peserta kem tersebut yang berkongsi bilik dengannya terdiri daripada enam pelatih Melayu, tiga Cina dan seorang India.

“Sebelum tidur, saya telah melonggarkan serban kepala. Saya terkejut apabila rambut saya dipotong dan terus menghubungi ayah. Laporan polis dibuat pada hari sama saya dibawa pulang ke Ipoh.

“Namun saya tidak mengesyaki ia perbuatan rakan-rakan sebilik kerana mereka turut bersimpati dengan kejadian tersebut,” katanya.

Sementara itu, Swaran berkata, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi begitu sedih kerana sebelum ini, anaknya begitu gembira mengikuti program tersebut sehingga insiden tersebut berlaku.

“Saya menyimpan rambut anak saya sejak lahir sehingga ia berusia 18 tahun ketika ini. Saya tidak dapat menerima perkara ini,” katanya sambil menitiskan air mata.

Sementara itu, Komandan Kem Sri Impian Sungai Bakap, Mejar Shamsudin Abdul Aziz ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, kes tersebut kini telah diserahkan untuk siasatan pihak polis.

Menurut beliau, selepas kejadian tersebut, satu pemeriksaan mengejut telah dijalankan terhadap semua pelatih tetapi pihaknya tidak menemui sebarang alatan seperti gunting yang sememangnya dilarang untuk dibawa masuk ke kem tersebut.

Malah katanya, pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara tidak pernah sesekali mengeluarkan arahan supaya pelatih berketurunan Sikh dipotong rambutnya.

Beliau turut berkata, bagi memastikan keselamatan pelatih, terdapat pengawal yang ditugaskan melakukan rondaan selama 24 jam selain enam jurulatih yang bertugas pada setiap hari.

“Di kem ini, terdapat dua lagi pelatih berketurunan Sikh dan daripada kesemua 306 pelatih yang ada di sini, 305 daripadanya tidak pernah mengadu apa-apa.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa kerana kita tidak mempunyai sebarang bukti,” katanya.

Mayat Dikerat

Mayat dikerat dipercayai warga asing

March 2, 2011 - Utusan Malaysia

02/03/2011 3:12pm

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 2 Mac – Polis percaya mayat seorang lelaki yang ditemui dikerat-kerat anggota badannya di Batu Lapan, Chemor pada 26 Februari lalu merupakan seorang warganegara asing.

Hasil bedah siasat terhadap anggota badan yang ditemui mendapati, terdapat beberapa kesan penggunaan senjata tumpul yang berkemungkinan besi atau kayu.

Cap ibu jari mayat itu telah dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mahkamah, namun ia gagal dikesan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mayat yang dikerat-kerat dan dimasukkan dalam dua beg berasingan ditemui orang ramai pada Sabtu lalu. – Utusan

Pengakuan Bekas Penagih

Rumah Shiqal bantu Amirul

February 14, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

TAIPING 23 Feb. - Biarpun pernah bergelumang dalam kancah penagihan dadah, namun ia tidak sesekali membuatnya berasa malu untuk berubah serta berdepan dengan realiti.

Tekad dan keazaman diri melebihi segala-galanya meskipun stigma negatif masyarakat terhadap bekas penagih dadah sepertinya masih kuat.

Namun, berpegang kepada tekad jika tidak berani mengambil keputusan untuk berubah, maka selama-lamanya dia akan terus kekal begitu.

Menceritakan pengalaman hidupnya bergelut dengan najis dadah selama 13 tahun, Amirul Anuar Mohd. Noor, 33, berkata, kesedaran yang muncul selepas berfikir panjang mengenai masa depan mencetuskan perasaan di dalam hatinya untuk menukar haluan hidup.

Amirul Anuar yang berasal dari Kamunting di sini bersyukur kerana keluarga menjadi pendorong serta tulang belakang kepadanya untuk kembali ke pangkal jalan.

Anak sulung daripada enam beradik itu mengakui pengaruh rakan-rakan sebaya selepas tamat persekolahan menyebabkannya begitu liar sehingga terjebak dengan kegiatan tidak berfaedah itu.

Apatah lagi, dadah jenis heroin mudah didapati daripada teman-teman sekampung yang sentiasa mendapat bekalan tersebut.

"Saya berasa azab dan sengsara semasa ketagihan dadah. Seluruh tubuh tidak selesa termasuk pinggang dan sendi berasa sakit-sakit apabila tidak mendapatnya.

"Saya menghadapi tekanan mental sekiranya keinginan yang meluap-luap untuk mendapatkan dadah tidak dapat dipenuhi dalam masa empat ke lima hari," katanya.

Mengenang kembali detik-detik awal perubahan, Amirul Anuar berkata, dia mahu berubah apabila mula berasakan dirinya mendatangkan masalah besar kepada keluarga.

Menurutnya, dia bukan sahaja tidak menjadi contoh teladan yang baik kepada adik-adiknya malah memalukan keluarga serta mengkucar-kacirkan kehidupan mereka.

"Pada 2009 hati saya tergerak untuk berubah. Saya pergi sendiri ke Rumah Shiqal di bawah Persatuan Shifaul Qalbi Taiping (PSQT) yang memberi sokongan kepada usaha-usaha pemulihan penagih dadah.

"Di sana, kami berkongsi masalah serta membantu antara satu sama lain termasuk kawalan emosi melalui kegiatan-kegiatan berbentuk kerohanian," katanya.

Menurut Amirul Anuar, dia sudah muak dan jemu bergelumang dengan najis dadah serta berasakan masa depannya akan musnah sekiranya menyusuri laluan hidup yang sama.

Malah katanya, kegiatan menagih dadah hanya akan menghindarkan diri seseorang itu lebih jauh daripada Tuhan yang menciptakan manusia dan alam ini.

"Sekiranya ingin benar-benar berubah, satu kemahuan diri yang drastik perlu ada selain sokongan padu daripada keluarga dan masyarakat supaya tidak kembali hanyut ke jalan sama," katanya.

Pengerusi serta Pengasas PSQT, Shamzuri Osman, 46, yang juga bekas penagih turut bersetuju bahawa masih wujud persepsi negatif di kalangan masyarakat terhadap golongan seperti mereka.

Shamzuri berkata, beliau yang dahulunya bekerja di sebuah firma sekuriti pernah dibuang kerja semata-mata pihak majikan mengetahui dirinya merupakan seorang bekas penagih dadah.

Namun beliau mengakui, proses pemulihan seseorang penagih itu bukannya mudah serta tidak mempunyai tempoh masa tertentu kerana bila-bila masa sahaja mereka boleh kembali menagih andai tidak diberikan sokongan moral.

Sehubungan itu, Rumah Shiqal yang berada di bawah naungan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri itu kini berusaha membuka peluang pekerjaan dan bimbingan kepada bekas penagih dadah.

Menurut Shamzuri, Rumah Shiqal yang dibuka sejak 2008 itu telah membantu proses pemulihan 90 penagih dadah termasuk 14 yang dilatih ketika ini.

Beliau berkata, melalui projek tanggungjawab sosial korporat Kelab Rotary Taiping, Pusat Dobi Laundry Shiqal Maju di Taman Lake View di sini berjaya dibuka bagi memberi peluang kepada golongan tersebut untuk mendampingi masyarakat.

Menurut beliau, projek di bawah tajaan CIMB Foundation bernilai RM50,000 itu juga membolehkan bekas penagih dadah memperoleh ilmu serta kemahiran dalam bidang perniagaan.

Pusat dobi tersebut yang beroperasi sejak sebulan lalu dirasmikan pembukaannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Dalam pada itu, Shamzuri berkata, melalui peluang berinteraksi dengan pelanggan, ia memberi peluang kepada mereka membina kembali keyakinan diri untuk berdepan dengan masyarakat.

"Peluang ini juga seharusnya dimanfaatkan untuk terus hidup berdikari serta mendapatkan sumber kewangan.

"Sekurang-kurangnya ia membuktikan bahawa golongan seperti kami juga boleh menjadi modal insan yang berupaya membantu perkembangan ekonomi negara walaupun sekecil mana peranannya," katanya.

Pusat Dobi Laundry Shiqal Maju menawarkan perkhidmatan seperti cucian tangan, biasa, kering, pembersihan langsir, permaidani serta kerja-kerja menggosok pakaian.

Pusat dobi tersebut turut menyediakan perkhidmatan pengambilan dan penghantaran pakaian bagi memudahkan para pelanggan.

Untuk sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi di talian 014-7577440.

Budak UTP Buat Filem

UTP menang filem pendek terbaik

February 16, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 15 Feb. - Filem Inadvertence yang dihasilkan sekumpulan enam mahasiswa Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul sebagai juara dalam kategori filem pendek terbaik anjuran Malaysians Unite for Road Safety (Mufors) baru-baru ini.

Filem yang menyorot mesej keselamatan jalan raya itu merupakan hasil gandingan Mohamad Mahsyar Mohamed Said, Zeffree Khan Zainal Kan, Ahmad Faris Ahmad Khairi, Luqman Afiq Razali, Mohamad Adib Harith Fadzilah dan Muhammad Shafiq Shahat.

Kesemua mereka merupakan mahasiswa tahun dua semester kedua pengajian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sistem maklumat perniagaan (BIS) menerima trofi serta wang RM10,000.

Kemenangan mereka dalam kategori Pengumuman Perkhidmatan Awam yang dibimbing Ketua Jabatan Sains Maklumat dan Komputer UTP, Dr. Mohd. Fadzil Hassan itu turut membawa pulang wang RM3,000 bagi pihak universiti.

Lebih membanggakan, pembikinan filem pendek tersebut turut tersenarai sebagai antara tiga calon terakhir untuk merebut Anugerah Sinematografi Terbaik serta Pengarah Terbaik daripada 141 penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT).

Pertandingan yang dinamakan Mufors Road Reels tajaan Plus Expressways Berhad (PLUS) itu terbuka kepada semua penuntut IPT di negara ini dengan bertemakan Sikap di Jalan Raya - Perjalanan Rakyat Malaysia.

Pertandingan itu antara lain bertujuan memupuk peranan mahasiswa IPT dalam merubah sikap negatif masyarakat Malaysia di jalan raya yang berkait rapat dengan kemalangan dan kematian.

Mohamad Mahsyar yang juga ketua projek pembikinan filem itu berkata, mereka tidak menyangka mampu meraih kemenangan tersebut ekoran saingan hebat terutamanya daripada Universiti Limkokwing.

Katanya, mereka yang bergabung tenaga sebagai satu pasukan cuba menghasilkan sesuatu yang boleh memberi impak serta penyampaian mesej secara unik dan berkesan.

Menurutnya, keseluruhan lokasi penggambaran hanya dilakukan di kawasan kampus UTP bagi menjimatkan kos.

"Kami mengadunkan teknik panning yang boleh memberi kesan pergerakan terhadap objek bergerak dengan berlatarbelakangkan pemandangan kabur selain menggabungkan plot penceritaan berbentuk imbas kembali.

"Semua ini kami pelajari sendiri kerana ilmu tersebut tidak termasuk dalam sebahagian kursus yang kami ikuti sekarang," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Mahsyar berkata, wang RM10,000 yang diperoleh hasil projek pertama itu banyak dihabiskan untuk membeli peralatan kamera dan video yang baru.

Menurutnya, mereka sedang menyiapkan penggambaran filem pendek kedua bagi menyertai satu lagi pertandingan yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak lama lagi.

Bagi yang berminat untuk menonton hasil karya filem pendek mereka, boleh melayari laman web http://www.mufors.org.my/road_reels_view.aspx?id>31844fda-7c43-4c30-b448-35f53b533ad6

Indon Pun Suka Empangan Bakun

Indonesia minat elektrik Bakun

January 21, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengaran@utusan.com.my

IPOH 30 Jan. - Pembelian Empangan Bakun yang masih dalam proses rundingan melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak kini turut menarik minat Indonesia untuk mendapatkan bekalan tenaga elektrik dari empangan itu.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, selain tenaga elektrik, Indonesia juga melihat keupayaan Malaysia untuk memenuhi keperluan infrastruktur negara itu melalui pembinaan jalan raya dan pelabuhan.

Menurut beliau, keyakinan itu antara lain disandarkan kepada kekuatan Malaysia dalam bidang perkhidmatan termasuk perbankan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Sewaktu saya pergi ke Indonesia tempoh hari, terdapat pihak di sana yang bercakap dalam konteks kita membekalkan tenaga elektrik dari Bakun ke Kalimantan.

"Namun, proses untuk membekalkan elektrik itu akan bergantung kepada keputusan 'due diligence' (usaha wajar) sama ada berlakunya pemindahan kepada Sarawak atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada warga emas sempena Tahun Baru Cina di Tambun dan Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru rundingan antara Sarawak Hidro Sdn. Bhd. dengan Sarawak Energy Bhd. (SEB) untuk penjualan tenaga daripada Empangan Bakun kepada syarikat utiliti milik kerajaan negeri tersebut.

Sarawak Hidro Sdn. Bhd. milik Kementerian Kewangan, merupakan pemaju kepada empangan tersebut yang dibangunkan dengan kos melebihi RM7 bilion.

Pada tahun lalu, Kerajaan Negeri Sarawak menyatakan hasrat untuk membeli empangan berkenaan pada harga RM6 bilion dan bersedia meningkatkan bidaan kepada RM7 bilion bergantung kepada kaedah pembayaran.

Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata, Kerajaan Persekutuan ingin mempercepatkan proses pembelian empangan tersebut yang kini masih dalam penentuan nilai pemindahan.

Beliau berkata, ia penting bagi membekalkan elektrik selain membantu pembangunan di Sarawak dan Sabah.

Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

1,950 graduan PISMP boleh jadi guru

January 27, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 27 Jan. - Kesemua 1,950 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) boleh menarik nafas lega apabila Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) meluluskan akreditasi bagi kesemua kursus pengajian mereka sekali gus melayakkan mereka untuk menjalankan tugas sebagai guru.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (gambar) berkata, pihaknya telah menerima surat akreditasi itu semalam dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) pula akan memaklumkan perkara tersebut kepada Jabatan Pelajaran Negeri.

"Akhirnya, MQA telah memberikan akreditasi kepada semua kursus PISMP dan graduan dijangka mula mengajar di sekolah yang ditetapkan pada 7 Februari ini.

"Namun, bagi memudahkan graduan PISMP, saya telah mengarahkan pegawai untuk memasukkan maklumat di laman web Kementerian Pelajaran supaya mereka boleh menyemaknya pada esok hari," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Isu mengenai akreditasi kursus graduan PISMP timbul apabila lebih 1,950 graduan berkenaan yang menamatkan pengajian November lalu tidak layak untuk menjadi guru.

Ini ekoran keengganan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran mengiktiraf kelayakan mereka berikutan kursus tersebut masih belum mendapat pengiktirafan MQA.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu bahawa proses mendapatkan pengiktirafan daripada MQA dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah dilakukan dan masih menunggu keputusan kedua-dua agensi serta jabatan tersebut.

Ka Siong berkata, graduan PISMP boleh mengetahui lokasi negeri di mana mereka akan mengajar melalui laman web Kementerian Pelajaran.

"Jabatan Pelajaran Negeri pula akan memaklumkan nama sekolah untuk mereka melaporkan diri, seawal-awalnya pada Selasa depan," katanya.

Mari Berlatih Teater

Cabaran teater orang muda

January 27, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 26 Jan. - Meskipun asas perjuangan teater pada masa kini pernah dikritik kerana hanya mempertaruhkan barisan artis popular, namun, seni pementasan ini wajar diteruskan demi kelangsungan budaya.

Bermula dengan kejayaan teater muzikal Puteri Gunung Ledang, peminat seni tanah air mula menunjukkan signal penerimaan apabila Muzikal Tun Abdul Razak, Natrah dan Muzikal Tun Mahathir mula mendapat tempat tempat di hati penonton.

Bukan untuk mengetepikan kemampuan lakonan di layar perak, namun cabaran beraksi di hadapan penonton secara langsung menerusi persembahan teater sememangnya diakui jauh lebih mencabar.

Justeru, usaha untuk melahirkan barisan pelakon berbakat serta kumpulan produksi yang komited diperlukan bagi meneruskan legasi pementasan teater pada masa akan datang daripada terus lapuk ditelan zaman.

Malah, penerapan seni teater di kalangan generasi muda kini bukan lagi tugas mudah apabila ledakan sains dan teknologi sedikit sebanyak mempengaruhi kecenderungan minat belia untuk mendampingi kerjaya yang lebih moden.

Namun, bagi anak muda, Nor Fifi Natasha Fairus, 17, yang lebih mesra dipanggil Sasha, walaupun menyimpan hasrat untuk bergelar seorang peguam, namun ia tidak sesekali menghalangnya untuk melibatkan diri dalam seni teater.

Anak kepada pasangan Fairus Mohd. Azis, 40, dan Nor Diana Noor Faadi, 39, yang juga pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Pulai itu beranggapan teater merupakan platform terbaik baginya untuk mempelajari pakej lengkap gerak tari, lakonan serta penguasaan pentas.

Lebih mengagumkan, siapa sangka Sasha yang menganggotai Persatuan Kebudayaan di sekolahnya itu juga pernah mengarahkan sebuah teater bertajuk 'Variasi Hidup' dengan bimbingan gurunya.

"Saya melihat teater ibarat sebuah kehidupan dan sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa seni persembahan itu sebenarnya memanusiakan manusia.

"Mendalami teater mendedahkan kita dengan pelbagai skop kehidupan. Lakonan sebenarnya merupakan satu peniruan, maka secara tidak langsung kita mengetahui cara hidup serta baik buruk seseorang melalui pengkajian sesuatu watak," katanya.

Sasha yang juga pelajar terbaik Akademi Teater Perak (Aktep) 2010 menerusi watak 'Ana' turut berkongsi pengalamannya ketika menjayakan teater Penunggu Pesaka arahan Zakaria Ariffin pada malam kemuncak pementasan tersebut.

Menurutnya, setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk mendapatkan penghayatan watak yang berkesan.

Namun bagi Sasha, dia lebih gemar bertanya kepada orang yang lebih arif serta memerhati karektor watak yang ingin dilakonkannya.

"Watak 'Ana' misalnya memerlukan saya berperangai seperti seorang kanak-kanak manja dan kebudak-budakkan yang berusia dalam lingkungan 15 tahun.

"Saya tidak dapat menghayati perangainya itu jika saya sendiri tidak menyarung baju seorang kanak-kanak," katanya.

Menurutnya lagi, kejujuran dalam lakonan itu penting bagi menyelami watak yang dibawa agar ia tidak dilihat seperti dibuat-buat sehingga memualkan penonton.

Sasha yang juga seorang pengawas di sekolahnya berpendapat, kebanyakan golongan muda bukannya tidak berminat untuk menceburi bidang teater, sebaliknya mereka mempunyai sifat penyegan yang menebal.

Dia percaya teater bukan sahaja hak eksklusif golongan berbakat tetapi juga boleh disertai oleh insan lain yang perlu gilapan lontaran suara, percakapan, penghafalan skrip serta pergerakan supaya lakonannya tidak kelihatan kaku.

"Pada saya, bagi mendapatkan 'feel' di dalam teater, kita boleh berlatih di hadapan cermin kerana daripada situ, mimik muka boleh diperhati dan emosi boleh diselitkan," katanya.

Sementara itu, Pengetua Aktep merangkap Pengerusi Badan Budaya Perak, Rashidi Abdul Kharis berkata, usaha menyemarak dan memperkembang seni teater di kalangan pelajar penting bagi melahirkan belia yang kreatif, inovatif dan berilmu.

Beliau berkata, Aktep yang juga merupakan satu bengkel persiapan selama lima minggu ke arah pementasan teater, mendedahkan pelajar-pelajarnya dengan beberapa prinsip utama.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah pengenalan dan permainan teater, improvisasi, gerak, emosi, suara, lakonan, skrip, pentas, teknikal, produksi dan pementasan.

Menurut beliau, sebanyak 20 peserta sahaja dipilih untuk menjadi pelajar Aktep berdasarkan satu temu duga khas kepada mereka yang berumur daripada 14 ke 25 tahun.

Pada malam kemuncak pementasan, tiga pelajar Aktep dianugerahkan sebagai pelajar terbaik dan membawa pulang sijil penyertaan, piala serta wang tunai.

Selain Sasha, dua lagi peserta terbaik yang dipilih pada malam tersebut ialah Nor Maisyarah Mazlan dan Muhammad Faiz Azman.

Nak Masuk Tadika Kemas ke Kelas Prasekolah?

Selaraskan kelas prasekolah

January 22, 2011 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 21 Jan. - Kewujudan kelas prasekolah di sekolah kebangsaan perlu diteliti semula bagi mengelakkan berlakunya pertindihan dengan pembukaan Tadika Kemas di sesebuah kawasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman berkata, ia penting bagi mengatasi masalah kekurangan murid di pusat pendidikan awal kanak-kanak tersebut sekali gus mengurangkan pembaziran sumber pengajaran yang sama.

"Misalnya sewaktu saya melawat di Tadika Kemas Sungai Rokam pagi ini, sudah tinggal lapan orang sahaja di sana kerana terdapat tiga kelas prasekolah yang dibuka di Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam.

"Oleh itu, saya ingin mencadangkan bahawa kelas prasekolah hanya perlu mengambil murid berumur enam tahun sementara kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga ke lima tahun dihantar ke Tadika Kemas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Klinik 1Malaysia di Station 18, Pengkalan yang juga merupakan satu-satunya klinik seumpama itu yang dibuka di DUN Sungai Rapat.

Dalam pada itu, beliau berharap, Kementerian Pelajaran serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dapat mengadakan penyelarasan supaya pembangunan kelas prasekolah tidak memberi kesan kepada pembukaan Tadika Kemas.

"Ini disebabkan matlamatnya adalah sama iaitu memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak," katanya.

Anwar dan APCO

Nazri tunggu ‘pembongkaran’

Disember 26, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

PADANG RENGAS 25 Dis. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (gambar) masih menunggu ‘pembongkaran’ bukti kaitan APCO Worldwide dengan konsep 1Malaysia yang dikatakan akan dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau akan terus menanti Anwar untuk berbuat demikian walaupun telah hampir sembilan bulan menunggunya sejak 17 Mac lalu.

Tegasnya, Ketua Pembangkang itu telah diberi kesempatan secukupnya untuk membela diri daripada digantung selama enam bulan tetapi Anwar terus melawan dan mempertahankan ‘kebenarannya’.

“Seminggu sebelum 16 Disember lalu iaitu apabila Anwar digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat, menerusi wakilnya, saya sudah maklumkan akan membentangkan usul pergantungan tersebut serta bilangan orang yang berhujah di dalam Dewan.

“Malah saya sudah minta kelulusan daripada Jemaah Menteri untuk meluluskan satu hari untuk membincangkan isu Anwar sahaja dan persidangan itu boleh dijalankan dari pukul 10 pagi sehingga tengah malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perayaan Krismas dan Tahun Baru 2011 di Kampung Baru Sauk, Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Mohamed Nazri turut membidas kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa kalau kerajaan boleh membelanjakan RM77 juta untuk Apco, maka mereka juga boleh membeli surat daripada agensi itu.

“Tetapi saya ingin memberitahu, bahawa itu sebenarnya cara PKR, sanggup membayar orang lain untuk membuat penipuan. Mereka bayar P. Balasubramaniam untuk mengeluarkan akuan bersumpah palsu,” katanya.

Mengenai kenyataan Prof. Abdul Aziz Bari yang mengibaratkan isi kandungan surat Apco sebagai ‘seorang pencuri tetapi menafikan ia mencuri’, Mohamed Nazri berkata:

“Apco sekurang-kurangnya berani menulis surat mengatakan mereka tidak melakukan perkara seperti yang didakwa.”

Menurutnya, jika Abdul Aziz boleh berkata demikian, maka beliau juga berhak mengatakan Anwar sebagai seorang peliwat, tetapi tidak mengaku melakukan perbuatan liwat.

“Namun, orang kuat Abdul Aziz itu tidak berani berdepan di mahkamah mengatakan bahawa dia tidak meliwat sebaliknya cuba menggagalkan kes liwat terhadap Mohd. Saiful Bukhari Azlan itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Nazri berkata, beliau berharap Barisan Nasional (BN) akan terus mendapat sokongan kerana kerajaan tidak pernah menipu rakyat demi mempertahankan kedudukan.

Tragedi Simpang Pulai - Cameron Highlands 4

Polis sahkan tumpahan minyak bukan punca nahas

Disember 21, 2010 - Utusan Malaysia

21/12/2010 6:43pm

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 21 Dis. – Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof menolak dakwaan terdapat tumpahan minyak hitam bas yang menjadi punca nahas kemalangan bas terburuk di Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands semalam.

Beliau tetap mengatakan bahawa nahas itu berkemungkinan besar disebabkan oleh pemandu atau kerosakan mekanikal.

“Kesemua 25 warga Thailand yang maut disahkan akan dituntut keluarga masing-masing esok.

“Polis akan mengeluarkan senarai nama 27 mangsa terkorban bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – Utusan

Tragedi Simpang Pulai-Cameron Highlands 3

Mayat 28 mangsa nahas bas terbalik dibawa ke hospital

Disember 20, 2010 - Utusan Malaysia

20/12/2010 6:22pm

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 20 Dis. – Sebanyak 28 mayat mangsa nahas bas pelancong yang terbalik ketika menuruni Cameron Highlands di Simpang Pulai di sini dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini petang ini.

Bagaimanapun, pihak hospital hanya mengesahkan 27 daripada mayat itu iaitu 10 lelaki, 14 perempuan, manakala tiga lagi mayat belum dikenal pasti. – Utusan

Tragedi Simpang Pulai-Cameron Highlands 2

Tragedi bas pelancong: 3 rakyat Malaysia turut maut

Disember 20, 2010 - Utusan Malaysia

20/12/2010 4:06pm

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 20 Dis. – Tiga rakyat Malaysia turut terbunuh dalam nahas bas pelancong yang terbabas di Simpang Pulai hari ini.

Ini bermakna jumlah korban dalam tragedi bas tersebut meningkat kepada 26 orang.

Ketiga-tiga mereka adalah pemandu bas tersebut, Omar Shahidan, 48, serta pemandu kedua dan pemandu pelancong yang belum dikenal pasti identiti masing-masing.

Bas tersebut yang bernombor pendaftaran AFX 2266 membawa 34 penumpang warga Thailand ketika kejadian dan dipercayai dalam perjalanan dari Cameron Highlands. – Utusan

Tragedi Simpang Pulai-Cameron Highlands 1

Tragedi bas pelancong terbabas: 23 disahkan terbunuh

Disember 20, 2010 - Utusan Malaysia

20/12/2010 2:59pm

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 20 Dis. – Jumlah kematian dalam tragedi bas pelancong terbabas ketika menuruni Cameron Highlands di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini disahkan seramai 23 orang.

Ketika ini, 19 disahkan mati di tempat kejadian, manakala empat lagi penumpang meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini. – Utusan

Tragedi Simpang Pulai-Cameron Highlands

Bas pelancong terbabas, lebih 10 penumpang dikhuatiri maut

Disember 20, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH 20 Dis. – Sekurang-kurangnya 14 orang maut apabila sebuah bas membawa pelancong merempuh penghadang jalan dan terbabas ke dalam longkang ketika menuruni Cameron Highlands di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini hari ini.

Dalam nahas pukul 11.40 pagi itu, kebanyakan penumpang dalam bas tersebut dikatakan pelancong warga Thailand.

Di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, dua daripada penumpang bas itu disahkan meninggal dunia. – Utusan

Nizar vs Harussani

Nizar terdesak tagih sokongan Melayu

Disember 20, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 19 Dis. - Tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang tidak putus-putus melempar fitnah kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria adalah strategi terbaru beliau dalam menagih undi dan simpati orang Melayu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu langsung tidak merasa takut apatah lagi berdosa disebabkan oleh kebencian yang amat sangat terhadap mufti.

"Beliau langsung tiada rasa hormat kepada seorang mufti yang disegani hanya kerana tidak memenuhi 'selera hukum' yang diingininya.

"Ini termasuk tindakan fitnahnya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada penggal lalu apabila mengatakan mufti dihantar oleh Barisan Nasional ke Australia untuk bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di sana," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis tertutup Bengkel Mencari Visi dan Strategi Pembangunan Masyarakat Orang Asli Perak di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Orang Asli Perak, Datuk Suki Mee.

Beliau mengulas tindakan bekas Menteri Besar itu yang meragui penjelasan Harussani mengenai isu ancak kerana ia dikatakan tidak lebih daripada menjaga kepentingan pihak tertentu sahaja.

Upacara ancak tiang seri rumah di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober lalu yang didakwa Mohammad Nizar sebagai suatu perbuatan berunsur syirik oleh Zambry, terus diputar-belit meskipun Harussani telah mengeluarkan satu kenyataan mengenainya semalam.

Sehubungan itu, Zambry menyeru kepada seluruh umat Islam agar tidak terperangkap dengan manusia dusta tersebut yang sanggup menggunakan agama bagi menghalalkan sesuatu cara mahupun tindakan.

Ipoh Bandar Pencen?

Ipoh bukan 'bandar pencen'

Disember 17, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 16 Dis. - Ketenangan bandar raya Ipoh selain alam semula jadi yang indah tidak bermakna ia hanya sesuai untuk dijadikan 'bandar pencen' kerana kerajaan negeri sebenarnya lebih mementingkan kehidupan rakyat yang berkualiti.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menyedari persepsi itu berkata, kehidupan berkualiti tidak semestinya memerlukan pencakar langit tinggi mahupun kesesakan jalan raya sebagai satu indikator sebuah bandar raya maju.

"Kita sedar kedudukan Ipoh yang dikatakan sebagai 'sleepy hollow' atau 'bandar pencen'.

"Bagi saya, indikator bandar raya maju lebih merujuk kepada kehendak rakyat yang inginkan kualiti kehidupan misalnya dapat sampai ke pejabat dalam tempoh singkat selain tinggal dengan selesa bersama keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan DWJ Hotel sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Syarikat Pembinaan Caj Maju Sdn. Bhd. di sini hari ini.

DWJ Hotel merupakan sebuah perniagaan berkonsepkan hotel butik yang dibangunkan oleh usahawan bumiputera di sini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Caj Maju Sdn. Bhd., Datuk Jamaludin Abd. Rahim.

Dalam pada itu, Zambry berkata, beliau sebenarnya tidak suka untuk bersaing dengan negeri lain seperti Melaka yang misalnya mempunyai kekuatan produk pelancongan dari segi warisan sejarahnya.

Namun katanya, beliau lebih berminat untuk menjadikan Ipoh sebagai satu destinasi pelancongan unik yang saling melengkapi di bawah satu pakej besar apabila pelancong berkunjung ke negara ini.

Keris Kuala Kangsar

Keris Kuala Kangsar dikomersial

Disember 11, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 10 Dis. – Terdapat pelbagai jenis keris yang pernah menjadi senjata utama pada zaman dahulu. Ada yang buatan tempatan dan luar negara seperti Bali, Bajen, Picit, Sumatera, Madura, Pattani, Bugis dan Jawa.

Setiapnya mempunyai keunikan tersendiri terutama dari segi bilahnya. Di Semenanjung Malaysia, jenis keris boleh diperlihatkan melalui tiga jenis mata bilahnya.

Abdul Mazin Abdul Jamil, 60, pembuat keris tunggal di Kuala Kangsar berkata, tiga jenis keris utama tersebut ialah anak alang (mata bilah panjang tegak), lok (mata bilah berlekuk-lekuk) dan hukum (mata bilah sepanjang 50 sentimeter).

Dia yang mula berkecimpung dengan pembuatan keris sewaktu berusia 12 tahun, pada awalnya mempelajari seni warisan zaman-berzaman itu daripada datuknya yang kemudian diperturunkan kepada ayahnya, Abdul Jamil Pandak Mat Yunos.

Kini, dia yang turut menghasilkan golok dan parang di Bengkel Pandai Besi di rumahnya iaitu di Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan, meraih pendapatan melalui hasil pengkomersialan keris buatannya itu.

Menurutnya, harga sebilah keris yang paling mahal pernah dihasilkan mencecah sehingga RM6,000, namun ia bergantung kepada saiz dan kualiti serta bahan asas pembuatannya.

Bapa kepada 12 anak yang berkecimpung sepenuh masa dalam pembuatan keris ini mendapat tempahan daripada istana, individu-individu termasuk dari luar negara seperti New Zealand, Amerika Syarikat (US), United Kingdom (UK) dan Jepun.

Menceritakan tentang pembuatannya, Abdul Mazin berkata, sebilah keris paling cepat dapat disiapkan dalam tempoh tiga minggu sementara yang berkualiti tinggi boleh mengambil masa selama dua bulan.

“Bahan asas untuk membuat keris adalah besi waja, besi tawar, besi melela yang diikat kemas sebelum dibakar untuk dimampatkan menjadi satu kepingan logam aloi.

“Namun, dari segi petua pula, ia perlu dicampur dengan tujuh jenis besi yang namanya berpangkal dengan huruf ‘P’ iaitu besi paku, payung, pagar, pahat, puting, pisau dan pencebok,” katanya.

Dia berkata, setiap besi tersebut mempunyai maknanya tersendiri, misalnya, besi paku adalah untuk mempertahankan diri sementara besi pagar bertujuan menjaga keselamatan si pemiliknya.

Malah katanya, setiap keris mempunyai maksud yang boleh ditafsir dari segi pertukangan bermula dari hulu sehingga ke bilahnya.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai teknik pembuatannya, katanya, mata keris akan mula terbentuk apabila besi dibakar dan diketuk secara bertalu-talu sebelum dipotong dan dipanaskan semula berulang-ulang kali.

Dia berkata, apabila mata keris telah terbentuk nyata, ia akan dibakar sekali lagi dan seterusnya ditempa secara miring sehingga bentuknya membengkok ke bawah.

“Mata keris yang telah bengkok tadi seterusnya dipalingkan ke arah bertentangan dan ditempa lagi sama seperti kaedah sebelumnya. Cuma bezanya, kedudukan ia dianjak sedikit ke atas bilah secara berselang-seli sehingga ke hujungnya,” katanya.

Dari segi alatan pembuatan, dapur arang digunakan untuk melebur campuran besi selain andas digunakan sebagai tempat untuk mengetuk dan menempa besi panas.

Selain itu, musang yang juga dikenali sebagai kelubung di Perak, merupakan alat penting dalam kerja pertukangan besi di mana ia berfungsi menghembuskan angin yang terperangkap masuk ke dalam saluran dapur untuk menempa besi.

Ragum besar pula digunakan sebagai pengapit mata dan hulu keris bagi tujuan memudahkan kerja-kerja membentuk bilahnya.

Untuk pembuatan hulu keris pula, kayu terpilih seperti kemuning, surian, sena serta petai belalang digunakan kerana dipercayai lebih tahan lama selain ia mampu menyimpan ‘keserian’ keris tersebut walaupun sudah lama disimpan.

Abdul Mazin mengakui mempunyai pantang-larang tertentu dalam pembuatan keris kini menurunkan seni itu kepada dua anaknya iaitu Saiful Hazrin, 23, dan Mohd. Hafiz, 25, yang menunjukkan minat untuk mewarisinya.

Malah, dia tidak lokek untuk berkongsi pengetahuannya itu bersama mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang datang ke rumahnya untuk menjalani praktikal selama tiga bulan.

Dalam pada itu, katanya, keris dan golok mempunyai perbezaan tersendiri bukan sahaja dari segi bentuknya, tetapi juga bahan asasnya kerana golok hanya diperbuat daripada sejenis besi sahaja.

Dia berkata, terdapat tujuh jenis golok iaitu golok perak daun buluh, gedubang, penuh, lampam, jawi pekan, rembau dan tumbuk lada.

“Panjang golok biasanya tidak melebihi 50 sentimeter dan yang paling kerap digunakan dalam kerja-kerja seharian ialah golok perak penuh,” katanya.

Sementara itu, katanya juga, orang ramai turut mula melupakan tujuh jenis kepelbagaian jenis parang yang dihasilkan pada zaman dahulu.

Menurutnya, tujuh jenis parang itu ialah parang buaya berenang, radin, sundek, tengkuk biawak, beletong, bangkung, dan candung.

Banjir di Ipoh ?

RM10 juta tangani banjir

Disember 9, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 8 Dis. - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menjalankan projek-projek mengatasi masalah banjir di bandar raya ini untuk tahun 2011.

Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim berkata, peruntukan oleh Kerajaan Pusat melalui kerajaan negeri itu merupakan sebahagian daripada RM46 juta yang akan dibelanjakan untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur di sini.

"Kita melihat saluran-saluran longkang ini perlu diperbaiki kerana ia tidak pernah dibaikpulih sejak 20 tahun lalu.

"Melihat kepada pembangunan pesat di Ipoh melibatkan 6,000 sehingga 7,000 buah rumah, maka keperluan membina longkang-longkang yang lebih besar adalah penting bagi mengatasi masalah banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program turun padang di Dewan Rukun Tetangga Gunung Rapat di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau mendengar beberapa cadangan daripada Ahli Jawatankuasa Kampung Baru Gunung Rapat yang antara lain mengemukakan permasalahan setempat membabitkan banjir, isu jalan, saliran, longkang, papan tanda, bonggol serta lampu jalan.

Dalam pada itu, Roshidi berkata, pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM2 juta pada tahun ini untuk kerja-kerja pembangunan infrastruktur di kawasan Gunung Rapat.

Beliau berkata, bermula awal tahun 2011, sebanyak RM400,000 lagi akan diberikan untuk menjalankan kerja-kerja penurapan jalan di kawasan tersebut.

"Kita juga mendapat peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM120,000 untuk tujuan sama yang akan mula dilaksanakan 15 Disember ini," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Roshidi berkata, pihaknya akan memasang sebanyak 76 buah lagi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan 'panas' di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata, pemasangan yang dijadualkan bermula tahun depan untuk tempoh dua tahun itu bertujuan membanteras kegiatan jenayah di sini.

Dirempuh Trak Tunda

Peniaga maut kereta rempuh trak tunda

Disember 7, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 6 Dis. - Seorang peniaga maut setelah kereta yang dipandunya merempuh sebuah trak penunda di Jalan Simpang Pulai-Lahat di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 1.45 pagi, Koo Fook Kong, 54, yang ketika itu dalam perjalanan dari arah Lahat ke Simpang Pulai dikatakan gagal mengawal kenderaannya lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh trak penunda itu.

Bagaimanapun, pemandu trak tersebut, K. Ganeson, 20, dari Buntung hanya cedera ringan dan dibawa ke sebuah hospital swasta di sini untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Trafik Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, Fook Kong yang berasal dari Chandan Desa, Simpang Pulai mengalami kecederaan parah dan mati di tempat kejadian.

"Mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal, Mohd. Izuan Ibrahim, 19, maut apabila bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Aji, Bota Kiri.

Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Changkat Melintang mengalami kecederaan parah di kepala dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 5.30 petang.

Miskin Tapi Malas Usaha

Miskin tegar tidak minat 1Azam

Disember 6, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

BATU GAJAH 6 Dis. – Sebanyak 30 peratus daripada 3,000 penduduk miskin tegar di negeri ini tidak berminat untuk menyertai program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, perkara tersebut menjadi halangan kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

Beliau berkata, 1Azam di bawah kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan geran kepada mereka untuk keluar dari kepompong kemiskinan melalui program Azam Tani, Azam Niaga, Azam Kerja dan Azam Khidmat.

Namun, sikap segelintir golongan itu yang hanya mengharapkan bantuan bulanan perlu diubah kerana kerajaan tidak lagi akan memberi ‘ikan’ sebaliknya hanya membekalkan ‘pancing’ kepada mereka.

“Kita memahami kadang kala ada penduduk miskin tegar ini merupakan warga emas yang tidak lagi berupaya untuk menyertai program tersebut, tetapi malangnya, anak-anak mereka juga tidak berminat.

“Mereka takut sekiranya menyertai program ini, bantuan lain akan ditarik balik. Kerajaan sebenarnya memperuntukkan RM10,000 untuk satu keluarga dalam program Azam Tani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Gempur Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengagihan Kotak Makanan dan Pakaian Seragam Sekolah, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 45 kotak sumbangan berisi beras, gula, vitamin, susu, biskut dan pakaian sekolah diberikan kepada penduduk miskin tegar di sekitar Gopeng melibatkan pertolongan Skuad Sayang Wanita UMNO.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama semua ketua kampung supaya mengenal pasti mana-mana penduduk dalam kelompok kemiskinan tegar supaya didaftarkan segera di bawah program e-Kasih.

Menurut beliau, dalam pembentangan bajet baru-baru ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM1 juta bagi tujuan makanan tambahan kepada golongan miskin.

Selain itu, beliau berharap, melalui peruntukan zakat Bank Rakyat melibatkan RM10,000 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, ia dapat membantu masalah pembayaran yuran di kalangan pelajar miskin.

“Kita tidak mahu pelajar ini tertekan atau malu kerana seringkali diminta guru untuk jelaskan yuran persekolahan,” katanya.

Masuk Mahkamah Tentera

Tharmendran ke mahkamah tentera

November 28, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanipoh@utusan.com.my

IPOH 27 Nov. - Sarjan N. Tharmendran akan didakwa di mahkamah tentera kerana meninggalkan tugas tanpa cuti memandangkan dia masih merupakan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, perkara tersebut merupakan satu tindakan biasa kepada anggota yang melanggar disiplin dalam pasukan keselamatan itu.

"Saya hendak menyatakan di sini bahawa Sarjan N. Tharmendran masih lagi seorang anggota dan disebabkan dia tidak melapor tugas, maka kita ambil tindakan kerana notis sudah diberikan tetapi masih tidak datang.

"Dia akan didakwa di mahkamah ketenteraan. Bukti daripada seseorang akan diambil dan selepas itu kita akan menjalankan prosiding. Ini perkara biasa," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Sri 43/10 melibatkan 328 perajurit lelaki dan 62 wanita di Padang Kawad Institut Tentera Udara (ITU) di sini.

Beliau mengulas penahanan Tharmendran oleh lima anggota Jabatan Arah Provos Marsyal TUDM kelmarin sejurus selesai mengikuti prosiding di Mahkamah Tinggi bagi permohonan menggugurkan pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin jet pejuang F-5E.

Semalam, Tharmendran memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan dari Pusat Tahanan, Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Menurut afidavit difailkan, dia yang bertugas di Pangkalan Udara Subang menyatakan, tahanan yang dibuat adalah tidak sah dan di luar bidang kuasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana dia mendakwa dirinya bukan lagi seorang anggota tentera TUDM.

Tharmendran mendakwa, dia telah tamat perkhidmatan dengan pangkat Sarjan pada 28 Mei lalu ketika berada dalam reman sementara menunggu perbicaraan bagi kes membabitkan kecurian enjin jet pejuang itu.

Dalam perkembangan berlainan, Rodzali berkata, untuk latihan pendidikan penerbangan, TUDM telah memohon enam lagi pesawat PC-7 Mk II sebagai menggantikan Pilatus PC-7 yang telah digunakan sejak 1984.

Beliau berkata, jika mengambil masa terlalu lama untuk mendapatkannya, pihaknya akan membaik pulih Pilatus PC-7 terutamanya dari segi struktur integriti pesawat.

"Ini kerana ia memberi kesan kepada latihan penerbangan TUDM berikutan bilangannya yang masih tidak mencukupi ketika ini.

"Kita memerlukan 24 pesawat. Lapan Pilatus PC-7 sudah dibaik pulih dan kita dapat membeli 10 buah pesawat baru, jadi kita memerlukan enam buah lagi," katanya.

Sementara itu, katanya, TUDM akan memohon kolej-kolej tentera udara seperti Pusat Latihan Pengurusan Logistik (PLPL) TUDM, Kinrara dan Pangkalan Udara Subang diletakkan di bawah satu pangkalan.

Menurut beliau, pangkalan baru yang akan dibuka di sebuah kawasan di Lembah Klang akan dikenal pasti bersama syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Penyatuan ini akan melibatkan semua kolej tentera udara kecuali di Alor Setar dan Ipoh," katanya.

Selain itu, katanya, Kementerian Pertahanan akan mensyaratkan semua juruterbang memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda pertama berbanding kelayakan diploma ketika ini.

Sehubungan itu, lebih ramai juruterbang akan diambil daripada graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Kantoi Curi Diesel Subsidi

19 ditangkap seleweng diesel subsidi

November 24, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 23 Nov. - Seramai 19 individu ditahan di seluruh negara kerana didakwa terbabit dalam penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan dalam operasi besar-besaran yang dijalankan di seluruh negara, sejak Jun lalu sehingga semalam.

Mereka yang ditahan melibatkan pengusaha jeti, pemilik bot, tangki minyak haram (skid tank), depot individu dan persatuan nelayan kawasan (PNK) di empat negeri iaitu Perak, Pahang, Perlis dan Kedah.

Dalam kira-kira 20 serbuan yang dijalankan bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu, sebanyak 414,000 liter diesel bersubsidi berjaya disita.

Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Jamidan Abdullah berkata, selain itu, pihaknya juga mengesan cubaan merasuah pegawai KPDNKK sebanyak RM80,000.

Katanya, hasil tangkapan tertinggi direkodkan di Perak, melibatkan 11 orang sebanyak 200,000 liter, diikuti lima di Pahang (16,000 liter), dua di Kedah (141,000 liter) dan seorang di Perlis (57,000 liter).

"Kita akan menangkap lebih ramai lagi individu dan mengambil tindakan bukan sahaja di bawah Akta Pencegahan Rasuah tetapi juga melibatkan peruntukan perundangan di bawah kementerian terlibat iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Pasukan Petugas Khas KPDNKK, Fahmi Kasim.

Pada 17 November lalu, Utusan Malaysia membongkar masalah penyelewengan diesel bersubsidi sehingga menyebabkan kerajaan hilang jutaan ringgit pada setiap bulan akibat ketirisan.

Kegiatan menyeleweng sebahagian diesel bersubsidi digambarkan berada pada tahap serius apabila dikatakan lebih 1 bilion liter diesel berkenaan disalurkan kepada persatuan-persatuan nelayan.

Dalam pada itu, Mohd. Jamidan berkata, daripada jumlah tangkapan tersebut, kebanyakannya terdiri daripada pengusaha lelaki yang berusia dalam lingkungan 40 tahun ke atas.

Menurut beliau, modus operandi adalah dengan melibatkan PNK sendiri yang membawa terus diesel bersubsidi ke kilang untuk dijual kepada sektor industri.

Katanya, selain itu, ada juga yang membawanya ke sempadan serta menjalankan perniagaan haram menggunakan tangki minyak haram.

"Terdapat juga ejen PNK mahupun nelayan yang menjual kepada peraih, kapal tangki tempatan (secara terus) dan bot nelayan asing (melalui tukaran ikan atau wang).

"Daripada 5.1 bilion liter diesel subsidi yang dibekalkan sejak 2006, 257 juta liter daripadanya telah diseleweng dengan ketirisan sebanyak lima peratus berlaku pada setiap tahun.

"Siasatan lanjut akan terus dijalankan ke atas PNK terbabit termasuk pegawai-pegawai penguat kuasa bagi membuktikan sama ada mereka terlibat sama," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, berdasarkan rekod KPDNKK pada tahun ini, sebanyak 98 kes penyelewengan diesel bersubsidi dikesan dengan melibatkan 706,224.39 liter sitaan dan nilai rampasan pula sebanyak RM1.7 juta.

Dalam pada itu, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan SPRM hari ini, penyelewengan berlaku bukan sahaja mendatangkan kesan kepada komuniti nelayan bahkan melibatkan wang rakyat.

Katanya, daripada 19 yang ditahan, seorang ialah pengusaha di Perlis, Kedah (dua), Perak (lapan) dan Pahang (dua).

"Selain itu, dua orang tengah ditahan di Pahang dan pemandu lori masing-masing tiga di Perak dan Pahang (satu)," kata kenyataan tersebut.

Pernah Makan Putu Perak?

Putu Perak semakin digemari

November 16, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

TELUK INTAN 15 Nov. - Sebut sahaja putu piring atau putu mayam, ramai rakyat di negara ini yang mengenalinya kerana banyak dijual di pasar-pasar malam mahupun di pasar tani.

Namun, sejenis kuih tradisional - Putu Perak - jarang didengari apatah lagi didapati di negara ini walaupun dicari di bazar-bazar Ramadan.

Berintikan kelapa parut, berwarna putih serta rasanya yang lemak-lemak manis, tekstur luaran kuih ini yang lembut pasti menarik perhatian sesiapa sahaja untuk mencubanya.

Diberi nama sempena bahan asasnya yang mudah didapati di Perak, ia menggunakan tepung beras, tepung pulut serta kelapa sebagai adunan utama.

Bezanya dengan putu piring, ia tidak menggunakan tepung ubi.

Pengusaha tunggal putu Perak dari Chenderong Balai, Teluk Intan, Fauzila Haron, 35, ternyata tidak mempersiakan bakatnya dalam meneruskan tradisi keluarganya untuk menghasilkan kuih tradisional.

Beliau yang berjinak-jinak dalam pembuatan kek dan pastri selepas tamat sekolah, kini bakal membawa putu Perak ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 yang akan bermula 26 November ini.

Selain menghasilkan kuih-kuih tradisional, Fauzila menerusi syarikatnya, Zie's Taste Cake and Pastry, juga membuat kuih bakar mengikut tempahan untuk majlis-majlis perkahwinan, pertunangan dan hari jadi.

"Saya sebenarnya cuba mencari idea lain daripada yang lain kerana sudah ramai orang menghasilkan kek dan pastri.

"Dari saat itu, timbul idea untuk mengusahakan putu Perak yang asalnya dipanggil sebagai putu cawan," katanya yang mula mengkomersialkan kuih tradisional itu pada 2005.

Sehingga kini, perniagaan Fauzila mula berkembang selepas mendapat bimbingan daripada Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Bermula dengan menghantar kuih tersebut ke kedai-kedai berhampiran, kini putu Perak Fauzila boleh didapati di Agro Bazaar di kawasan rehat dan rawat (R&R) Ulu Bernam arah selatan.

"Bukan sahaja orang Melayu yang menggemarinya, malah orang Cina dan India serta pelancong asing turut membelinya dengan harga RM3 untuk enam biji.

"Ada juga peminat kuih ini sanggup datang dari selatan tanah air semata-mata untuk mencari putu Perak," katanya.

Penyertaan kali kedua Fauzila pada MAHA 2010 kali ini ternyata cukup bermakna apabila kuih tradisional itu juga akan menjadi salah satu tarikan utama sebagai produk makanan negeri Perak.

Sebelum ini, dia pernah menyertai Karnival Sua Rasa TV9 dan Agrofest Perak 2008 di bawah FAMA.

Menceritakan tentang cara pembuatan putu Perak, Fauzila berkata, ia sememangnya agak rumit kerana beras perlu direndam semalaman sebelum dicampur dengan tepung beras dan dimesin sehingga sebati.

Kemudian, katanya, ia perlu dikukus selama 40 minit sebelum dibiarkan sejuk selama 12 jam sebelum dikisar dan digaul dengan tepung pulut.

"Kadang-kadang, ada orang tidak suka kelapa parut, jadi saya menggantikan ia dengan gula merah atau gula kelapa sebagai inti.

"Kuih ini boleh tahan selama tiga hari atau enam bulan kalau disimpan dalam peti sejuk," katanya.

Menurut Fauzila, melalui pertolongan Jabatan Pertanian, dia telah diberikan sebuah bangunan kecil untuk menjalankan perniagaannya.

Malah, dia tidak lagi menggunakan tin susu yang ditebuk sendiri untuk membuat putu Perak.

Beliau yang menyertai ekspo FAMA di R&R Tapah untuk mempromosikan putu Perak selama sebulan ketika ini berhasrat dapat memperluaskan lagi pasaran kuih tradisional itu.

Janganlah Banjir

RM50,000 untuk mangsa banjir

November 10, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 9 Nov. - Kerajaan negeri memperuntukkan dana RM50,000 untuk pembayaran wang ihsan kepada orang ramai sebagai persiapan menghadapi banjir di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim berkata, pejabat daerah turut diberi kuasa untuk memegang dana tersebut dalam bentuk tunai bagi memudahkan pemberian bantuan di luar pejabat.

"Sebanyak 318 pusat penempatan sementara telah dikenal pasti dan ia boleh memuatkan sebanyak 40,000 hingga 50,000 orang.

"Ia sebagai persiapan menghadapi banjir terutamanya di daerah Kerian, Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar serta Perak Tengah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Perak 2010 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, hasil Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri memutuskan bahawa segala bantuan perlu disalurkan dengan segera sebaik sahaja banjir berlaku.

Beliau berkata, peruntukan yang diberikan kepada seorang mangsa adalah sekurang-kurangnya RM500, namun ia bergantung kepada kesan bencana, kesengsaraan yang dihadapi termasuk kematian.

"Mesyuarat Bencana Negeri juga akan diadakan bagi merangka pelan tindakan yang lebih proaktif.

"Kita akan melihat keperluan untuk melepaskan takungan air ke sungai atau laut dengan lebih awal bagi mengelakkan perpindahan penduduk," katanya.

Lost World Petting Zoo best

Didik anak sayangi haiwan

November 9, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 8 Nov. - Mendidik kanak-kanak dan remaja untuk menyayangi haiwan bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak hanya diselubungi perasaan takut, terdapat juga segelintir daripada mereka yang berasa jijik serta enggan mengotori diri meskipun hanya menyentuh haiwan-haiwan jinak.

Namun, bagi seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Chia Kok Wai, 15, dia bukan sahaja berasa selesa malah tidak gentar untuk menyentuh haiwan yang dianggap berbahaya.

Kok Wai yang mengikuti program Junior Ranger di Lost World of Tambun mengakui dirinya sudah mula berani menyentuh ular Burma jinak yang terdapat di Petting Zoo di situ.

"Saya menyertai program ini sejak April lalu selepas ia dibuka kepada kanak-kanak dan remaja yang berusia daripada enam hingga 16 tahun.

"Saya akan ke sini untuk belajar menjaga haiwan terutama ular yang menjadi kegemaran saya setiap dua minggu sekali iaitu pada hujung minggu dan cuti sekolah," katanya.

Kok Wai berjaya mendapatkan lima lencana setelah menduduki ujian Junior Ranger yang membolehkan dia bertindak sebagai duta kecil di Petting Zoo, Lost World of Tambun.

Selain berjaya mendapatkan lencana untuk haiwan Serpentarium (ular), dia juga memiliki lencana Rabbit Wonderland (arnab), Tortoise Kingdom (kura-kura), Rubby and Friends (rakun), dan Felidae Family (kucing Bengal dan harimau Siberia).

Menjadi Junior Ranger yang terlatih bermakna dia juga berkesempatan memberi penerangan mengenai haiwan jagaannya kepada pengunjung-pengunjung yang melawat Petting Zoo.

Kok Wai berkata, perkara utama yang perlu difahami apabila ingin memegang haiwan berbahaya seperti ular adalah mempelajari sifat-sifat semulajadinya.

Menurutnya, ular yang memakan mangsa setiap dua minggu sekali tidak boleh disentuh kerana boleh menyebabkan ia memuntahkan kembali makanannya.

Tambahnya, dalam tempoh sama juga, ular akan bersalin kulit dan ia dapat dilihat melalui tanda-tanda seperti matanya bertukar menjadi warna putih.

"Ular tidak suka apabila kita memegang bahagian ekornya kerana itu akan membuatkan ia berasa seolah-olah terancam," katanya.

Sementara itu, adik Kok Wai, Chua Kok Cheng, 13, masih belum berani untuk memegang ular tetapi sudah selesa memegang rakun.

"Saya pernah mengajak rakan-rakan sekolah untuk turut sama menyertai program ini tetapi mereka tidak berminat kerana ada yang sibuk ke kelas tuisyen sementara ada yang takut berbau busuk serta digigit oleh haiwan di sini," katanya.

Ibu kepada dua pelajar tersebut, Agnes Lee, 45, yang merupakan seorang suri rumah berkata, program itu wajar diikuti oleh pelajar pada musim cuti sekolah berbanding menghadap komputer di rumah.

Menurut Agnes, dia mula melihat perubahan pada kedua-dua anaknya apabila mereka mula berani untuk berucap secara terbuka di tempat awam tanpa sebarang segan silu.

Sementara itu, Pengurus Besar Lost World of Tambun, Calvin Ho berkata, pihaknya bercadang membuka keahlian Junior Ranger kepada 100 orang sahaja setahun.

Beliau berkata, setakat ini seramai 51 pelajar sudah mengikuti program tersebut dan persetujuan daripada ibu bapa penting untuk menyertainya.

"Ibu bapa tidak perlu risau kerana kita mempunyai dua renjer utama sepenuh masa yang akan menyelia Junior Ranger ini.

"Semua haiwan di sini diberi suntikan vaksin selain penggunaan mikro organisma efektif (EM) untuk menghilangkan bau najis," katanya.

Menurut beliau, selain lima lencana yang diperoleh Kok Wai, pihaknya juga menawarkan tujuh lagi lencana untuk Junior Ranger sekiranya mereka berjaya melepasi ujian bertulis dan penilaian pengucapan awam.

Tujuh lencana itu termasuk Bird Paradise (burung), Mammals (mamalia), Primates (monyet ekor panjang), Rainforest Trail (kambing kerdil Afrika), Wetlands (paya) serta Jungle Survival dan Gua Anak Datuk (belajar hidup berdikari di dalam hutan).

Selain itu katanya, program renjer tersebut mempunyai beberapa pangkat iaitu Junior Ranger, Junior Ranger I, Junior Ranger II dan Junior Master Ranger.

"Pangkat tertinggi iaitu Junior Master Ranger akan diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapatkan kesemua 12 lencana yang ditawarkan," katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk mengikuti program tersebut boleh mendaftarkan diri dengan pembayaran sebanyak RM200 setahun.

Pembayaran itu meliputi kemasukan percuma ke Petting Zoo, Lost World of Tambun selain pemberian satu set pakaian khas Junior Ranger bersama tanda nama termasuk peluang menerima hadiah hari jadi.

Selamat Datang Ke Bukit Gantang

Herba, ikon baru di Bukit Gantang

November 4, 2010 - Utusan Malaysia

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 3 Nov. - Projek perintis penanaman herba bakal dijalankan di Bukit Gantang dekat sini sekali gus menjadikannya 'ikon' baru di kawasan tersebut yang selama ini terkenal dengan keluaran buah durian.

Pengarah Pertanian negeri, Arifin Abdul Latif berkata, projek yang dijana selari dengan matlamat Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) itu akan melibatkan penanaman berselang seli di kawasan dusun.

"Kalau boleh kita mahu membantu para pekebun kecil yang mengusahakan dusun, kebun getah dan kelapa sawit terlibat sama sehingga dapat menghasilkan produk herba berkualiti yang boleh dieksport.

"Jabatan Pertanian negeri akan membantu mereka dengan membuat padanan perniagaan bersama pengeluar herba supaya kontrak perusahaan mereka akan lebih terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Hari Inovasi Perkhidmatan Awam dan Persaraan Pegawai/Kakitangan Jabatan Pertanian Perak di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 28 kakitangan jabatan itu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 sementara 27 lagi diberikan Anugerah Pesara negeri dan Persekutuan.

Dalam pada itu, Arifin berkata, pembangunan herba bernilai tinggi memerlukan lebih banyak kajian saintifik termasuk ujian klinikal di pusat penyelidikan dan institusi pendidikan tinggi (IPT).

Selain itu katanya, sokongan pembangunan tanaman herba daripada pihak swasta amat penting memandangkan penyertaan sektor tersebut secara langsung dalam menjana ekonomi negara melalui Model Baru Ekonomi.
 

Blogger news

Blogroll

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...